Thursday, September 5, 2013
Cinta maya belia Teluk Arab
JABER dan teman wanitanya saling melayan perasaan cinta sepanjang masa dan meluahkan kata-kata manis tentang impian masa depan mereka. Namun, seperti kebanyakan golongan belia di Teluk Arab, mereka hanya boleh melakukannya secara maya.
Di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di semua negara teluk yang konservatif, amalan berpacaran tidak boleh diterima dalam kalangan rakyat mereka. Sebaliknya, perkahwinan yang diatur oleh keluarga merupakan satu perkara biasa.
Dalam usaha untuk mengatasi pengasingan masyarakat, lelaki dan wanita muda akan bersemuka melalui aplikasi-aplikasi perbualan yang disediakan di telefon-telefon pintar masa kini.
Dilamun cinta
Duduk di sebuah kedai kopi, lelaki yang sedang dilamun cinta itu sibuk menaip mesej di papan kekunci BlackBerrynya, pada masa yang sama menghirup secawan teh panas.
"Kali pertama saya bertemu dengannya ialah ketika di sebuah panggung wayang. Terpesona, saya terus meminta seorang pekerja di situ untuk menyerahkan kod nombor pengenalan peribadi (PIN) BlackBerry saya kepadanya.
"Saya tidak menyangka dia akan memasukkan nama saya ke dalam senarai orang-orang yang dihubunginya, apatah lagi kisah cinta yang terjalin antara kami berdua," katanya tersenyum lebar mengimbau hari pertemuan penuh bersejarah itu.
Pertemuan dua insan itu di alam siber berlangsung dua bulan kemudian apabila wanita muda itu memberanikan diri untuk menghubungi Jaber melalui aplikasi perbualan Skype.
"Ia satu pertemuan yang singkat. Namun ia sudah cukup untuk kami meluahkan rasa cinta kami," kata Jaber yang berkeras enggan mendedahkan nama teman wanitanya atas alasan ia boleh mencetuskan skandal dalam masyarakat di negaranya itu.
Akhirnya dia telah berjaya memujuk cinta hatinya bertemu secara rahsia. Kini pasangan itu sedang mempertimbangkan langkah seterusnya iaitu Jaber perlu mengatur pertemuan dengan bapa wanita itu dan meminta kebenaran untuk berkahwin.
Nilai tradisi
Penasihat Penyelidikan dan Kajian Yayasan Pembangunan Keluarga di Abu Dhabi, Jamila Khanji berkata, sungguhpun merupakan sebuah negara moden, keluarga-keluarga di UAE masih berpegang kepada nilai-nilai tradisional.
"Kaum keluarga masih mengatur perkahwinan anak-anak mereka. Namun, kini mereka lebih fleksibel dengan membenarkan pasangan yang telah bertunang untuk bertemu atau membenarkan tempoh pertunangan yang lebih lama untuk memberi peluang kepada pasangan mengenali antara satu sama lain," ujarnya.
Itu merupakan keadaan di UAE yang dianggap sebagai salah satu negara Teluk yang paling liberal. Senario yang berbeza dilihat di Arab Saudi kerana adalah mustahil pasangan yang bercinta dapat bertemu kerana kerajaan negara tersebut melarang pergaulan antara jantina.
Di pintu masuk sebuah kafeteria sebuah pusat beli-belah yang terletak di Jalan Al-Tahliya, salah satu daerah Riyadh yang paling sibuk, berpuluh-puluh lelaki muda melihat gadis berpurdah yang memakai kasut tumit tinggi dan beg tangan berjenama berjalan dan menuju ke kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk wanita dan keluarga.
Di Arab Saudi, hampir mustahil untuk lelaki mendekati seorang wanita secara terbuka. Kehadiran teknologi-teknologi terkini, termasuk aplikasi telefon mudah alih, telah membuka ruang kepada halangan tersebut.
Dengan mengaktifkan aplikasi telefon pintar yang popular di negara itu, WhosHere, seorang lelaki muda yang duduk di bahagian lelaki di kafeteria yang sama boleh menghubungi gadis yang duduk di bahagian keluarga.
"Saya mengesan 16 orang gadis muncul di aplikasi ini dan saya boleh berhubung dengan sesiapa yang saya suka daripada mereka," kata Ahmed, yang seperti Jaber, enggan memberikan nama keluarga beliau.
Baling kertas
Sebelum ini, lelaki-lelaki di negara yang kaya dengan minyak itu akan membaling sekeping kertas yang tertulis nombor telefon mereka kepada gadis-gadis yang mereka sukai.
Menurut satu sumber industri, pihak berkuasa Saudi telah memberi amaran pada bulan Mac lalu bahawa ia akan mengharamkan aplikasi seperti Skype dan WhatsApp jika pembekal gagal untuk membenarkan pihak berkuasa menapis kandungan aplikasi berkenaan.
Aplikasi internet, Viber, misalnya telah disekat buat sementara waktu di Arab Saudi pada bulan Jun lalu, sementara BlackBerry hampir diharamkan pada tahun 2010. Pihak berkuasa mewajarkan tindakan itu dengan alasan kebimbangan terhadap keselamatan.
Walaupun telefon pintar telah menjadi sebahagian daripada gajet temu janji di negara itu, hubungan yang terjalin tidak dibawa sehingga ke alam perkahwinan, kata pengguna.
"Tiada seorang pun daripada rakan-rakan saya telah berkahwin dengan gadis yang ditemui melalui kaedah ini," kata Ahmed.
Qatar Alanood telah jatuh cinta dengan seorang rakan abangnya, tetapi tidak boleh mendedahkan isi hati beliau kerana takut dimalukan.
"Saya berkomunikasi dengan beliau di Skype. Ia adalah satu kisah cinta yang sia-sia," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: