• Alcatel tembusi pasaran telefon pintar Bong (dua, kanan) menunjukkan telefon pintar terbaru Alcatel yang dilengkapi skrin lima inci dan kamera 13 megapiksel.
JENAMA telefon Alcatel kini mula kembali aktif dengan melancarkan beberapa telefon pintar baru, sekali gus menjadi pesaing kepada jenama besar lain yang menguasai pasaran telefon pintar.

Terbaru, Alcatel memperkenalkan telefon One Touch Idol X, iaitu peranti menggunakan sistem Android.

Telefon di bawah siri Alcatel One Touch itu direka khas untuk memenuhi keperluan teknologi pengguna dan menyamai telefon pintar daripada jenama terkemuka lain yang berada di pasaran.

Alan Bong, Pengarah Eksekutif Ten Ten Telecommunication Sdn Bhd iaitu pengedar tunggal Alcatel One Touch di Malaysia berkata, syarikat itu yakin Alcatel One Touch Idol X akan menerima permintaan tinggi.

“Harga ditawarkan adalah berpatutan (RM1,099) dan kami yakin ia akan mendapat tempat dalam pasaran,” katanya pada sidang media selepas pelancaran itu.

Telefon itu turut dijual secara eksklusif di lazada.com.my dengan harga lebih murah iaitu RM999.

“Pembelian dalam talian adalah medium yang cepat berkembang di Malaysia dan menyediakan perkhidmatan terbaik seperti penghantaran percuma di seluruh negara dan pilihan bayaran yang selamat,” katanya.

Menurutnya, pengguna di Malaysia memberikan reaksi positif terhadap produk Alcatel sebelum ini menyebabkan pihaknya yakin untuk memasarkan One Touch Idol X.