TIDAK dinafikan laut boleh menjadi kawan kepada manusia apabila dijadikan sebagai laluan untuk urusan perdagangan mahupun perhubungan dua hala melibatkan negara.
Namun, laut juga boleh menjadi platform permusuhan misalnya, laluan utama anasir jahat untuk sampai ke darat sebelum mencetuskan pencerobohan.
Selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Februari tahun lalu, pelbagai cadangan disuarakan bagi mengatasi masalah tersebut.
Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang meliputi kawasan sepanjang 1,400 kilometer di pesisir pantai Sabah dianggap sebagai langkah paling tepat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertanggungjawab mengawal perairan negara.
Kesiapsiagaan
Ketua Pegawai Staff Operasi Maritim Malaysia di Esscom, Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi berkata, kesiapsiagaan pasukan tersebut terus kukuh melalui pembangunan lima buah posnya sebelum 1 Jun tahun ini.
Katanya, ia melibatkan pos di Kinabungan (Pitas), Beluran, Felda Sahabat, Kunak dan Inderasabah (Tawau).
“Sebelum ini, kita mempunyai lima pos utama iaitu di Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.
“Tambahan lima pos ini akan memudah dan meningkatkan pemantauan keselamatan khususnya di setiap 60 batu nautika di sekitar Zon Selamat Pantai Timur Sabah di bawah Esscom.
“Ini termasuklah pemantauan dalam aspek pencemaran maritim oleh golongan tidak bertanggungjawab, pengedaran dadah, lanun laut serta pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya ketika ditemui di Pejabat Pentadbiran Esscom di Lahad Datu baru-baru ini.
Melalui pos kawalan itu, secara langsung menunjukkan bahawa kerajaan begitu serius dalam menonjolkan kekuatan dan mempamerkan keyakinan kepada penduduk di sekitar Pantai Timur Sabah selepas insiden pencerobohan pengganas Sulu.
Ujar Karunanithi, tumpuan penugasan maritim turut dikhususkan dengan melibatkan lima kawasan penumpuan dari Kudat ke Tawau.
“Sehubungan itu, kita telah mengatur gerak masing-masing tujuh buah kapal dan bot dalam mengawal perairan sepanjang Zon Selamat Sabah Timur (Esszone), 24 jam setiap hari.
“Pada masa sama, kita juga sentiasa menjalankan operasi bersepadu dan terkoordinasi bersama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Marin dalam menentukan keselamatan perairan negara terpelihara,” katanya.
Sebagai rekod, Karunanithi berkata, pihaknya telah melakukan 3,042 pemeriksaan dengan 82 tangkapan meliputi PATI, penyeludupan dan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu sepanjang Mac hingga Disember 2013.
Sesuai dengan tugasnya sebagai 'penjaga' maritim Esscom, elemen Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia atau dikenali Starteam turut diserapkan bagi memastikan kemantapan pengawalan dan penguatkuasaan.
Keupayaan PTK juga sememangnya telah dikenali setanding dengan pasukan khas lain dalam negara dengan menerima latihan sama seperti unit Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).
Tindakan pantas
Ia diakui oleh Laskar Kanan Maritim, Mohd. Farizal Che Harun yang memberitahu tugas mereka adalah berada di barisan hadapan dalam sesuatu operasi yang memerlukan tindakan pantas, cepat dan berkesan dalam memerangi keganasan, pencerobohan dan menyelamat.
“Sebagai anggota dalam PTK, kecekapan para anggota dari segi kemahiran dan fizikal harus berada di tahap optimum dengan pemilihan anggotanya dilakukan mengikut standard diguna pakai dalam pasukan elit lain.
“Kehadiran kami, secara langsung menunjukkan kesiapsiagaan seluruh pasukan keselamatan bagi memastikan kedaulatan negara terjaga,” katanya yang diserapkan sejak tahun 2004.
Dalam memastikan sesuatu operasi lebih berkesan, ramai melupakan bahawa tugas selaku ketua bot pemintas turut memainkan peranan penting serta tidak keberatan dikatakan bertindak peninjau utama.
“Berada di laut lebih berbahaya berbanding daratan dengan risiko keselamatan anggota sangat tinggi melihat kepada aspek bantuan dan kawasan persembunyian agak terhad.
“Sekiranya diberikan penugasan, ketua bot mempunyai masa dua hingga tiga jam bagi mencari kawasan sesuai bagi tujuan pemantauan secara menyeluruh bergantung kepada operasi diberikan,” kata Ketua Bot Pemintas Kilat Maritim Malaysia di Lahad Datu, Bintara Muda Maritim, Ahmad Zaharudin Baharudin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: