Saturday, September 7, 2013

Warna-warni Karnival Flora Haiti



SAMBIL berarak, setiap peserta yang lengkap memakai kostum berwarna-warni turut menari dan membuat persembahan bagi menghiburkan penonton.


IBU negara Haiti, Port-au-Prince, dibanjiri ribuan pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang meraikan sambutan Carnaval des Fleurs atau Karnival Flora yang diadakan baru-baru ini.
Acara bermula di padang awam berhampiran Istana Presiden itu turut dihadiri Presiden Haiti, Michel Martelly. Beliau turut mengambil peluang bergambar dan beramah-mesra dengan orang ramai yang hadir pada hari itu.
“Ia merupakan satu karnival yang hebat dan semakin popular di seluruh dunia, sekali gus mempromosikan industri pelancongan Haiti. Ini pasti akan memberikan kesan positif terhadap ekonomi negara,” kata Martelly semasa upacara perasmian karnival tersebut.
Terdapat pelbagai acara yang disediakan penganjur antaranya, pertandingan fesyen dan Ratu Flora, persembahan muzik dan kebudayaan serta pertandingan kereta berhias.

KEHADIRAN penghibur-penghibur jalanan dengan pelbagai aksi menarik menambah kemeriahan karnival ini.


Kemuncak karnival itu adalah perarakan peserta-peserta yang memakai kostum berwarna-warni dalam melambangkan kepelbagaian flora di negara kepulauan Caribbean itu.
Sambil berarak mereka juga turut menari dan mempamerkan pelbagai aksi serta persembahan menarik bagi menghiburkan penonton.
Menurut Menteri Pelancongan Haiti, Stephanie Balmir Villedrouin, tema A Haitian, A Tree (Seorang Rakyat Haiti, Sebatang Pokok) dipilih bagi penganjuran karnival yang memasuki edisi kedua ini.
Katanya, tema itu sejajar dengan objektif utamanya iaitu mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara dan memelihara alam sekitar.
“Pada masa yang sama, ia juga dapat mempromosikan budaya dan tradisi masyarakat, khususnya bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan negara ini.

SEORANG peserta pertandingan Ratu Flora sedaya upaya meraih sokongan hadirin yang membanjiri laluan-laluan utama di Port-au-Prince.


“Kami juga mahu menarik semula pelancong asing ke sini selepas tragedi gempa bumi yang meragut lebih 250,000 nyawa kira-kira tiga tahun lalu,” katanya.
Tidak seperti tahun lalu, tiada sebarang insiden buruk dilaporkan sepanjang karnival yang berlangsung selama tiga hari itu.
Ia berikutan langkah kerajaan dalam mengetatkan aspek keselamatan termasuk mengerah kira-kira 5,000 anggota polis bertugas sepanjang karnival itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: