Sunday, February 3, 2013

Kekalkan mesej filem P. Ramlee

SARIMAH


KUALA LUMPUR - Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mempunyai mesej tersendiri untuk menjana pemikiran penonton dan elemen tersebut sepatutnya menjadi fokus utama Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee.
Rakan seperjuangan P. Ramlee, Datuk Sarimah Ahmad berkata, elemen-elemen itu penting kerana ia menjadi ramuan utama kenapa mesej filem P. Ramlee terus kekal dihayati walaupun selepas 39 tahun Allahyarham meninggal dunia.
"Penonton boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap filem arahan P. Ramlee, misalnya dalam filem Anakku Sazali yang menceritakan kasih sayang seorang bapa yang terlalu memanjakan anaknya.
"P. Ramlee merupakan seorang yang mendahului zamannya. Jadi, pengarah filem muda sekarang perlu rajin buat kerja rumah, memerhatikan alam sekeliling dan mendalami hubungan sesama manusia bagi menghasilkan filem yang mengandungi mesej dan erti tersendiri," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas mengenai elemen dan ciri yang perlu ada pada karya Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Sarimah berkata, semuanya terserah kepada kreativiti peserta.
"Saya akui arwah merupakan seorang yang genius dalam bidangnya dan tidak ramai manusia yang mempunyai bakat yang sama.
"Bagaimanapun, sekiranya arwah masih hidup sekarang, kita tidak mengetahui bagaimana corak pemikiran beliau, jadi terserah kepada kreativiti pengarah sekarang untuk menghasilkan sesuatu filem," katanya.
Sementara itu, anak P. Ramlee, Sazali menyokong penuh usaha untuk menghasilkan semula filem-filem P. Ramlee supaya ia terus kekal dalam ingatan peminat pada masa depan.
"Bagi saya, tidak mengapa sekiranya karya tersebut dilihat terkeluar sedikit daripada filem asal, biarlah ia dihasilkan dengan idea dan gaya tersendiri," katanya.
Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM70,000 iaitu RM20,000 kepada juara, RM15,000 untuk tempat kedua dan tempat ketiga RM10,000 selain lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu.
Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.aswara.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: