- Mangsa tidak mahu lagi pulang ke pusat jagaan selepas dakwa didera penjaga.
Menurut Zaidatul, kakaknya yang berusia 38 tahun, juga orang kurang upaya (OKU) dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur tetapi dipindahkan ke sebuah pusat jagaan lain di Rawang tanpa pengetahuan keluarganya.
Katanya, dia menghantar kakaknya di sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2013 tetapi dipindahkan ke Rawang bersama penghuni OKU perempuan yang lain tanpa diberitahu sehinggalah mengetahui perkara tersebut ketika hendak mengambil kakaknya pada hujung minggu.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila kakak saya dilayan bukan seperti manusia biasa di pusat jagaan di Rawang. Saya tengok ada kesan cubitan dan luka di bawah bahagian mata, belakang telinga dan badan.
“Lebih teruk lagi, kakak saya merintih kepedihan ketika saya memandikannya apabila dibawa pulang pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengakui membayar yuran RM500 kepada pusat jagaan tersebut.
Zaidatul berkata, kakaknya ada bercerita penjaganya mencucuk jari ke badannya dan memberitahu tidak mahu kembali lagi ke pusat jagaan itu kerana takut dipukul.
Kakaknya juga pernah menyatakan mahu membunuh penjaga tersebut sekiranya dia masih dihantar ke sana.
“Kakak juga kata mulutnya pernah diramas. Walaupun tiada kecederaan teruk tetapi tindakan penjaga pusat jagaan itu melampau kerana penghuni yang tinggal adalah insan istimewa,” katanya.
Menurutnya, penjaga pusat jagaan itu turut mengelak berjumpa dengannya apabila dia mahu berbincang dan mengetahui perkara sebenar.
Dalam masa yang sama, Zaidatul turut bimbang keadaan penghuni lain yang masih tinggal di situ kerana kebanyakannya tiada waris.
Dia berharap ada pihak bertanggungjawab membuat pemantauan dan tidak terlepas pandang kerana tidak mahu ada pihak lain yang mengeksploitasi insan kurang upaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: