
JALAN SERANGOON yang terletak
berhampiran Little India di Singapura kini masih antara jalan paling
sibuk dan pusat perniagaan di negara republik itu.
MASUK ke lokasi yang diberi nama Infinite Studios yang terletak di Nongsa, Batam, Indonesia itu, tubuh dan jiwa seperti dibawa merentas zaman. Mata tertancap kepada deretan bangunan lama, kedai-kedai, gerai sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan di sepanjang laluan pejalan kaki jelas menggambarkan keadaan ekonomi dan budaya sebuah zaman yang sudah puluhan tahun ditinggalkan.
Gambaran zaman epik itu diperkemaskan lagi dengan bentuk-bentuk tulisan zaman penjajah yang bersilih terjemahan dalam aksara Cina. Di satu sudut terlihat sebuah papan tanda yang tertera tulisan, 'Cheng Detective Agency'.
Itulah pusat penceritaan yang membawa segerombolan media dari Asia Tenggara seperti dari Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Filipina dan termasuklah penulis sendiri untuk bertamu ke Batam serta meninjau sebuah cerita.
Lawatan ke Infinite Studios itu hanya mengambil masa kira-kira satu jam. Kami sebenarnya dibawa melawat lokasi pembikinan Serangoon Road, sebuah drama bersiri kolaborasi sulung antara HBO Asia dan stesen televisyen Australia, ABC TV.
PERSEKITARAN China Town yang eksotik dibina semula di Infinite Studios bagi merealisasikan latar zaman drama ini.
|
Infinite Studios yang juga dikenali sebagai Pt. Kinema Studio dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2,000 hektar di Nongsa, Batam, Indonesia. Sebelum ini, filem Dead Mine juga menjadi produksi pertama yang melakukan penggambaran di situ. Sejak mula beroperasi dua tahun lalu, sehingga kini, baru sepertiga daripada keluasan lokasi itu dibangunkan untuk kerja-kerja pembinaaan studio penggambaran.
Serangoon Road diangkat bersempena nama sebatang jalan yang mula-mula sekali dibangunkan di Singapura. Mengikut catatan sejarah, Jalan Serangoon sempat menjadi jalan raya utama yang turut berfungsi sebagai titik penyeberangan unik bagi seluruh lapisan warga zaman itu. Jalan yang pernah menjadi lokasi paling sibuk Singapura sekitar 1960-an itu menjadi simbol kepada Serangoon Road yang bakal disiarkan di saluran HBO Asia sekitar hujung tahun atau awal tahun depan.
"Kami memilih studio ini kerana ia mampu menghidupkan visual yang kami bayangkan. Ini sebuah gambaran semula tentang suasana sosioekonomi, budaya dan politik Singapura yang berbilang bangsa sekitar era 1960-an," jelas Paul Barron pencipta asal siri Serangoon Road itu sepanjang mengiringi lawatan para wartawan di situ.
Lapan puluh peratus penggambaran Serangoon Road dijalankan di Nongsa sama ada di studio ataupun pesisir pantai di situ. Penggambaran di Singapura pula hanya melibatkan lokasi di sekitar Hotel Raffles. Di situ juga terbina sebuah studio soundstage yang berkeluasan kira-kira 30,000 meter persegi. Segala adegan dalam rumah, pejabat serta kapal dilakukan dalam set yang menggunakan lebih 200 tenaga kerja yang terdiri daripada warga tempatan, Singapura dan Australia.
PEJABAT Detektif Cheng menjadi antara lokasi penting dalam krolonogi plot drama penyiasatan Serangoon Road ini.
|
"Penggambaran sudah berlangsung sejak Ogos 2012. Setakat ini kami sudah menyelesaikan lima episod," jelas Paul sambil menambah bahawa membina semula set Jalan Serangoon bukanlah suatu pekerjaan yang mudah.
Lebih setahun kajian dilakukan, segala maklumat dan fakta sejarah haruslah tepat agar apa yang bakal dipaparkan tidak menyongsang daripada apa yang pernah wujud lebih 50 tahun lalu.
Pasukan kreatif mempunyai satu ruang khas di satu sudut bangunan. Di situ terdapat foto-foto yang merakam kehidupan Jalan Serangoon pada masa dahulu. Tidak hanya foto, pasukan penata seni bertanggungjawab mengumpulkan props termasuklah daripada perkakas dapur, patung-patung, pakaian, beg pakaian, senjata, kamera sehinggalah alat solekan.
Beralih lokasi ke sebuah perkampungan di pinggir pantai Nongsa, kelihatan pula beberapa pemuda Inggeris yang berjalan longlai keluar dari sebuah pusat tahanan yang beratap rumbia. Pakaian penuh daki, kesan darah yang masih bersisa, pandangan kelam serta wajah sugul mereka membayangkan kesengsaraan yang dialami. Sementara di luar pagar, ada wanita-wanita Inggeris serta gadis India yang kusut sedang menunggu penuh pengharapan. Mereka berpelukan melepaskan kepahitan yang sama-sama dirasai akibat perang. Latar Perang Dunia Kedua terasa hidup di mata semua.
Itu salah satu babak pembebasan tentera Inggeris keluar dari tahanan tentera Jepun di Asia Tenggara ketika perang berlangsung. Biarpun seperti mendokumenkan sejarah dalam sebuah drama, Serangoon Road bukan kisah perang sebaliknya ia sebuah drama bersiri penyiasatan sebanyak episod berlatar zaman 1960-an di Singapura yang ketika itu disifatkan penuh eksotik dan bergejolak.
Syarikat produksi yang menyertai pembikinan siri ini termasuklah Great Western Entertainment di Perth dan Infinite Studios di Singapura. Rakan-rakan pembiayaan termasuklah ABC Commercial, ScreenWest dan pengedar antarabangsa, Content Television and Digital, satu bahagian daripada Content Media Corporation.
Kolaborasi hebat tidak hanya pada penggabungan dua negara berkenaan, akan tetapi naskhah Serangoon Road berjaya menarik minat pelakon Asia terkemuka, Joan Chen yang menempa nama di Hollywood untuk menggerakkan watak utama.

ZAMAN Perang Dunia Kedua menjadi latar masa drama ini.
Ia turut dibintangi bakat dari Singapura, Alaric Tay dan Pamelyn Chee termasuklah pelakon Australia yang cemerlang seperti Don Hany yang pernah muncul dalam East West 10/ Jack Irish: Black Tide, Maeve Dermody (Rake/ Bikie Wars: Brothers in Arms), Rachael Blake (Wildside/The Straits) dan Michael Dorman (Daybreakers/The Secret Life Of Us).
Menyingkap isi Serangoon Road, ia menceritakan Sam Callaghan (Don Hany) kelahiran Australia, yang menghabiskan zaman kanak-kanak di kem tahanan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Apabila dewasa, Sam kembali untuk berjuang di Malayan Emergency. Dari segi psikologi, Sam seorang lelaki yang terjejas teruk akibat pengalaman itu.
Apabila jirannya Patricia (Joan Chen) meminta bantuan Sam untuk membolehkan penerusan agensi detektif milik suaminya yang mati akibat satu penyakit, Sam bersetuju walaupun berat hati dengan pelawaan itu. Lalu bermula suatu perjalanan yang melihat Sam terjerumus dalam dunia yang tidak menentu dan berbahaya di mana geng-geng Persatuan Rahsia Cina bergaduh untuk menguasai jalan-jalan, kuasa asing bersaing untuk kuasa dan risikan rahsia, dan bandar itu adalah sarang kegawatan kaum dan politik.
Siasatan Sam dan kekasihnya membawa mereka ke dunia istimewa ekspatriat-ekspatriat Eropah dengan sikap penjajah, kemewahan dan komplot politik yang semakin pudar. Mereka juga dipertemukan dengan Inspektor Amran (Ario Bayu), satu-satunya pemuda Melayu yang dilantik sebagai polis Singapura pada waktu itu.
Lakonan Asia, Hollywood
Akui dirinya pernah menjadi bunga Asia di pentas Hollywood, pada usia 51 tahun Joan Chen masih segar dan seksi. Hadir ke Mandarin Oriental, Singapura untuk bertemu media semasa Serangoon Road HBO Asia Media Junket baru-baru ini, pembawa karakter Wan Jung dalam filem pemenang anugerah Oskar, The Last Emperor (1987), Joan ternyata sarat berbalut pesona bintang antarabangsa.
"Saya punya ramai teman dari Singapura, jadi untuk menyelami kehidupan masyarakat di Singapura dalam era drama ini, ia tidak begitu sukar sebaliknya saya pengalaman dramatik yang sungguh memberi inspirasi," katanya tegas.

SUASANA penggambaran salah satu babak di Nongsa, Batam.
Sambil memuji aksi Don Hany sebagai Sam, Joan menambah: "Saya juga lihat Ario Bayu sebagai pelakon yang berpotensi untuk pergi jauh tapi saya tidak banyak aksi bersamanya. Melakon watak Patricia juga seperti membawa saya ke dalam zon sejarah. Dunia Serangoon Road sungguh asing tapi sungguh menarik. Teks drama ini sendiri sungguh hebat. Menjadi wanita yang kehilangan suami dan pada masa yang sama tidak mempunyai anak menjadikan watak Patricia kompleks, kuat dan ada misteri tersendiri. Misi saya ialah mencari keadilan dan menyelongkar rahsia kematian suami saya."
Sidang media bersama Joan sayangnya tidak disertai pelakon-pelakon lain terlibat dalam siri itu. Namun kesempatan ke Batam sehari sebelum sesi bersama Joan di Singapura, para wartawan terlebih dulu diberi kesempatan menemui aktor popular Indonesia Ario Bayu di Batam.
"Saya masih terkejut kerana terlibat dalam siri besar ini. Memang drama ini berkait rapat dengan sejarah perang dan Singapura tetapi fokus saya di sini untuk watak Inspektor Amran, saya tidak ada banyak waktu untuk mendalami sejarah. Bagi saya emosi Amran itu yang paling penting," katanya yang menerima lamaran HBO Asia rentetan keterlibatannya dalam filem Dead Mine yang turut melakukan penggambaran di studio yang sama.
Sempat menyapa media dari tanah kelahirannya dalam bahasa Indonesia sebelum bercerita lebih lanjut, kata Ario, melakonkan watak lelaki Melayu sedangkan dirinya kelahiran Jakarta dan membesar di New Zealand sebenarnya tidak mendatangkan kesukaran buatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: