
RAKYAT Liberia kini berdepan dengan dilema apabila semakin banyak tanah mereka dijual kepada syarikat asing.
SETELAH konflik umum yang tercetus sejak sembilan tahun lalu mulai reda, kini Liberia dikatakan berdepan dengan masalah tanah.
Ia berikutan tindakan kerajaan Liberia yang menjual tanah negara itu sedikit demi sedikit kepada pihak luar yang mahu membelinya secara bidaan harga.
Hal itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan orang ramai yang merasakan situasi tersebut semakin kronik.
Pengerusi Pesuruhjaya Tanah Liberia, Othello Brandy, bagaimanapun berkata sebanyak 57.5 peratus wilayah negara telah diperuntukkan menerusi konsesi.
Keseluruhan luas tanah itu ialah 5.6 juta hektar iaitu lebih sedikit daripada jumlah sejuta hektar kawasan yang mewakili tanah pertanian.
Seorang peguam, Alfred Brownell yang mengasaskan sebuah organisasi bukan kerajaan, Green Advocates, menganggarkan sekurang-kurangnya 120 syarikat asing telah menandatangani kontrak konsesi di Liberia.
"Sepanjang tempoh enam tahun ini, ia telah jatuh merudum dengan cepat. Tidak ada kapasiti penyerapan di Liberia.
"Tiada kemahiran dan tiada orang terlatih untuk membangunkan negara ini," jelas Brownell sambil memberitahu negara itu sudah cukup menderita akibat peperangan selama 15 tahun dari tahun 1989 sehingga 2003.
Peguam itu mempertahankan komuniti Liberia yang terjejas dengan perladangan kelapa sawit dan memberi amaran: "Sekiranya kita kembali semula kepada peperangan, ia hanya berkaitan dengan isu tanah."
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih lagi bertindak sebagai badan pengaman di Liberia dan seorang panel telah memberi amaran pada awal Disember tahun lalu mengenai potensi tercetusnya konflik tanah di negara berkenaan.
Dalam laporannya, beliau menekankan terdapat banyak konflik dalam hak milik tuan tanah selain memberitahu ia berpotensi untuk melemahkan keamanan dan keselamatan dalam kalangan masyarakat di pedalaman.
Namun, menurut Brandy, Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf yang memenangi Anugerah Nobel Keamanan 2011 dikatakan berada dalam keadaan tertekan untuk membangunkan semula ekonomi di negara itu.
Dalam kebanyakan kes, konsesi tanah boleh dirunding di kawasan bandar besar Monrovia yang jauh daripada zon terjejas.
Menteri Dalam Negeri, Blamoh Nelson menerangkan, pihak kerajaan hanya menandatangani persetujuan bagi sebuah wilayah umum yang memiliki bidang kepentingan.
Kaya sumber semula jadi
Sebelum ini, berlian, emas dan kayu memberi tuah kepada Liberia sehinggalah bekas Presiden, Charles Taylor tersingkir pada 2003 dan PBB menyekat perdagangan antarabangsa material berkenaan.
Sirleaf menidakkan banyak kontroversi tetapi masih lagi menandatangani konsesi baharu yang meliputi pertanian, perhutanan, mineral dan sumber minyak di dasar laut.
"Andaian palsu yang dibuat ialah kerajaan memiliki tanah tersebut," ujar Brownell.
Situasi itu selalu dilihat dibanyak negara Afrika, benua yang dimonopoli pelabur asing ekoran kekayaan sumber bahan mentah aslinya.
Pakar hak tanah bagi Organisasi Agrikultur dan Makanan PBB, Paul Mathieu menganggarkan sebanyak 80 peratus hak tanah pedalaman sama ada tidak direkodkan langsung dalam dokumen atau berada dalam status kabur kerana kerajaan menganggap ia sebagai milik kerajaan.
Di Liberia, bidang pertanian menyumbang sebanyak 61 peratus daripada pengeluaran keseluruhan ekonomi negara.
Di selatan Liberia, 220,000 hektar telah diwarta selama 93 tahun kepada kumpulan Indonesia, Golden Veroleum Liberia (GVL) untuk menghasilkan minyak sawit, yang mana sekitar 200 buah keluarga kini bergantung kepadanya.
Bekas ahli ekonomi Bank Dunia, Sirleaf telah menggunakan sebuah polisi lama, tetapi telah menimbulkan persoalan kerana ia menggalakkan pengeksportan produk dan ternakan.
Bagaimanapun, pada tahun 2009, beliau menubuhkan suruhanjaya yang diketuai oleh Brandy bagi memperjuangkan mengenai hak milik harta yang mana jika digunakan, mampu memberi jaminan kepada komuniti setempat di seluruh negara.
Brandy yang telah dilatih sebagai ahli agronomi berharap ia akan membantu dalam memberi jaminan kepada keselamatan makanan negara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: