Wednesday, September 11, 2013

Nasib musang di kota London


MUSANG yang agresif akan ditangkap atau dibunuh oleh skuad penembak.


SESETENGAH orang berpendapat ia suka menimbulkan kekacauan dan merbahaya kepada penduduk.
Bagi sesetengah pihak lain, kempen 10,000 musang di London merupakan satu usaha dalam menjadikan hutan konkrit itu sebagai syurga kepada hidupan liar.
Haiwan berwarna perang kemerahan itu sering dilihat berkeliaran di jalan raya sekitar ibu negara Britain itu.
Kini, populasinya semakin bertambah dan mudah dilihat di mana-mana sahaja. Menurut satu kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini, lebih 70 peratus penduduk London berjaya menemui haiwan itu hanya dalam tempoh seminggu.
Bagaimanapun, tidak semua warga London mengalu-alukan kehadirannya. Bagi mereka yang tinggal di bandar, musang dianggap sebagai satu igauan ngeri.
Ancaman
Ramai mendakwa tidur mereka sering terganggu disebabkan lolongan haiwan itu, tidak kurang juga yang terpaksa bangun semata-mata mahu membetulkan semula tong sampah yang terbalik diselongkar musang.
Lebih menyakitkan hati, haiwan itu turut meninggalkan cecair bau busuk yang mengambil masa panjang untuk hilang.
Mempunyai mata bersinar-sinar dan gigi yang tajam, musang dlihat sebagai ancaman utama kepada manusia.
Beberapa tahun kebelakangan ini terdapat sejumlah kes serangan musang terhadap bayi dan kanak-kanak. Namun perkara itu dinafikan pejuang hak asasi haiwan yang mendakwa kes-kes itu sengaja dibesar-besarkan.
Pada bulan Jun lalu, Datuk Bandar London, Boris Johnson telah mengadakan perdebatan panjang bagi menentukan nasib haiwan itu. Beliau telah mencadangkan agar sukan tradisi memburu musang yang diharamkan di Britain sejak 2005 dihidupkan semula.
"Ia bukan satu keputusan yang popular tetapi saya tidak peduli.
"Sekiranya orang ramai mahu haiwan ini dipindahkan ke Islington, sebuah daerah kecil di utara London, saya bersedia membantu," katanya, yang terpanggil untuk menyatakan pendapatnya selepas beberapa ekor kucing peliharaannya diserang musang yang berkeliaran di bandar raya itu.
Menurut kajian yang dilakukan Universiti Bristol, terdapat lebih 33,000 ekor musang menghuni di sekitar kawasan bandar-bandar utama di Britain. London mencatat kedudukan yang ketiga. Lebih 250,000 ekor lagi dipercayai berada di kawasan-kawasan luar bandar.
"Haiwan ini mudah menyesuaikan diri dan boleh makan apa sahaja jenis makanan yang ditawarkan di sekelilingnya. Justeru, tidak mengejutkan sekirannya ia mudah ditemui di sekitar kawasan bandar," kata Calie Rydings dari pertubuhan amal haiwan Pertubuhan Diraja Pencegahan Kekejaman Haiwan (RSCPA).
DIANGGARKAN terdapat kira-kira 33,000 ekor musang menghuni beberapa bandar utama di Britain.


Mempunyai taman-taman yang luas di samping ribuan kediaman yang lengkap dengan landskap, tidak hairanlah London merupakan syurga bagi haiwan tersebut.
Ia telah menjadi sebahagian daripada landskap bandar raya itu sejak tahun 1930-an, apabila pembangunan pesat memusnahkan kawasan habital asalnya.
Biarpun terdapat pelbagai aduan yang dilakukan, musang-musang yang berkeliaran itu seakan selesa hidup bersama manusia.
Undian yang dilakukan stesen televisyen, Channel 4 mendapati lebih 86 penduduk London menyukai haiwan itu. Sementara itu, kajian yang dilakukan Universiti Bristol melaporkan kira-kira 10 peratus penduduk di bandar raya itu kerap memberinya makan.
Ketika ini, Britain mempunyai kadar populasi musang tertinggi di dunia, menurut Stephen Harris, professor sains alam sekitar di Universiti Bristol.
Konflik
"Biarpun ia kerap menimbulkan masalah kepada penduduk, namun majoriti suka melihat kehadiran haiwan ini bermain-main di sekitar kediaman mereka," katanya kepada AFP.
Bagaimanapun konflik musang dengan manusia sejak beberapa tahun lalu, turut menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan menyebabkan wujudnya gesaan agar musang-musang ini dibunuh atau dipindahkan ke kawasan luar bandar.
Pada tahun 2010, di timur London, seorang ibu menceritakan kesan trauma yang dialami selepas anak perempuan kembarnya yang berusia sembilan bulan dibaham haiwan itu ketika tidur. Pada bulan Februari lalu, seorang bayi berusia sebulan putus jari tangan akibat digigit musang.
Walau bagaimanapun, pelbagai pertubuhan haiwan berpendapat, ia merupakan kes terpencil dan dalam sesetengah kes, tiada bukti kukuh mengaitkan musang dengan serangan yang dilakukan.
Trevor Williams, pengarah badan kebajikan Fox Project berkata, jumlah serangan yang melibatkan musang adalah terlalu kecil berbanding lebih 250,000 orang yang menjadi mangsa gigitan anjing setiap tahun di Britain.
Ancaman terbesar, menurut RSPCA, adalah musang-musang berkenaan.
Purata jangka hayat seekor musang yang hidup di kawasan bandar ialah dua tahun, berbanding empat tahun yang ditempatkan dalam kurungan.
Kenderaan juga menjadi punca lebih 60 peratus kematian musang. Selebihnya mati akibat penyakit atau dibunuh oleh skuad penembak khas yang diarah untuk menembak musang di London.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: