Friday, February 15, 2013

Reen Rahim tidak serik


REEN RAHIM akui masih baharu dan segala yang terjadi akan diambil sebagai iktibar dan pengajaran.


MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Reen Rahim, gadis yang telah muncul juara dalam program realiti Pilih Kasih musim ketiga. Namun namanya meniti di bibir peminat setelah dia dihimpit kontroversi tentang lakonannya dengan memakai purdah purdah menerusi drama Sahara baru-baru ini.
Walaupun mengakui terkejut dengan kontroversi yang melanda, namun ia tidak membuatkan Reen Rahim atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Rahim untuk terus menerima tawaran berlakon dengan memakai tudung.
Ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem pertama lakonannya, Gangster Celop, yang bertempat di E @ Curve, Damansara, Kuala Lumpur, Reen dilihat boleh menerima segala yang telah berlaku terhadap dirinya.
Kosmo!: Bagaimanakah perasaan berlakon pertama kali dalam filem?
REEN: Pada mulanya memang saya agak terkejut dengan suasana penggambaran filem dan drama kerana ia memang berlainan. Lagipun, ketika itu, saya baru keluar dari program Pilih Kasih. Jadi ketika itu, saya masih hijau dan agak takut juga.
Tapi saya banyak belajar dengan melihat cara pelakon senior yang lain berlakon dan sebagainya walaupun watak saya kecil. Ahmad Idham juga banyak mengajar saya tentang lakonan dan informasi lain yang perlu saya pelajari.
Anda pernah dilanda kontroversi dengan lakonan bertudung dalam drama Sahara dan kini masih lagi mengambil watak bertudung. Tidakkah anda takut dilanda kontroversi lagi?
Watak kali ini saya sebagai seorang gadis kampung biasa yang bertudung. Tapi, watak dalam drama sebelum ini pegang dan berpeluk. Namun, watak kedua ini berbeza sama sekali. Tiada pegang-pegang namun ada juga babak saya lentokkan kepala ke bahu Kamal, itu sahaja.
Selepas kontroversi itu, bagaimanakah penerimaan dan komen orang terhadap anda?
Jika diikutkan, dalam seratus peratus, lebih kurang 40 peratus sahaja yang mengkritik hebat tetapi yang lain banyak beri respons yang membina memandangkan saya masih baharu.
Semasa anda melakukan babak tersebut, adakah anda terfikir akan keburukan membawa babak demikian? Adakah anda pernah menyuarakan pendapat ketika melakonkan babak itu?
Agak sukar untuk saya komen perkara tersebut. Apa yang dilakukan itu adalah kehendak pengarah. Memang ramai yang komen, kenapa saya tidak bersuara namun mungkin disebabkan saya masih baharu lagi dalam industri membuatkan saya tidak begitu berani untuk mempersoalkannya.
Tapi, sebenarnya dalam babak tersebut, ada mesej yang hendak disampaikan. Saya tersadung dan aktor pula membantu dengan menangkap saya. Tapi, mungkin dari angle yang cantik dan ia diambil sebagai promosi drama. Mungkin sesetengah orang yang tidak melihat apa sebenarnya yang berlaku dalam babak tersebut kerana itu mereka marah. Tapi saya juga akui jika saya individu yang bertudung melihat babak itu, pasti saya akan marah.
Mungkin selepas itu anda akan lebih berhati-hati dan mungkin bersuara atau berbincang dengan pengarah?
Memang saya akui perkara ini mengajar dan mematangkan diri saya. Tapi, saya tidak mungkin takut untuk lakukan apa yang saya minat iaitu lakonan. Sebenarnya, pihak produksi Pilih Kasih pernah menasihati saya di mana saya punyai hak untuk bersuara, tapi dengan cara baik dan dari situ saya banyak belajar.
Adakah publisiti seperti itu sedikit sebanyak membantu populariti anda?
Saya tidak juga rasa begitu tapi pada masa yang sama, saya nampak ramai yang sokong saya walaupun ada yang tidak kenal lagi siapa saya. Ada golongan yang pakai purdah itu wujudkan laman sosial untuk haramkan saya. Apabila jadi begini, semua beri sokongan terutama keluarga. Jika tidak, memang terduduk juga saya.
Adakah ia memberi impak yang besar dalam hidup anda?
Memang besar, kerana ia melibatkan agama. Ada yang menuduh saya tiada pegangan agama. Itu yang membuatkan saya terasa dengan komen tersebut. Tapi kini saya sudah baik dan tidak pernah saya terfikir untuk berhenti berlakon. Saya minta maaf kepada semua yang tersinggung dengan babak tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: