- Sekumpulan pengawal keselamatan menunjukkan bukti pemotongan caruman KWSP dibuat majikan melalui penyata gaji diterima mereka.
Wakil pekerja, Mohammad Azam, 45, berkata, dia bersama rakan setugas sudah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan sekolah sejak enam tahun lalu, namun pada Oktober 2012 syarikat mereka bertukar majikan baru.
Menurutnya, sebelum ini mereka tiada masalah dengan majikan terdahulu, termasuk isu caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso).
“Setelah syarikat baru mengambil alih kontrak kawalan keselamatan melibatkan 10 sekolah di Mukim Gunung Semanggol, kesemua pekerja dikekalkan dan memeterai kontrak perkhidmatan selama tiga tahun.
"Setelah tiga bulan bekerja, kami menyedari majikan memotong gaji kami untuk caruman KWSP dan Perkeso, namun semakan di pejabat KWSP mendapati potongan caruman tidak dimasukkan ke atas nama kami,” katanya pada sidang media, di sini.
Mohammad berkata, pekerja segera memaklumkan perkara itu kepada pengurusan syarikat dan mereka menjelaskan caruman tersebut akan dilunaskan secepat mungkin.
Jelasnya, dengan penjelasan diberikan, pekerja berasa lega dan menyangka isu caruman KWSP serta Perkeso akan diselesaikan segera.
"Bagaimanapun apabila semakan baki caruman KWSP dilakukan, kami mendapati pihak syarikat gagal mencarumnya sehingga kini.
“Gaji bulanan kami antara RM600 sehingga RM900 dan jumlah ini hanya cukup untuk menampung keperluan asas, tambahan pula kebanyakan pekerja seperti saya sudah berkeluarga,” katanya.
Mohammad Azam berkata, pihaknya kesal pihak majikan gagal menjaga kebajikan mereka dan menyebabkan pekerja menanggung kerugian caruman KWSP termasuk caruman majikan dengan anggaran jumlah RM1,600 bagi setiap pekerja.
Katanya, mereka sekali lagi mengadukan perkara itu dalam mesyuarat bersama pengurusan syarikat dan pihak berkenaan berjanji akan melunaskan tunggakan caruman KWSP secepat mungkin.
“Namun, sehingga kini, kami masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai penyelesaian tunggakan caruman KWSP daripada pihak majikan,” katanya.
Mohammad berkata, mereka sudah mengadukan perkara itu kepada KWSP dan meminta kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.
“Kesemua pekerja yang terlibat sudah bersepakat akan mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan kami berdasarkan nasihat pihak KWSP dan Pejabat Tenaga Buruh,” katanya.
Sementara itu, jurucakap KWSP memaklumkan, pihaknya telah menghantar kes yang difailkan pengawal keselamatan berkenaan ke Unit Penguat Kuasa KWSP di Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: