Friday, September 6, 2013

Memberi peluang kedua



SETIAP manusia tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan, namun mereka juga perlu diberi peluang untuk bertaubat dan menginsafi kekhilafan diri.


MANUSIA sentiasa melakukan kesalahan dan ia suatu yang tidak seharusnya dikeji. Hanya melalui kemaafan suatu kesilapan itu boleh diterima dan tidak lagi menyakitkan hati.
Namun demikian, persoalan yang wajar ditanya : Adakah kemaafan yang diberikan bererti peluang kedua juga wajar diberikan kepada pesalah?
Kebanyakan manusia mampu untuk memaafkan tetapi sukar untuk melupakan. Ada juga yang tidak mampu lagi memberi peluang.
Apakah sememangnya sekali tersalah, tiada lagi peluang untuk seseorang itu membuktikan dia telah berubah?
Hidup adalah peluang
Realitinya, hidup bererti memberi peluang. Muhasabah diri perlu dilakukan sepanjang masa. Ini kerana setiap hari kita melakukan pelbagai perkara dan sama ada sedar atau tidak, ada di antaranya menyebabkan kita berdosa kepada manusia dan Allah Yang Maha Berkuasa.
Malah, ada manusia yang berulang-ulang kali melakukan dosa.
Ketika rasa mengantuk mendatang, kita 'dimatikan' sementara dan 'dihidupkan' semula awal pagi esoknya.
Mungkin ada yang 'tidur' terus kerana nyawa tidak dikembalikanNya. Namun, kita yang terus bernafas di muka bumi ini adalah antara yang terpilih dan diberikan peluang untuk mengubah diri menjadi lebih baik sama ada sebagai isteri, suami, ibu, bapa, anak, pekerja, majikan, jiran atau saudara. Malah menjadi lebih baik untuk diri sendiri khususnya sebagai hambaNya.
Andai Allah SWT kekal memberikan kita peluang saban hari, kenapa kita sebagai hamba tidak berusaha memberikan peluang yang sama?

KEKECEWAAN yang dialami dalam hidup mendorong ramai orang memilih cara yang salah untuk melepaskan tekanan.


Tuntutan syariat
Perkara yang paling sukar untuk diberi peluang ialah apabila diri dikhianati pasangan sendiri. Dalam banyak keadaan, suami atau isteri terlalu sukar memberi peluang kepada pasangan untuk membuktikan mereka telah berubah.
Walaupun hubungan masih diteruskan, kesilapan silam digunakan sebagai senjata untuk tidak mempercayakan pasangan lagi.
Sama juga dengan hubungan persahabatan atau persaudaraan, sekali tersalah umpama dipersalahkan sepanjang hayat.
Ramai yang terlupa bahawa rakan, musuh, pasangan dan diri anda sendiri merupakan manusia. Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang.
Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan.
Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama?
Hidup kita ibarat roda, ada ketikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Maafkanlah dan berikan peluang kerana kelak, jika anda di tempat yang sama, akan ada orang lain yang akan memaafkan dan memberi anda peluang yang sama.
Allah SWT dengan syariat Islam mengajar kita untuk sentiasa memberi peluang. Perhatikan sahaja realiti perceraian. Talak pertama dan talak kedua dikategorikan sebagai talak rajii iaitu talak yang boleh dirujuk ketika masih dalam tempoh idah.
Andai tempoh idah telah berakhir iaitu minimum tiga bulan dan maksimum sembilan bulan (jika diceraikan ketika awal kehamilan), pasangan bercerai masih boleh bersama semula sebagai suami isteri dengan akad nikah baharu.
Andai terjadi talak tiga yang diklasifikasikan sebagai talak bain kubra iaitu tidak boleh rujuk walau berada dalam tempoh idah dan tidak boleh nikah semula walaupun menggunakan akad nikah baharu.
Tetapi pasangan ini tetap boleh bersama sebagai suami isteri dengan syarat si isteri yang telah diceraikan berkahwin dengan seorang lelaki yang lain. Kemudian berlaku hubungan kelamin antara mereka sebelum bercerai sama ada hidup atau mati dan si wanita itu melalui tempoh idahnya. Ketika selesai tempoh idah tersebut, si wanita boleh dikahwini semula oleh suaminya yang pertama.

HUBUNGAN suami isteri yang bermasalah boleh dipulihkan jika masing-masing bertolak-ansur untuk memperbaiki diri.


Betapa Allah menganjurkan peluang kepada hambaNya. Justeru, berikan peluang tetapi jangan sampai menganiayai diri sendiri.
Sejauh mana peluang boleh diberi? Sekali? Dua kali? Tiga kali? Kalau mengikutkan hukum perceraian, peluang boleh diberi melebihi tiga kali.
Sebenarnya, berapa jumlah peluang yang boleh diberi tidak ditentukan had minimum mahupun maksimum.
Paling utama, selagi anda berdaya menjadi hamba yang adil dan reda dengan kesan daripada tindakan anda dalam memberikan peluang, anda bebas untuk terus memberikan peluang kepada sesiapa sahaja.
Reda bermaksud anda berlapang dada dan adil, bererti anda tidak menganiayai diri anda sendiri.
Syariat meminta kita sebagai umat Islam untuk menyayangi saudara kita termasuk pasangan, saudara, sahabat atau jiran tetangga. Tidak terhad pada itu, kita juga harus menyayangi sesama manusia seperti kita menyayangi diri sendiri.
Namun, ia tidaklah sehingga kita menganiayai diri sendiri. Analogi mudah, pengorbanan perlu untuk meneruskan kehidupan, tetapi bukan dengan sengaja membunuh diri sendiri.
Lantas, berikan peluang selagi daya dan kepada manusia yang diberikan peluang, ambillah teladan.
Mengertilah, manusia yang penuh kesabaran akan mengambil keputusan nekad dan muktamad, jauh dari segala sangkaan anda.
Jangan sampai anda merana kerana dia tidak lagi percaya!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: