Oleh kerana itu, ALLAH SWT meletakkan kedudukan yang tinggi untuk wanita dalam Islam.
Malah, dek kehebatan dan mulianya wanita di sisi Islam, turut dicatat sebagai salah satu nama surah dalam al-Quran iaitu surah al-Nisaa yang membicarakan secara khusus mengenai wanita.
Menyedari ketinggian martabat wanita dalam Islam, stesen televisyen (TV) berkonsepkan Islam, TV Al Hijrah menerbitkan kembali satu program khas bagi membincangkan isu-isu wanita melalui Al-Maraaya.
Memasuki musim kedua penyiarannya, rancangan yang bertemakan 'Dari Wanita Untuk Wanita' ini bukan saja menarik minat dan memberi manfaat buat Muslimah, tetapi juga memberikan kesan dan kupasan terbaik kepada wanita bukan Islam.
Program khas buat wanita
PERANAN wanita Islam masa kini sangat mencabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai tugasan iaitu menjadi isteri, ibu dan juga pekerja dalam satu-satu masa.
Sejak zaman Rasulullah lagi, kecekalan wanita diuji dengan pelbagai cabaran dan paling utama menuntut ilmu, kerana ilmu perkara penting untuk berjaya dalam kehidupan.
Justeru, atas tujuan itu, rancangan berkonsepkan usrah, Al-Maraaya kembali semula dan akan mula bersiaran setiap Jumaat mulai hari ini pada jam 12 tengah hari.
Antara topik-topik menarik adalah seperti Bagaikan Balqis, Siti Khadijah Millenium, Sekadar Pinjaman, Dari Kerana Mata dan Ummahat Al-Mukminin sekali gus memberi peluang kepada penonton untuk sama berkongsi kisah cendekiawan wanita Islam.
Musim kedua rancangan ini dilakukan berdasarkan kepada kejayaan dan sambutan hangat yang diterima daripada penonton sepanjang ia disiarkan pada Ramadan lalu.
Bagi menjelaskan mengenai perkara itu, Penerbit Al-Maraaya, Norshirah Mohamad Sahimi berkata, meskipun musim pertama Al-Maraaya hanyalah empat episod dan membincangkan mengenai isu wanita dan Ramadan, namun ia tetap mendapat permintaan yang tinggi.
"Sehubungan itu, bagi menghargainya, kami kembali semula dengan musim kedua.
"Kali ini, kami akan berfokus pada isu-isu wanita saja.
"Sedikit kelainan yang ditampilkan apabila kami memilih 'Kisah-Kisah Wanita Di Dalam Al-Quran' sebagai rujukan dalam setiap topik utama perbincangan," katanya ketika ditemui media semasa pelancaran program berkenaan.
Tambahnya lagi, program Al-Maraaya musim kedua ini dilihat berbeza dengan program sedia ada kerana menggunakan pendekatan 'mendekati dan membimbing'.
"Pendekatan sebegini akan membuatkan penonton merasa lebih dekat dan mudah untuk berinteraksi bagi bertanya sebarang permasalahan yang timbul di dalam kehidupan seharian
"Biarpun melibatkan audiens tetapi konsep kali ini hadir dengan lebih santai dan terbuka," katanya.
Mengimarahkan masjid
Bukan saja pada lelaki, golongan wanita juga digalakkan untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau-surau yang ada di muka bumi ini.
Lebih-lebih lagi, jika tujuan wanita ke masjid adalah untuk menuntut ilmu baik yang fardu ain atau pun fardu kifayah.
Jelas Norshirah, atas dasar sedemikian, rakaman untuk program berkenaan turut dilakukan di masjid-masjid terpilih di Lembah Klang.
"Bermula dengan Masjid Seksyen 13, Shah Alam, diikuti dengan Masjid Usamah, Wangsa Maju, Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa dan akhir sekali Masjid Khalid al Walid, Kuala Lumpur.
"Setiap masjid yang dikunjungi mendapat respons yang cukup positif daripada kariah masjid.
"Bukan itu saja, ada juga orang kenamaan dari kalangan tentera yang hadir menyertai rakaman ini," jelasnya.
Tidak cukup dengan itu, ada juga kariah masjid yang menjemput untuk membuat rakaman di tempat mereka.
"Kami amat berbesar hati dengan jemputan mereka.
"Oleh sebab itu, dalam setiap episod, pengacara ada memberitahu, episod itu berlaku di mana dan melibatkan siapa," katanya.
Tambahnya lagi, bagi penonton setia Al-Maraaya boleh mengikuti laman sosial Facebook Al-Maraaya kerana untuk musim baharu ini, pihaknya juga menyediakan beberapa soalan kuiz mingguan.
Teruja jadi hos
Jelasnya lagi, Al-Maraaya bermaksud cermin selain dihoskan oleh Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.
Kata Norshirah lagi, berbekalkan pengalaman Dr Nik Salida Suhaila sebagai pendakwah bebas, dia dilihat mampu menjadi platform informasi terbaik kepada semua lapisan penonton terutamanya wanita.
Sementara itu, bagi Dr Nik Salida Suhaila sendiri, dia melahirkan perasaan terujanya dengan sambutan hangat yang diterima daripada penonton.
"Saya tidak boleh menidakkan setiap penghargaan yang diberikan.
"Apatah lagi, program ini adalah satu-satunya program untuk wanita di stesen TV ini.
"Tahniah buat semua krew produksi," katanya.
Mengakui sedikit kekok dan gemuruh ketika di musim pertama lalu, namun katanya, ia tidak langsung menjejaskan perjalanan rancangan berkenaan.
"Apabila ditawar oleh penerbit pada musim lalu, saya tiada banyak masa untuk memikirkan mengenainya.
"Ketika itu, saya tidak bersedia dan tidak nampak gambaran mengenai hala tuju rancangan ini.
"Tapi, saya tidak berputus asa sebaliknya terus cuba dan mencuba," katanya sambil tersenyum.
Begitu pun, pengalaman lalu dijadikannya rujukan dan buktinya dia semakin selesa mengemudikan rancangan berkenaan.
"Apabila dah buat, saya dah rasa semakin selesa.
"Ini membolehkan saya membawa penonton untuk duduk dalam situasi yang selesa dan kadang-kadang kariah yang mendengar ceramah di masjid tidak menyedari bahawa rakaman sedang berlangsung," katanya.
Tambahnya lagi, ia bukanlah sekadar untuk menyiapkan rakaman tetapi meraikan masyarakat dengan menjawab sebarang isu yang dipersoalkan apatah lagi apabila ia berkaitan dengan perundangan, agama, syariah dan sebagainya.
"Menjadi ralat bagi saya sekiranya ada soalan yang diberikan tidak dapat dijawab kerana terikat dengan rakaman.
"Tetapi, walaupun setelah selesai rakaman, saya akan tetap cuba untuk menjawab persoalan mereka. "Itu yang menjadi kepuasan seterusnya membuatkan saya berasa sentiasa bersemangat," akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: