Saturday, February 9, 2013

Tempahan ular secara talian



BERBANDING kedai-kedai haiwan lain, Exoreptiles Malaysia (Exoreptiles) yang terletak di Bandar Mahkota Cheras, Cheras, Selangor menjalankan perniagaan sedikit berbeza. Kedai tersebut menawarkan perkhidmatan tempahan ular secara talian.
Umpama menempah tiket kapal terbang ke destinasi pilihan, peminat haiwan eksotik itu boleh memilih ular yang disukai melalui laman web www.exoreptiles.com, kemudian mereka pergi ke kedai itu bagi melihat keadaan sebelum membuat pengesahan penerimaan.
“Kami mahu setiap pelanggan yang membeli ular mempunyai cukup pengetahuan mengenai haiwan ini termasuk cara ia makan dan sifat serta karakter.
“Dalam dunia maklumat di hujung jari, mereka boleh terus melayari internet mengenai ular yang diminati selepas melihat-lihat di laman web,” kata pemilik Exoreptiles, Steve Yong, 34, ketika ditemui di Cheras.
Katanya, kaedah perniagaan tersebut terbukti berkesan apabila terdapat pelanggannya yang datang membawa anak yang berusia sekitar tujuh tahun tetapi mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat baik.
“Jangan terkejut, kanak-kanak itu mampu menamakan setiap ular yang ada di kedai ini dengan mudah,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini, Steve juga membela seekor ular sebagai haiwan peliharaan sekitar tahun 2002 tetapi dia telah mendapatkan ‘bapa angkat’ baharu kerana mahu berkahwin.
Isterinya takut dengan haiwan tidak berkaki itu. Pada tahun 2008, dia membuka Exoreptiles dan diuruskan sepenuh masa oleh adik Steve, Martin Yong, 25, dan seorang pekerja.
“Saya percaya, dengan pengetahuan dapat menghilangkan rasa fobia manusia terhadap ular,” ungkapnya yang turut mengakui sudah beberapa kali digigit reptilia itu.
Kesemua ular di kedai Steve bukan dari Malaysia. Kebanyakannya diimport dari United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Eropah.
Ular-ular yang dijual tidak tersenarai dalam Konvensyen Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa (CITES) dan tidak beracun.
Namun, ular yang ada dalam senarai itu yang memerlukan permit lebih mendapat sambutan serta cepat dijual, selalunya ia didambakan oleh para pengumpul, terangnya.
Menjaga ular sebagai haiwan peliharaan sangat mudah, menurut lelaki dari Segambut, Kuala Lumpur itu. Ia hanya perlu diberi makan seminggu sekali mengikut saiz.
Ular kecil diberi makan pinky, anak tikus yang masih belum tumbuh bulu atau tikus dewasa untuk ular besar, manakala terarium tidak terlalu besar atau kecil.
Jika terlalu besar akan menyebabkan tekanan pada ular selain sediakan bekas air untuk berendam, tempat bersembunyi dan substrat sebagai alas.
“Disebabkan ular-ular ini berasal dari negara empat musim, jangan simpan dalam bilik yang berhawa dingin. Itu menyebabkan ia berhibernasi sepanjang tahun.
“Jika itu berlaku, ular tersebut tidak akan makan dalam tempoh yang lama sehingga boleh menyebabkan kematian,” pesan Steve lagi.
ULAR dari negara-negara empat musim seharusnya tidak disimpan dalam bilik berhawa dingin.


Diberi makan
Setiap hujung minggu dan cuti umum, Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor memberi peluang kepada para pengunjung bergambar dengan ular sawa Burma serta batik.
Sebelum dibawa ke tempat umum, kedua-dua ular itu diberi makan dan dimandikan kerana haiwan itu juga mempunyai masalah kulit seperti kutu serta hama, kata penolong penyelia Rumah Reptilia, Mohd. Hamdan Abdul Hamid, 32.
Ujarnya, ular sawa Burma kelihatan lebih jinak walaupun tidak disentuh dalam masa tertentu kerana sifatnya yang agak pasif. Sifatnya itu menyebabkan ia lebih digemari penggemar ular.
Ular sawa batik pula agak sukar didekati walaupun selepas sehari tidak dipegang dengan menunjukkan aksi sedang mengalami tekanan dan menjauhi diri seolah-olah mahu melindungi diri.
“Ia agak agresif berbanding sawa Burma dan sawa batik ialah haiwan asli Malaysia,” kata Mohd. Hamdan ketika ditemui di Zoo Negara.
Ketika bertemu dengan Mohd. Hamdan pada akhir bulan lalu, Mohd. Hamdan menunjukkan dua ekor ular sawa iaitu daripada jenis Burma, Python molurus bivittatus dan sawa batik, Python reticulatus.
Perbezaan corak
Secara mata kasar, kedua-dua jenis ular itu nampak sama tetapi jika diteliti terdapat perbezaan pada corak yang kelihatan mempunyai perincian paten berkala dan halus.
Ular sawa Burma yang seberat 14 kilogram (kg) itu bernama Sonik dan berumur sembilan tahun, manakala sawa batik, Kiki yang berumur setahun mempunyai berat 4.5kg.
Ular sawa batik merupakan spesies dan reptilia yang terpanjang di dunia tetapi bukan badan paling besar.
Zoo Negara mempunyai 25 spesies ular Malaysia dan tiga spesies haiwan daripada luar negara. Jadi, terarium di situ tiada suhu khas diperlukan tetapi masih lagi dibekalkan sumber kawalan haba seperti lampu dan takungan air.
Timbalan Pengarah Zoo Negara, Dr. Muhamad Danial Felix, 46, berkata, ular terbahagi pada berbisa dan tidak berbisa.
PERBEZAAN dapat dilihat pada corak fizikal ular sawa batik (kiri) dan ular sawa Burma.


Tahap kecerdikan
Jenis tidak berbisa seperti ular sawa dan anakonda, manakala ular tedung senduk, selar serta ular kapak tergolong dalam kelompok berbisa.
Warna terang yang terdapat pada jenis berbisa selalunya menjadi amaran kepada hidupan lain. Sesetengah ular mempunyai warna yang sama dengan tanah untuk penyamaran.
“Tetapi ada juga ular tidak berbisa mempunyai warna terang untuk menipu haiwan lain,” kata Muhamad Danial ketika ditemui di pejabatnya di Zoo Negara.
Ular bergerak menggunakan otot dan sisik yang mempunyai perbezaan pada bahagian perut dan atas. Sisik bahagian perut berbentuk empat segi bujur dan besar.
“Reka bentuk sisik itu, otot dan geseran antara badan dengan permukaan tanah membolehkan ia bergerak. Pergerakan juga banyak jenis seperti bengkang-bengkok, bengkang-bengkok ketepi atau melurus,” terangnya lagi.
Haiwan yang mempunyai tahap kecerdikan seperti ular hanya perlu memastikan kelangsungan hidup dengan sentiasa mencari makanan dan melakukan pembiakan.
Biarpun penglihatan ular tidak jelas, ia mempunyai inframerah yang dapat mengesan haba badan mangsa, manakala rahangnya tidak bersambung dan boleh dibuka seluas-luasnya. Bergantung pada spesies, rata-rata ular mempunyai usia lebih kurang 20 tahun.
Ular tidak makan bangkai dan terdapat sesetengah spesies aktif pada waktu malam mengesan mangsa kerana haba mudah dikesan pada cuaca yang rendah.
Tambah Muhamad Danial, ular sentiasa mengeluarkan lidah bagi mengesan bahan kimia yang keluar daripada badan hidupan lain.
Bahan tersebut dihantar ke kelenjar Jacobson, seterusnya memberi maklumat mengenai spesies haiwan yang berada di hadapannya.
Ular juga dapat mengetahui kedatangan mangsa dengan merasai gegaran pada permukaan tanah.
Badan ular bersinar dan kalis air untuk menyimpan air. Hidupan itu membuang bahan perkumuhan air kencing atau urin dalam bentuk terhablur.
Waktu yang dinasihatkan tidak mendekati ular walaupun spesies itu dijadikan haiwan peliharaan adalah pada waktu bersalin kulit.
“Mata ular akan mengalami keputihan seperti katarak dan reptilia itu berasa nyilu pada seluruh badan,” tambah Muhamad Danial lagi.
Terdapat perbezaan pada ular air terutamanya pada bahagian ekor yang kelihatan seperti pendayung bagi membantu meningkat kemahiran hidupan tersebut berenang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: