Ulat tiket mencari pelanggan di sekitar pekarangan stadium.
Malah masih ada ulat tiket yang berani beroperasi di sekitar Stadium Sultan Muhammad IV di sini, dengan menjual tiket berharga tiga kali ganda iaitu RM120 berbanding harga sebenar RM40.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan itu mendapati sekurang-kurangnya enam ulat tiket duduk secara berkumpulan di pekarangan stadium untuk mencari pelanggan.
Malah, ulat tiket ini tanpa segan silu menayangkan beberapa keping tiket bagi memudahkan pelanggan untuk mengenal pasti mereka yang menjalankan aktiviti tersebut.
Seorang penyokong tegar The Red Warriors (TRW), Rozaimi Ishak, 24, dari Wakaf Baharu, Tumpat, kesal dengan tindakan ulat tiket tersebut yang mengaut keuntungan cara mudah tanpa memikirkan kesusahan orang lain yang terpaksa beratur panjang ketika kaunter dibuka Rabu lalu.
“Saya geram dengan ulat tiket yang menjual tiket perlawanan akhir, dengan harga terlalu mahal sedangkan orang lain terpaksa bersusah-payah beratur untuk membeli tiket tersebut.
“Saya sendiri tak dapat tiket walaupun beratur lebih lima jam Rabu lalu dan lebih mengecewakan apabila penjualan tiket secara haram ini masih berleluasa walaupun pelbagai cara telah diambil Kafa untuk mengekangnya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi semalam berkata, penjualan 10,000 tiket pada Rabu lalu adalah telus kerana ia dipantau rapi oleh SPRM.
“Mungkin ulat tiket tersebut datang secara berkelompok dan turut beratur bersama penyokong yang lain kerana tiket hanya dijual maksimum empat keping bagi setiap pelanggan.
“Kafa telah mengadakan perbincangan dengan polis Kelantan berhubung masalah ini dan difahamkan, tiada sebarang akta atau undang-undang yang boleh mencegah penjualan tiket oleh ulat tiket ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: