AZIZAH mempunyai hobi mengumpul kereta klasik jenis Volkswagen.
|
AZIZAH OMAR tidak lekang dengan senyuman manisnya ketika ditemu bual kru Jurnal Jumaat lalu di Butik Omar Ali di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Walaupun penampilannya ringkas, beliau bijak mengenakan warna tudung serta baju yang sedondon sekali gus membuatkannya tampil elegan.
Beliau yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang anak Omar Ali berasa bangga dapat meneruskan legasi bapanya yang mengasaskan jenama butik itu lebih 78 tahun lalu.
"Kesungguhan arwah ayahlah yang telah memberikan inspirasi kepada saya. Beliau bekerja kuat sepanjang hari tetapi tetap mempunyai masa untuk bersarapan dan makan malam bersama anak-anak.
"Sebenarnya, itu sahaja waktu terluang untuk kami bersama dan menceritakan perihal kami adik-beradik," katanya membuka bicara.
Azizah yang merupakan pasangan hidup kepada Idris Mokhtar, 49, teruja menceritakan asas perniagaan ayahnya bermula setelah dia bekerja dengan seorang usahawan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

KEPUASAN pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Azizah.
Menteri
Katanya, lelaki Jepun itu mengusahakan sebuah butik pakaian. Ayahnya bekerja selama dua tahun sebelum mengambil keputusan membuka butik sendiri di Bazaar Melayu yang kini dikenali sebagai Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada tahun 1945.
Tutur Azizah, walaupun tempoh belajar yang singkat, mentornya (Omar Ali) itu tidak kering dengan idea untuk menghasilkan baju Melayu tradisional yang berkualiti tinggi.
"Itu sifat dan pendirian yang saya cuba kekalkan untuk memuaskan hati pelanggan dengan kualiti, jahitan dan corak terkini.
"Bukan senang untuk memuaskan hati pelanggan yang menempah baju Melayu sejak zaman 1945 lagi sehingga sekarang. Bukan sahaja untuk mereka tetapi diwarisi sehingga cucu dan cicit," ujarnya bersemangat.
Tambahnya, butik Omar Ali pernah menerima tempahan baju Melayu daripada menteri, tokoh terkenal dan artis popular.
Lupakan sebentar kisah mengenai ayahnya dan beralih pendapatnya sendiri mengenai baju Melayu.
Tutur wanita berjiwa besar ini, imej dan identiti baju tradisional negara itu harus dikekalkan.
Jelasnya, ada segelintir anak muda inginkan fesyen yang agak keterlaluan.
"Tidak salah tetapi kalau sampai seluar baju Melayu berwarna lain, baju dan poket pula warna berbeza, ini agak tidak kena.
"Penampilan sedemikian kurang menyerlah. Biasanya saya tidak menerima tempahan seperti itu namun ia terpulang kepada gaya masing-masing," katanya.
Tambahnya, beliau tertarik dengan penampilan lelaki yang mengenakan baju tradisional itu dengan lengkap menyarung kain sampin, butang serta songkok.
"Cukup bergaya cuma takut ada isteri yang risau sekiranya suami sering memakai pakaian sedemikian. Sama ada buang tabiat atau khuatir pasangan mereka akan kahwin lagi," cerita Azizah berjenaka.
Wanita ini juga gemar mengumpul kain sampin. Sungguhpun memiliki butik pakaian, Azizah sebenarnya tidak mahir menjahit.
"Saya lebih tertarik untuk memberikan komen selain mereka rekaan moden dan berbeza," katanya.

BUTIK Omar Ali yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Beliau juga memberikan syarat kepada suami dan seorang anak lelakinya supaya memakai baju Melayu lengkap semasa menunaikan solat Jumaat di masjid dan hari pertama sambutan Aidilfitri selain memenuhi jemputan kenduri kahwin.
Kereta antik
"Kita perlu bangga dengan warisan kita. Jika saya bukan seorang wanita saya akan memakainya," katanya sambil ketawa.
Walaupun perwatakannya agak lembut, Azizah turut mempunyai hobi mengumpul kereta antik.
"Setakat ini, saya mengumpul tiga kereta jenis Volkswagen lama iaitu Beetle, Karmann Ghia dan Bus. Ketiga-tiga kenderaan ini masih berfungsi dengan baik.
"Malah, saya sering memandu Volkswagen Bus untuk pergi kerja dan bersiar-siar sehingga ada yang pelik dengan perbuatan itu," jelasnya.
Azizah memberitahu, barangan klasik tidak semestinya mahal dan sukar diperoleh, cuma perlu menjaganya dengan baik dan membaikinya dengan segera sekiranya rosak.
"Ibarat kata pepatah, jika tiada yang lama tidak akan ada yang baharu," katanya.
Pengarah Urusan Omar Ali Holdings Sdn. Bhd. ini juga bercadang melancarkan laman beli-belah dalam talian pada bulan Mac ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: