• Yuna Yuna
PENYANYI terkenal, Yunalis Zarai memberi kejutan istimewa buat peminatnya apabila menerbangkan gitaris Incubus, Mike Einziger Denies ke konsert pertamanya di Istana Budaya, malam tadi.

Akui ternanti-nanti reaksi peminatnya, Yuna lega apabila kehadiran Mike nyata menambah kemeriahan konsert Yuna dan Orkestra Simfoni Kebangsaan itu.

"Ketika mendedahkan kehadiran Mike kepada penonton tadi (malam tadi) merupakan suatu detik yang saya nantikan.

"Pada awalnya saya risau tak jadi tapi apabila ia menjadi kenyataan saya lega," katanya pada sidang media sejurus selepas konsertnya selesai.

Katanya, kehadiran Mike ke konsertnya itu dirahsiakan dari semua orang.

"Saya memang tak beritahu sesiapa pun. Memang susah nak rahsiakan," katanya.

Menurutnya lagi, Mike sendiri yang menawarkan diri untuk membuat persembahan di konsertnya itu.

Yuna dan Mike berkolaborasi di atas pentas untuk beberapa buah lagu antaranya I Miss You, Deeper Conversation dan I Wanna Go.

Mike bakal membuat kemunculan sehingga Ahad ini.

Sepanjang dua jam konsert itu, Yuna menyampaikan lebih 20 lagu bagi mengubat rindu peminatnya setelah sekian lama penyanyi ini mengembangkan muziknya di Amerika Syarikat (AS).

Antaranya, Gelora Jiwa, Terukir Di Bintang, Lelaki, Penakut, Young, Lullabies, Right Again, Live Your Life, Remember My Name dan Coffee.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani, Yuna menjadi artis ketiga yang menjadi fenomena selepas Anuar Zain dan Datuk Siti Nurhaliza apabila tiket konsertnya habis terjual sebelum konsert bermula.