|
BERADA di Tanjung Labian membuatkan hati setiap insan bernama manusia terpaku dan terpesona melihat hamparan keindahan alam ciptaan Allah.
Lautan biru yang terbentang luas bagaikan memanggil-manggil pencinta alam untuk sama-sama menyelami dasarnya atau berlari-lari anak di pesisir pantai yang memutih.
Saat penulis melihat sekeliling, kelihatan sekumpulan kanak-kanak dengan raut wajah ceria menggalas beg sekolah masing-masing sebagai tanda berakhirnya sesi persekolahan hari itu.
Dalam keasyikan melihat aksi itu, muncul pasangan suami isteri, Alhandi Jaapar, 40 bersama, Masni Japri, 27 yang kemudiannya mengajak penulis ke teratak kayu milik jirannya, Saudi Yunus.
"Jemput makan. Hari ini terasa tenang dengan angin kuat yang membuatkan udara menjadi sejuk.
"Ia jauh berbeza dengan apa yang berlaku setahun yang lalu. Saat itu saya masih terbayang kami sekeluarga terpaksa lari meninggalkan rumah. Semuanya angkara kehadiran pengganas Sulu," katanya membuka cerita.
Jelas Alhandi, peristiwa itu sesuatu yang sukar dilupakan. Kini, semuanya kembali tenang dengan kehadiran anggota keselamatan yang melakukan rondaan setiap hari di sekitar gugusan Tanjung Labian.
Sekali imbas, tragedi hitam yang berlaku pada 12 Februari 2013 lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Pencerobohan yang tidak pernah diduga itu yang menjadikan daerah Lahad Datu dan Semporna sebagai sasaran telah mengubah landskap keselamatan negara selain meninggalkan memori buat setiap insan yang merasainya.
Pengganas depan mata
Bagi Saudi, dia masih terbayangkan bunyi deruan tiga pesawat F/A-18D Hornet dan lima Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menggugurkan bom di Kampung Tanduo.
Katanya, walaupun letupan itu dapat dirasai oleh keluarga dan kebanyakan penduduk Tanjung Labian dan Tanjung Batu, namun ia adalah tindakan ketenteraan yang paling tepat untuk menghapuskan musuh.
"Selepas letupan itu, saya berharap pengganas dapat dihapuskan. Namun dalam masa sama, kami bersiap sedia untuk keluar dari kampung kerana bimbang keselamatan kami enam beranak," ujarnya.
Berbeza dengan Hamid Dilma, 64, yang mengalami pengalaman ngeri dalam pertemuan empat mata dengan ketua kumpulan pengganas Sulu, Datu Agbimuddin Kiram sewaktu ditahan bersama 30 orang penduduk kampung Labian dan Tanjung Batu.
Pengusaha kedai runcit itu memberitahu, kejadian yang berlaku pada pukul 6.30 pagi 5 Mac tahun lalu itu ketika dia baru sahaja membuka pintu kedai runcitnya.
Tambahnya, terdapat sekumpulan individu yang memakai pakaian tentera bersenjatakan parang dan senjata api.
"Dua daripada mereka meluru ke arah saya lalu meletakkan parang tersebut di tengkuk seolah-olah ingin memancung.
"Memang rasa amat takut sangat. Di dalam hati berharap saya tidak gantung atau diapa-apakan oleh mereka berdua.
"Tindakan mereka berhenti seketika selepas ditegur Agbimuddin yang kemudian menyatakan ingin membeli barangan keperluan seperti beras, gula, minyak dan makanan lain yang dijual di kedai saya," katanya.
Hamid menjelaskan, selepas ditahan, kesemua penduduk kampung dihimpunkan di kawasan lapang berhampiran kedainya dengan diperiksa setiap seorang daripada mereka oleh kumpulan pengganas sulu itu.
Tali barut
"Pada malam itu juga, saya terpaksa bermalam dengan beberapa pengganas wanita Sulu di sebuah rumah tidak jauh dari kedai milik saya ini.
"Memang tidak boleh tidur kerana saya hanya memikirkan bagaimana mahu keluar daripada kawalan pengganas ini, selain tertanya-tanya kenapa keamanan kami diragut oleh kumpulan yang mementingkan diri mereka," jelasnya yang berjaya melarikan diri dengan merangkak di dalam longkang pada malam keesokan harinya.
Ekoran krisis pencerobohan itu, segelintir penduduk masih tidak boleh menerima wujudnya tali barut dalam kalangan mereka.
Penduduk Kampung Tanjung Batu, Muin Hassin, 63, berkata, hal ini tidak sepatutnya terjadi dalam hidup bermasyarakat memandangkan apa yang lebih ditekankan ialah kemuafakatan dan semangat perpaduan yang utuh demi kemajuan dan keamanan bersama.
"Sama ada mereka bersalah atau tidak, undang-undang akan menentukannya. Sebagai penduduk dan warganegara, kami memang tidak boleh menerima tindakan sesetengah pihak yang sanggup menjadi tali barut kepada pengganas," katanya.
Pada awal pencerobohan, Muin sempat melarikan diri bersama 30 penduduk dan terpaksa menempuh perjalanan selama enam jam bermula 9 malam melalui pesisir pantai di kampungnya hingga ke Fajar Harapan bagi mencari perlindungan.
Selain perkampungan dalam gugusan Tanjung Labian di Lahad Datu, situasi sama turut dilalui oleh penduduk-penduduk di perkampungan Simunul dalam daerah Semporna.
Norbiah Osman, 43 mengakui agak terkilan apabila perkampungan air itu telah digunakan sebagai sarang beberapa orang pengganas sehingga berlakunya serangan hendap ke atas anggota pasukan keselamatan.
"Ketika kejadian, saya baru saja selesai mandi sebelum terdengar tembakan bertali-arus hingga menyebabkan saya meniarap bersama anak-anak.
"Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bimbangnya hati kami sambil berdoa agar tiada perkara buruk berlaku.
"Malah, suami yang baru keluar dari surau tidak jauh dari lokasi kejadian meminta saya tidak keluar rumah," jelasnya yang berpeluang melarikan diri empat jam selepas kejadian tersebut pukul 7 petang itu.
Sepanjang pencerobohan pengganas Sulu yang berlarutan hampir dua bulan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban dalam mempertahankan bumi Malaysia.
Mereka ialah Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46 (komando VAT 69) Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52, (Cawangan Khas Bukit Aman), Asisten Supritendan Michael Padel, 36, (Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna), Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau, Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49, (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah), dan Koperal Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Rasa sayu
Selain itu, dua lagi askar turut gugur melibatkan Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja Tawau dan Koperal Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.
Pemergian mereka amat dirasai termasuk Koperal Mohd. Nor Fadzil, 43, yang menyatakan, pergorbanan itu menunjukkan bahawa setiap anggota pasukan keselamatan sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keamanan negara.
"Tidak kira anda polis atau tentera apabila mendengar ada anggota terkorban, perasaan sayu itu pasti akan terasa kerana kita berjuang untuk negara," katanya yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. Ditugaskan membuat kawalan bersama enam lagi rakannya di simpang masuk Kampung Tanduo dan Tanjung Batu, perkara yang selalu ditekan adalah keselamatan. Mohd. Nor memberitahu, kerana terdapat laporan pengganas cuba mengubah taktik menjadi masyarakat tempatan selepas kubu mereka di Tanduo digempur pihak keselamatan.
"Malah, saya ada suatu ketika saya hampir dilanggar oleh kenderaan pasukan keselamatan dan dipersoalkan kerana menghalang tugas mereka.
"Namun saya nyatakan, tugas saya adalah memastikan sesiapa yang melalui kawasan kami adalah mereka yang dibenarkan termasuk kepada anggota keselamatan," ujarnya yang merupakan bekas anggota unit khas bridged Pasukan Gerakan Am Sabah (CUG) Battalion 17.
Berlainan situasi dengan Bintara Muda Maritim, Ahmad Zaharudin Baharudin yang merupakan Ketua Bot Pemintas Kilat Maritim Malaysia di Lahad Datu apabila dia diarahkan untuk meninjau kawasan pencerobohan Kampung Tanduo dari laut bersama pasukan tindak khas Maritim, Starteam.
Katanya, semasa tugasan di Tanduo, dia telah membawa bot dengan jarak kurang 100 meter dari gigi pantai kampung berkenaan.
"Risiko memang tinggi kerana kami ditugaskan mendapatkan maklumat kubu penceroboh melalui gambar-gambar yang diambil.
"Saya hanya bertawakal dan berharap tiada provokasi dilakukan pihak penceroboh untuk menyerang selain kami tidak menunjukkan sebarang pergerakan senjata kepada mereka," ulasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: