Wednesday, September 11, 2013
Generasi muda pertahankan silat
SILAT merupakan seni mempertahankan diri yang begitu unik. Di sebalik gerakan silat yang lemah-lembut itu tersirat pukulan-pukulan maut bertujuan mengekang dan mengunci pergerakan musuh.
Sebagai salah satu seni yang lengkap pada zahir dan batinnya, tidak hairanlah silat dilihat sebagai seni tempur bela diri yang cukup sempurna.
Biarpun demikian, perubahan zaman menyaksikan warisan silat yang sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu semakin terpinggir.
Generasi muda pada hari ini tidak lagi meminati silat yang disifatkan agak kekampungan. Mereka cenderung untuk memilih seni tempur bela diri yang diimport dari luar seperti taekwondo, karate, judo dan sebagainya.
Bagi Muhammad Fauzan Hashim, 18, silat merupakan seni warisan bangsa yang sewajarnya dipertahankan sampai bila-bila.
Disebabkan itu, dia tidak teragak-agak untuk menyertai Kelab Pencak Silat UPSI itu sebaik sahaja melanjutkan pengajian ke UPSI dalam jurusan diploma muzik sedikit masa lalu.
"Jika kita tidak mempelajari atau mewarisi seni ini siapa lagi yang akan memartabatkannya untuk generasi yang datang.
"Lagipun, aktiviti ini tidak pernah mengganggu rutin saya sebagai pelajar, malah menjadikan saya lebih berdisiplin dalam merancang jadual harian," katanya.
Biarpun mempunyai asas persilatan seni Silat Harimau ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Sungai Rambai, Melaka dahulu, Muhammad Fauzan berkata, dia tetap gigih berlatih untuk menguasai seni pencak silat yang banyak menekankan kepada aspek kemahiran dan taktikal.
"Ilmu seni silat sangat luas dan pelbagai, terpulang kepada kita untuk mendalaminya kerana setiap satunya mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri," ujarnya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, ilmu yang dipelajari bukan digunakan untuk bermegah atau bertelingkah sesama sendiri kerana ia bertentangan dengan prinsip sebenar seni mempertahankan diri tersebut.
"Silat merupakan disiplin yang baik kerana tidak ada cabang perguruan seni mempertahankan diri mengajar perkara tidak berfaedah kepada pengikutnya.
"Ilmu persilatan itu perlu dihayati dan diterjemahkan dengan penuh taat untuk membentuk semangat demi membela tanah air daripada ancaman musuh," katanya.
Membudayakan masyarakat
Rakannya, Muhammad Khairul Hadi Ismail, 20, berkata, silat mempunyai elemen penting dalam melatih dan membudayakan masyarakat terutama para pelajar dalam membentuk jati diri serta berdisiplin.
Katanya, seni silat juga mampu menonjolkan satu budaya hidup yang sihat yang sewajarnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
"Berlatih silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri atau mengisi masa lapang, tetapi silat juga mampu membentuk, memperkasa dan mendisiplinkan sesebuah masyarakat.
"Ahli silat diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, disiplin dan jati diri. Sebab itulah, ilmu persilatan mesti terus dipelajari dan dikembangkan agar tidak hilang ditelan zaman," ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu berkata, jika dikaji secara terperinci, setiap gerak seni, buah pukulan dan amalan seni silat Melayu terbina daripada modul pembelajaran yang dicipta beratus tahun lamanya.
"Jika diamalkan ia mampu membentuk keperibadian dan jati diri individu yang tinggi, di samping berkemampuan melahirkan pemimpin pelapis pada masa hadapan," katanya
Sementara itu, Nur Syafidah Johan, 21, mengakui banyak perkara atau ilmu boleh dipelajari menerusi seni silat kerana setiap gerakan silat dikaitkan dengan ibadat yang dilakukan seharian.
"Ia bukan saja aktiviti yang lasak tetapi dapat mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta.
"Pada masa sama, ia menerapkan nilai-nilai murni dengan mendidik diri untuk mengatur waktu, taat kepada ketua dan menghormati orang yang lebih tua," katanya yang merupakan pelajar semester ketiga Diploma Sains UPSI.
Mula mempelajari asas persilatan ketika bersekolah SMK Tengku Syed Idrus, Tampin, Negeri Sembilan, Nur Syafidah berkata, tidak ada salahnya wanita menyertai aktiviti itu.
Katanya, walaupun dilihat agak kasar, namun ia masih lagi sesuai untuk diamalkan dan tidak mengubah sifat-sifat kewanitaan seseorang pengamalnya.
"Sebagai seorang perempuan, kita perlu mengetahui sedikit sebanyak seni mempertahankan diri terutama dengan peningkatan kadar jenayah sejak akhir-akhir ini.
"Sekurang-kurangnya, ilmu yang dipelajari boleh dijadikan benteng keselamatan diri dan menghindari sebarang gangguan yang tidak diduga," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: