• Noraniza Idris Noraniza Idris bersama suami.
PADA usia 45 tahun, penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris, masih mengidamkan cahaya mata bersama suami tercinta,  Jeffri Hudi, 54. Malah pelantun Awallah Dondang ini mengakui, mereka teringin memiliki anak perempuan sebagai penyeri rumah tangga.

"Suami memang sukakan anak perempuan tambahan pula empat anaknya sebelum ini semua lelaki. Kami hanya mampu merancang tapi Tuhan menentukan segalanya.

"Apa pun kami tidak mahu terlalu berharap kerana saya pun dah berusia. Pastinya ramai tahu wanita berusia macam saya ini, begitu sukar untuk mengandung dan akan mendatangkan risiko tinggi.

"Tapi tidak mustahil dengan kuasa ALLAH. Ada rezeki, kami terima," katanya yang berkahwin dengan Jeffri sejak dua tahun lalu.

Pernah dikatakan hamil sebelum ini, Noraniza atau lebih mesra dipanggil Kak Ani berkata, dia sebenarnya mengalami pertambahan berat badan ketara.

"Semua orang tegur badan saya berisi. Jadi saya kini berusaha untuk turunkan berat badan," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Seniman, kelmarin.

Kak Ani yang pernah dua kali gagal dalam perkahwinan sebelum ini, kini bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang benar-benar mampu membimbingnya.

"Alhamdulillah, dijodohkan bersama  Jeffri membuatkan saya begitu gembira berada di sampingnya. Dia banyak beri semangat dan galakkan untuk saya terus mengorak langkah dalam karier seni dan sangat memahami diri saya.

“Dia juga seorang lemah-lembut, susah hendak melihatnya marah. Malah layanan terhadap anak-anak juga diberikan sama rata sehingga mereka menghormatinya seperti ayah sendiri," katanya.


Bakal lancar single baru

Setelah hampir lapan tahun tidak muncul dengan lagu baru, Kak Ani bakal tampil dengan single terbaru tidak lama lagi.

Masih mengekalkan, irama tradisional yang selama ini cukup serasi dengan dirinya, single tersebut telah diberi kelainan untuk tatapan peminatnya.

"Kali terakhir saya mengeluarkan single pada 2006, menerusi lagu Enjut yang berentak etnik fusion berunsurkan jawa dan kuda kepang.

"Kali ini saya pilih irama zapin dengan menggabungkan artis baru dan lama. Siapa orangnya, saya tak boleh umumkan lagi. Tunggulah masa sesuai nanti," katanya.

Ditanya mengenai album baru, Kak Ani memberitahu, dia sememangnya ada perancangan untuk ke arah itu, namun buat masa sekarang, ia masih belum dapat dilaksanakan.

"Siapa tak teringin nak keluarkan album, tapi bila fikir soal kos yang tinggi, saya perlu tangguhkan niat itu. Ditambah pula dengan pasaran yang semakin suram," kata pengasas Akademi Tatihseni ini.