|
LAMPU merah pantulan brek kenderaan rancak menyala di atas permukaan jalan-jalan utama di sekitar ibu negara. Keadaan lalu lintas di Lembah Klang dijangkakan menjadi semakin sesak menjelang tahun 2020.
Populasi penduduk di Lembah Klang dianggarkan meningkat 40 peratus iaitu seramai 10 juta orang pada tahun 2020 berbanding 6 juta pada tahun 2010. Justeru, membina lebih banyak lebuh raya bukanlah penyelesaian yang bijak.
Sementara itu, kira-kira 1,500 pekerja terowong melibatkan pasukan pakar dalam pelbagai bidang kejuruteraan, juruteknik dan ahli geologi sedang melakukan kerja-kerja mengorek terowong.
Kedudukan terowong tersebut berada pada kedalaman 30 hingga 45 meter di bawah tanah bagi melaksanakan pem binaan Aliran Transit Massa (MRT). Bayangkan kedalaman kerja-kerja pengorekan tersebut menyamai ketinggian bangunan komersil 10 tingkat.
Status negara maju
Rakyat Malaysia yang kerap menaiki MRT di Singapura, Tan Peng Koon, 26, berkata, beliau teruja ketika mendapat tahu MRT sedang dalam pembinaan di negara ini dan beranggapan ia boleh menjadi lambang status negara maju.
“Malaysia memang sepatutnya membina MRT sejak awal lagi memandangkan kepadatan penduduk yang menjadi faktor utama kesesakan jalan raya.
“Pasti lebih banyak kawasan yang akan dibangunkan di Kuala Lumpur dalam jangka masa empat tahun ini. Dengan adanya MRT itu nanti, saya harap ia dapat menghubungkan penduduk lebih dekat dengan pusat bandar,” katanya arkitek landskap di firma swasta di Singapura.
Tambahnya, Singapura yang hanya berkeluasan 710 kilometer persegi itu banyak bergantung kepada MRT bagi memudahkan seramai 5 juta penduduk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Tanpa MRT, urusan harian mereka tergendala. Pada waktu puncak, MRT di Kota Singa mengadakan kekerapan perjalanan sebanyak lapan kali dalam tempoh setengah jam.
“Alasan lambat ke tempat kerja kerana masalah pengangkutan awam sudah tidak boleh diguna pakai di Singapura,” ujarnya.
Di beberapa negara maju lain, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi seperti bullet train sudah lama digunakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Kepantasan bullet train itu mampu memecut pada kadar halaju antara 160 hingga 320 kilometer sejam (km/j).
Kadar halaju itu sebenarnya hampir menyamai kelajuan haiwan terpantas di dunia iaitu sejenis burung helang pemangsa daripada spesies peregrine yang pernah direkodkan terbang pada kelajuan 389 km/j.
Meskipun kelajuan perkhidmatan MRT pertama di Malaysia itu tidak menyamai teknologi bullet train, negara ini dilihat sudah bersedia menyediakan sistem pengangkutan yang seiring dengan status negara maju yang ingin dicapai menjelang tahun 2020.
Jurutera Terowong daripada MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Mohd. Hafizi Asmuni, 25, berkata, skop kerjanya meliputi kawalan tekanan daripada terowong kepada tanah hendaklah setara dengan tekanan yang di berikan tanah kepada terowong.
MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. adalah kontraktor pakej bawah tanah dan terowong untuk projek MRT Lembah Klang.
Pastikan jajaran
“Jika tekanan yang diberi dan diterima tidak setara, kemungkinan besar tanah runtuh akan berlaku. Saya juga perlu memastikan jajaran pada setiap segmen terowong sentiasa selari supaya terowong di setiap stesen bersambung dengan tepat.
“Penentuan kedudukan key segmen juga amat penting bagi memandu arah laluan terowong yang hendak dibina. Setiap satu lingkaran terowong ialah selebar 1.4 meter dan terdiri daripada satu key segmen (saiz lebih kecil) dan tujuh segmen bersaiz biasa,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut bertanggungjawab memastikan bekalan segmen dan kren yang membawa segmen tersebut dari luar tapak ke dalam terowong berjalan lancar. Bagi mencapai sasaran pengorekan terowong sejauh 14 meter sehari.
Sementara itu, Penolong Pengurus Terowong, Mazuki Mohamad Saleh, 37, bertugas menguruskan dua daripada empat Mesin Pengorek Terowong (tunnel boring machine) yang terlibat dengan kerja pengorekan di portal selatan (dari Cochrane ke Maluri).
Beliau bertindak mengurus dan merancang tugasan bagi setiap pekerja operasi yang diperlukan untuk mengendalikan setiap mesin berkenaan.
“Cabaran utama yang dilalui sepanjang mengorek terowong ini adalah berhadapan dengan keadaan geologi tanah jenis batu kapur karstik.
|
|
“Batu kapur karstik mempunyai profil tanah yang berubah-ubah seperti endapan sedimen yang lompong, berlekuk dan permukaan batu yang sukar dipecahkan,” ujarnya ketika ditemui di tapak pembinaan terowong MRT di Cochrane.
Kerja-kerja pembinaan terowong bawah tanah yang di lakukan hendaklah dipastikan tidak mengganggu struktur bangunan sedia ada.
Sebelum kerja pengorekan itu dilakukan, pasukan pakar di MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. telah mengenal pasti kaedah untuk menjalankan pemetaan geologi tanah secara terperinci sebelum kerja-kerja pembinaan utama bermula.
Memandangkan kerja-kerja membina terowong dan pembinaan landasan atas tanah dijalankan secara serentak, teknologi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) Herrenknecht yang diimport dari Jerman digunakan untuk memastikan jajaran di setiap stesen bersambung dengan tepat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: