• Berpintu langsir, berlantai tanah Hasliza (kanan) mendengar luahan dan masalah yang dihadapi Siti Sakinah (kiri).
BALING - "Kehidupan kami di kebun getah ini hanya berpintukan langsir dan berlantaikan tanah sejak beberapa tahun lalu," luah Siti Sakinah Rosli, 28, yang hidup serba daif di Kampung Padang Cina, Kupang, di sini.

Siti Sakinah berkata, dia tinggal bersama suami, Mohd Nor Hijri Mansor, 28, seorang anak, Allaki Arif, 3, dan tiga anak saudaranya berumur 5 hingga 7 tahun.

Malah ibunya, Zaiton Wahab, 63, yang berdepan masalah kesihatan turut tinggal bersamanya.

"Walaupun berada dalam kesempitan, saya sanggup menjaga tiga anak saudara yang hilang tempat bergantung setelah ibu bapa mereka meninggal dunia.

"Pendapatan suami yang hanya bekerja kampung tidak menentu menyebabkan kami tiada kemampuan membina rumah lebih sempurna," katanya.

Ditanya mengenai bahaya mendiami rumah serba daif itu, Siti Sakinah menjelaskan, rumahnya pernah dimasuki haiwan berbisa termasuk ular sebelum ini.

"Rumah tiada pintu, macam-macam haiwan boleh masuk, namun alhamdulillah, tiada kejadian buruk berlaku.

"Tuhan masih sayangkan keluarga saya dan saya bersyukur masih punya tempat berteduh," katanya.

Katanya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anak saudaranya sedikit sebanyak mengurangkan beban keluarganya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Wanita Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling, Hasliza Harun berkata, pihaknya akan cuba memanjangkan masalah keluarga itu kepada pihak yang berkenaan.

“Memang tidak patut ada lagi kediaman yang hanya berlantaikan tanah. Insya-Allah, kita akan usahakan untuk kebaikan keluarga ini,” katanya semasa melawat dan menyampaikan sedikit  sumbangan kepada kepada keluarga berkenaan.