Thursday, February 13, 2014

Industri hempedu beruang merudum


KEMPEN antipemeliharaan beruang merupakan usaha kerajaan menamatkan industri tersebut di Korea Selatan.


BEBERAPA ekor beruang bergelimpangan di dalam sebuah kandang besi. Di atas lantai kandang itu kelihatan sisa-sisa donut, najis, makanan anjing dan buah-buahan.
Sejak dilahirkan haiwan berbulu lebat itu diletakkan di kandang besi yang sempit tersebut. Ia bukan diternak sebagai haiwan peliharaan atau pameran, sebaliknya akan dibunuh dan hempedunya dikeluarkan bagi tujuan perubatan tradisional di beberapa negara Asia.
Hempedu beruang digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti bisul, buasir, sawan babi dan sista (ketumbuhan dalam tubuh atau di bawah kulit yang mengandungi cecair).
Bagi masyarakat Korea Selatan, organ tersebut mampu merawat semua penyakit dan meningkat stamina individu.
Merudum
Namun, perubahan masa dan kemunculan perubatan moden menyebabkan permintaan terhadap ubat tradisi itu merudum di Korea Selatan.
Pemilik ladang beruang yang terletak di Dangjin, kira-kira 120 kilometer dari selatan Korea, Kim KwangSoo berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, tidak ada seorang pun pelanggan membeli hempedu beruang daripadanya.
EKSTRAK hempedu beruang turut dihasilkan dalam bentuk cecair.


Selain masalah pasaran, para peladang juga berdepan beban hutang bagi memelihara dan menjaga kebajikan haiwan tersebut. Situasi itu turut dihadapi KwangSoo yang menanggung hutang tahunan sebanyak 300 juta won (RM930,000) bagi menampung 270 ekor beruangnya.
Korea Selatan merupakan antara negara yang membenarkan pemeliharaan beruang untuk tujuan pengekstrakan hempedu bagi perubatan tradisional.
Sebanyak 50 ladang dengan kapasiti 1,000 ekor beruang dicatatkan di negara itu yang kebanyakannya dari jenis beruang hitam Asia atau dikenali sebagai beruang bulan.
Aktiviti pemeliharaan beruang tersebut di negara berkenaan bermula pada tahun 1980-an dan ia merupakan baka yang diimport dari Malaysia selain beberapa negara Asia Tenggara lain.
KwangSoo memberitahu, industri hempedu beruang di negaranya pada suatu ketika pernah menerima tempahan sehingga RM93,000 setahun.
Jumlah itu turun mendadak sejak sedekad lalu apabila negara seperti China dan Vietnam menyediakan produk yang jauh lebih murah.
Penurunan itu semakin jelas berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Makanan dan Keselamatan Ubat-Ubatan Korea Selatan yang melaporkan negara itu hanya mengeksport organ haiwan tersebut sebanyak 2.8 kilogram antara tahun 2008 hingga 2012.
Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Hangil pada tahun 2011 mendapati sebanyak 94 peratus penduduk dipercayai tidak lagi mengambil ubat-ubatan berasaskan organ beruang dan tidak mempunyai minat untuk memperolehnya.

PERUBATAN tradisional Asia yang menggunakan hempedu beruang semakin kurang diberi perhatian disebabkan kemunculan perubatan moden.


Insentif
Dalam usaha menghentikan industri itu, Kementerian Alam Sekitar membelanjakan hampir RM1.9 bilion bagi menjalankan kempen antipembiakan beruang sehingga tahun 2016, tetapi mereka masih belum mengeluarkan sebarang tindakan undang-undang kepada peladang.
Kerajaan turut menawarkan insentif kepada peladang seperti pensterilan beruang pada kadar RM4,000 seekor, makanan sebanyak RM1,240 setahun dan penyembelihan beruang tua pada kadar RM4,600 seekor. Namun demikian, peladang-peladang terlibat menuntut kadar yang lebih tinggi.
KwangSoo yang juga Setiausaha Agung Persatuan Peladang Beruang memberitahu, ahli-ahli bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang atau mengambil langkah yang lebih drastik seperti mendera haiwan tersebut, jika kerajaan tidak mendengar rintihan mereka.
"Masyarakat sering membangkitkan isu kebajikan haiwan-haiwan tetapi menidakkan hak kami," ujar salah seorang peladang, Yun Youngdeok yang mempunyai ladang beruang berdekatan Seoul kepada AP.
Sebagai tanda protes awal, mereka telah meletakkan sangkar beruang di pusat bandar Seoul dan berhampiran kompleks kerajaan di bandar Sejong pada November tahun lepas.
KwangSoo menambah, persatuan tersebut merancang untuk meletakkan 20 kandang beruang berdekatan kompleks kerajaan dengan harapan perjuangan mereka mendapat perhatian umum.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: