Saturday, February 9, 2013

Rekod keempat dikecapi



SEWAKTU kanak-kanak lagi, dia kerap berimaginasi mahu mencipta rekod dunia. Impian mendalam itu kemudian beralih kepada minat sebelum menjadi kerjayanya sehingga kini.
Itulah kisah di sebalik individu yang bernama Rainer Zietlow yang baru-baru ini menjayakan kembara sejauh 23,000 kilometer (km) dari Melbourne, Australia menuju St. Petersburg di Rusia.
Dinamakan sebagai projek Russtralia, Zietlow bersama dua krew iaitu Marius Biela dan Vadim Gagarin mengambil masa selama 17 hari, 18 jam dan 49 minit untuk menyempurnakan pengembaraan tersebut. Justeru, satu lagi rekod Guinness World Record dicipta.
Kembara yang diketuai Zietlow bertujuan menyampaikan sepucuk surat dengan kaedah kuno (menaiki kenderaan) daripada Datuk Bandar Melbourne kepada Datuk Bandar St. Petersburg.
Bermula dari Australia, pasukan itu kemudian menyusuri muka bumi di Timor Timur sebelum menuju Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan dan berakhir di Rusia.
Bagi setiap km perjalanan projek Russtralia, sebanyak 10 sen (Euro) dikumpul sebagai sumbangan untuk sebuah pertubuhan kebajikan di Laos iaitu Plan International. Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak 2,300 Euro (kira-kira RM9,000).

JENTERA Touareg TDI dengan teknologi Bosch membantu krew Challange4 mengharungi pelbagai bentuk muka bumi dalam ekspedisi kali ini.


Ini bukannya misi kemanusiaan pertama Zietlow. Dia sudah menjayakan beberapa projek kembara untuk kebajikan, alam sekitar dan keperluan bidang sains.
"Ekspedisi yang saya akan ingati selalu adalah di Chile pada 29 Januari 2005. Itu merupakan kembara pertama saya dan perasaan pada ketika itu sememangnya bercampur-baur.
"Kami diselubungi perasaan takut. Namun tetap syukur kerana semuanya berjalan dengan baik," katanya dalam satu temuramah bertulis bersama Kosmo! baru-baru ini.
Ekspedisi yang dimaksudkan Zietlow adalah pendakian gunung berapi tertinggi dunia iaitu Ojos del Salado, Chile dengan memandu sebuah Volkswagen Touareg standard.
Ketinggian Ojos del Salado ialah 6,882 meter. Dia bersama seorang rakan, Ronald Bormann, mengemudi kenderaan hingga paras ketinggian 6,084 meter dengan membawa sebuah mesin seismograf.
Mesin seismograf itu dipasang pada paras tertinggi di gunung berapi tersebut untuk mengukur kekuatan gempa bumi dan pergerakan semasa muka bumi di kawasan berkenaan.
Zietlow yang berkelulusan bidang pentadbiran perniagaan kini memiliki dan mengusahakan Challenge4, sebuah agensi yang mengendalikan acara-acara automotif serta kembara jarak jauh.
"Inilah hobi saya sejak kecil lagi. Saya menjadikannya sebagai kerjaya sejurus sahaja memperoleh lesen memandu ketika berusia 17 tahun.
"Sebelum membabitkan diri dalam aktiviti kembara, saya sebenarnya memantapkan kekuatan mental dan fizikal. Ia penting sebagai persiapan untuk berdepan dengan apa jua situasi yang tidak diduga," katanya.

DARI kiri: Biela, Zietlow dan Gagarin bergambar di Rusia selepas berjaya menyempurnakan kembara Russtralia baru-baru ini.


Berhubung kembara Russtralia, Zietlow berkata, persiapan awal mengambil masa selama lapan bulan untuk memperhalusi segala perkara dalam ekspedisi itu.
Ini termasuk mencari penajaan, kenderaan bersesuaian, barangan keperluan dan memastikan semua laluan yang menggunakan koordinasi GPS adalah tepat.
Jentera Volkswagen Touareg TDI kegunaan pasukan Challenge4 telah melalui beberapa fasa modifikasi seperti pemasangan roll-cage dan kerusi jenis bucket untuk keselesaan pemandu.
Sebuah tangki diesel tambahan berkapasiti 300 liter dan set tayar jenis Continental Cross Contact LX 20 juga telah dipasang pada kenderaan berkenaan.
Jentera dengan enjin 3.0 liter V6 TDI Clean Diesel bersama pengecas lampau itu nyata berupaya membekalkan kuasa yang diperlukan sewaktu menempuh pelbagai permukaan muka bumi.
Tambahan lain membabitkan pemasangan teknologi satelit Inmarsat untuk komunikasi langsung, meskipun berada di kawasan terpencil.

ZIETLOW (baju hitam) sempat bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak ketika di Indonesia.


Radiator bocor
Biarpun segala perancangan dilakukan dengan teliti, pasukan yang terdiri daripada tiga individu itu tetap menghadapi beberapa masalah.
Radiator Touareg mengalami kebocoran ketika di Timor Timur yang menyebabkan perjalanan terpaksa ditangguh selama sehari setengah. Tayar kenderaan juga bocor beberapa kali.
Penangguhan kedua berlaku apabila feri yang ditempah untuk membawa kenderaan berkenaan ke Melaka berdepan masalah tanpa dijangka.
"Ketika berusaha untuk mengejar masa yang terbuang gara-gara kerosakan radiator dan tayar bocor, perjalanan kami terpaksa ditunda kerana kapten kapal tidak biasa dengan pelabuhan Dumai, Indonesia. Keadaan bertambah rumit apabila enjin bot itu rosak.
"Kami terpaksa mencari alternatif lain dengan menempah sebuah kapal kayu untuk membawa kenderaan Volkswagen seberat tiga tan itu ke Melaka," tambahnya.
Ketiga-tiga krew secara bergilir-gilir memandu selama lima jam setiap seorang untuk memastikan masa dapat digunakan sepenuhnya dan mendapat rehat secukupnya.
Zietlow menambah, bekalan makanan yang dibawa dalam kenderaan sememangnya cukup sepanjang perjalanan merentasi Australia, Timor Timur, Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan dan Rusia.
Mandi? Mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk itu kerana kekangan masa mencipta rekod.
"Kami hanya membersihkan diri dengan air dalam botol sebaik sahaja tiba di Rusia. Itupun kerana mahu kelihatan kemas," ujarnya.
Baru sahaja selesai perjalanan panjang, Zietlow sebenarnya sudah ada rancangan kembara lain.
Kali ini, dia menanti masa untuk memulakan pengembaraan ke Sochi 2014 Winter Olympics di Rusia. Ia akan dilakukan pada tahun ini dan misi ke China (tahun hadapan).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: