Jagung segar yang dijual Linda di tepi jalan Kampung Pasir Puteh laris setiap kali tiba musim tengkujuh.
Peniaga jagung di Pasir Putih dekat sini, Azizah Sulong, 63, berkata, perniagaan jagung segar dan rebus di kawasan itu telah bermula sejak awal 90an dan jagung dijual dibahagikan kepada dua jenis iaitu jagung susu dan jagung manis madu.
Bagaimanapun, katanya, rata-rata peniaga tepi jalan di situ menjual jagung manis madu kerana bekalannya lebih mudah didapati berbanding jagung susu dan ia dijual dengan harga RM5 bagi tiga biji atau RM10 selonggok.
“Alhamdulillah, sejak makcik memulakan perniagaan ini beberapa tahun lalu pendapatan diperoleh agak lumayan dan kadang kala mencecah sehingga RM200 sehari termasuk pada musim tengkujuh kerana ia adalah waktu cuti persekolahan,” katanya.
Seorang lagi peniaga jagung yang hanya mahu di kenal sebagai Linda berkata, selain jagung, kacang rebus, air nira dan madu lebah asli juga dijual sebagai produk sampingan bagi memberi pilihan kepada para pelanggan.
Sementara itu seorang pengunjung, Nasir Muhamad, 38, berkata, kepelbagaian barang jualan peniaga jagung di situ menyebabkan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu untuk balik ke kampung halaman tidak akan melepaskan peluang untuk singgah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: