|
PADA masa lalu, sebagai kanak-kanak, setiap kali bangun daripada tidur, kita akan berasa teruja untuk bermain kerana ia membolehkan kita bertemu dengan rakan-rakan sepermainan.
Kita boleh berkongsi pelbagai pengalaman baharu setiap kali bermain, di samping bersama-sama merasai kegembiraan dan kekecewaan di atas kejayaan mahupun kegagalan kita. Selain itu, bermain bersama mengajar kita bagaimana untuk menghormati perasaan orang lain.
Sebaliknya pada hari ini, permainan video telah menjadi rakan baharu kanak-kanak. Ia telah menjadi sahabat yang boleh disimpan di dalam poket baju. Alat kecil ini mengurangkan keperluan mereka menjaga perasaan 'rakan' permainan mereka.
Mereka boleh berbuat apa sahaja yang disukai. Sekiranya mereka dikalahkan dalam permainan, permainan boleh dimulakan sekali lagi dengan hanya menekan pada butang tertentu pada peranti mereka.
Anak-anak kita juga mungkin tidak lagi mengetahui apakah permainan batu seremban, congkak atau gasing. Sebaliknya, mereka pasti akan lebih tahu Angry Birds atau beberapa lagi permainan video popular yang ada di komputer atau telefon pintar.
Pembentukan personaliti
Sebenarnya, ini adalah cabaran baharu untuk kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Walaupun tidak semua bentuk permainan komputer ini memberikan kesan negatif, bagaimanapun ahli-ahli psikologi percaya bahawa ia telah menyebabkan kanak-kanak ini cenderung untuk kurang bersikap empati, antisosial, kurang menguasai kemahiran sosial, malah yang lebih menakutkan, menjadikan mereka semakin ganas.
Selain itu, tumpuan melampau terhadap permainan-permainan video ini juga boleh menjejaskan pelajaran mereka.
Apa yang lebih menakutkan ada permainan-permainan tertentu yang menyebabkan kesan yang negatif terhadap personaliti anak-anak seperti mudah mencetuskan perasaan marah, langsang (agresif) dan berdendam.
Tragedi pembunuhan 12 orang pelajar dan seorang guru di Sekolah Tinggi Columbine, Colorado di Amerika Syarikat pada April 1999 yang dilakukan oleh pemain tegar permainan video Doom, David Harris dan Bennet Klebold, adalah antara bukti bagaimana permainan video mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku manusia.
Walaupun ia adalah satu kes terpencil, bagaimanapun kajian-kajian psikologi yang telah dilaksanakan sentiasa menunjukkan bahawa permainan elektronik yang bersifat ganas boleh membentuk perilaku ganas manusia.
Sungguhpun pasaran masa kini menawarkan pelbagai bentuk permainan video yang bersifat mendidik, bagaimanapun permainan ganas lebih menjadi pilihan. Ia menjadikan pemain seolah-olah seorang wira yang boleh menyelamat dunia.
Kesan permainan
Sebab itu, sebagai ibu bapa kita harus berhati-hati dengan pelbagai bentuk permainan video yang ada di pasaran. Tidak seperti permainan tradisional yang biasanya memerlukan kanak-kanak berinteraksi dan berkongsi emosi dengan rakan-rakan sebaya yang lain, permainan video hanya memberikan mereka cabaran dan persaingan.
Mereka berasa teruja untuk memenangi permainan tanpa perlu mengetahui rasional dalam memenangi permainan tersebut. Malah, dalam sesetengah permainan, mereka boleh membunuh, walaupun secara realitinya ia bukan hal yang betul.
Setiap kali mencapai kemenangan, mereka akan berasa gembira. Sebaliknya, apabila mengalami kekalahan, mereka akan berasa kecewa. Bagaimanapun, cara untuk mereka menghadapi kekecewaan tadi adalah dengan cara yang tidak rasional. Mereka hanya perlu mematikan permainan tadi dan memulakannya kembali.
Pemain-pemain tegar sentiasa berfikir untuk bermain tanpa mengira waktu, sehingga banyak aktiviti lain khususnya pelajaran diabaikan.
Secara psikologikalnya, walaupun mereka mungkin menghadiri sesi persekolahan seperti biasa atau melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran, hakikat yang berlaku ialah fikiran mereka sebenarnya berada pada tempat yang lain. Keadaan ini dikenali sebagai presenteeism.
Selain kajian psikologi, kajian-kajian terkini dalam disiplin perubatan juga menunjukkan bahawa adalah lebih baik untuk tidak mendedahkan anak-anak kita secara keterlaluan dengan permainan video.
Terdapat kajian yang menunjukkan berlaku perubahan aktiviti otak bagi mereka yang ketagih permainan dalam talian. Ia merupakan simptom yang sama dihadapi oleh pesakit yang mengalami ketagihan dadah.
Bayangkan, kalau perkara ini berterusan, apa yang bakal berlaku terhadap anak-anak kita. Mereka patut membesar untuk menjadi manusia yang mampu menghadapi dunia realiti dan bukan dunia khayalan yang diciptakan oleh permainan moden ini.
Berhati-hatilah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: