Thursday, September 5, 2013

Rahsia Qayyim cepat membaca al-Quran

QAYYIM merupakan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan dua tahun lalu.


VISUAL matanya kabur dan kelam kerana penyakit hipoplastik tahap tiga yang dihidapi sejak lahir. Namun, pendengarannya barangkali lebih tajam, sentuhan jarinya lebih peka dan hatinya lebih terang berbanding insan lain yang sempurna.
Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, murid tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Kelantan ini istimewa.
Bukan sahaja kerana dia seorang kelainan upaya tapi juga kerana kemampuannya menjadi johan qari tilawah al-Quran yang menewaskan peserta-peserta normal di negara ini sejak di bangku sekolah rendah.
Ketika sesetengah kanak-kanak, remaja atau dewasa lain masih merangkak-rangkak membaca al-Quran dengan batang lidi sebagai penunjuk, Qayyim melarikan jarinya di atas timbulan-timbulan bintik pada kertas kitab al-Quran Braille dan mengalun bacaan penuh fasih dihiasi bunga taranum.
Demam kuning
Qayyim, 14, semasa bayinya pernah mendiami inkubator selama hampir sebulan ekoran demam kuning bukan sahaja bergelar Johan Tilawah al-Quran Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan 2012 dan 2013 bahkan naib johan program televisyen, Adik-Adikku dan pelajar terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah kategori Keperluan Khas peringkat negeri Kelantan pada tahun 2011 dengan 3A 2B.
Malah, dia diberi penghormatan memperdengarkan bacaan pada majlis akad nikah mempelai diraja, adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri dengan anak saudara Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Qawi tempoh hari.
Anak kepada bekas pemain bola sepak Kelantan skuad Semi Pro 1989, Sarimi Yusoff, 48 dan guru bahasa Inggeris, Rozan Mohamed, 40, ini juga pandai bermain alat muzik dan mampu memainkan lagu yang didengarinya dengan keyboard hanya dengan intuisi sendiri, tanpa dilatih.
Sarimi berkata, anaknya itu mempunyai telinga yang cepat menangkap. Sebelum memasuki sekolah dia membaca al-Quran melalui pendengaran dan hafazan.
“Minatnya untuk membaca al-Quran tercetus sendiri apabila mendengar bacaan ayat suci itu di televisyen atau cakera padat yang dipasang di rumah atau kereta. Dia mendengar dan menghafalnya.
“Hanya selepas masuk darjah satu di sekolah rendah barulah dia belajar membaca al-Quran secara Braille. Dia belajar mengenal huruf al-Quran dengan seorang guru yang cacat penglihatan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.
Sarimi memberitahu, menjadi rutin anaknya setiap malam sebelum tidur untuk mendengar bacaan al-Quran imam-imam terkenal yang dipasang pada komputernya sehingga matanya terlelap.
Pada bulan Ramadan, dia akan tidur awal dan minta dikejutkan sekitar pukul 2.30 pagi untuk mendengar bacaan imam tarawih di Masjidilharam, Mekah yang disiarkan secara langsung di televisyen. Kemudian, dia terus bersahur. Sarimi memberitahu ada imam dari Mesir yang mengenali anak sulung daripada lima beradik itu seperti Sheikh Hisyam Abdul Bari yang dijemput menjadi imam solat tarawih di Kelantan.

QAYYIM (dua dari kanan) bersama kedua-dua ibu bapa dan adik-beradiknya.


Qayyim juga boleh memainkan pelbagai alat muzik seperti gendang dan bongo. Dia meminati keyboard dan boleh memainkannya untuk sesuatu lagu selepas hanya dua atau tiga jam mendengarnya.
Seorang yang tidak banyak bercakap, Qayyim seorang yang berhati-hati ketika bertutur. Hakikatnya, Qayyim bukanlah tidak nampak langsung tetapi dia melihat pada jarak yang terlalu dekat.
Kesempatan menemui Qayyim di sekolahnya baru-baru ini menggambarkan betapa dia seorang yang tegar dengan kekurangan yang dimilikinya. Dia selesa berjalan tanpa dipimpin, bergaul dengan murid normal dan menaip di mesin braille.
Suara lunak
Remaja berkulit cerah itu agak malu-malu untuk diwawancara namun apabila dia memperdengarkan bacaan surah Luqman menggunakan al-Quran Braille yang terdapat di dalam bilik Kelab Braille al-Quran sekolah tersebut, suara lunaknya yang berkumandang dan kefasihannya membaca al-Quran amat mempesonakan.
“Saya suka baca al-Quran, bila baca al-Quran hati saya tenang. Tidak kira bagaimanapun kita, kita kena memuliakan al-Quran,” katanya yang memberitahu dia sudah menghafal dua juzuk al-Quran.
Qayyim berkata, dia belajar mengaji al-Quran Braille semasa darjah satu dan mengambil masa setahun untuk mahir membaca. Taranum pula dipelajari daripada seorang ustaz di sekolah rendahnya.
Meskipun dia dilihat cenderung pada bidang agama, apabila ditanya akan cita-citanya, Qayyim menjawab dengan menguntum senyum: “Saya mahu menjadi guru Bahasa Inggeris.”
Guru pendidikan khas yang bertanggungjawab menjadi pengantara antara Qayyim dan guru-guru yang mengajarnya, Nor Safarin Shamshudden berkata, Qayyim seorang yang sangat memanfaatkan pendengaran dan ingatannya.
“Dia cekap dalam hal-hal yang menggunakan deria dengar dan mengingat. Sebab itu, dia bagus dalam subjek-subjek bahasa. Guru Bahasa Arabnya berkata, Qayyim lebih mudah dan cepat menerima pelajaran Bahasa Arab berbanding murid-murid lain (normal). Bila dia sebut, siap dengan lahjah (bunyi loghat) Arab,” katanya.
Nor Safarin memberitahu, SMKA Melor merupakan sekolah pertama atau perintis bagi penubuhan Kelab Braille Al-Quran di negara ini iaitu pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dan Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pengetua sekolahnya, Ahmad Sulaiman berpendapat, Qayyim murid yang berpotensi tinggi, berkeyakinan, popular dan disenangi semua.
“Dia berbakat. Apa yang ada padanya ialah anugerah Tuhan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: