Thursday, June 7, 2012

Suara media kiri Korea Utara


SEHINGGA ke hari ini Korea Utara kekal sebagai sebuah negara yang penuh misteri dan rahsia apabila kerajaannya sekuat mungkin menghalang rakyatnya daripada berhubung dengan dunia luar.


DARI ruang pejabat yang kecil dan sesak terletak di sebatang jalan kecil di Seoul, Park In-ho tekun menulis mengenai sebuah negara yang paling tertutup dan misteri di dunia.

Akhbar dalam talian miliknya, Daily NK merupakan antara sedozen organisasi di Korea Selatan yang mengumpul pelbagai berita dari Korea Utara berdasarkan sumber-sumber dalaman di negara komunis itu atau melalui orang hubungan dan kakitangannya di negara jiran, China.

Ditubuhkan pada tahun 2004, Daily NK merupakan salah satu portal aktif yang melaporkan berita mengenai keadaan pelarian-pelarian yang kini bersembunyi di China sebelum menyalurkannya kepada pembaca.

"Kami mahu rakyat di seluruh dunia tahu bagaimana rakyat di Korea Utara hidup dan berfikir, mengenai beberapa subjek yang lazimnya sering diabaikan oleh media," kata Park, 40, penerbit Daily NK kepada AFP.

Ketika ini, portal itu menawarkan bahan berita semasa dalam empat bahasa iaitu Korea, bahasa Inggeris, Cina dan Jepun. Sejak beroperasi, ia kini mempunyai 40 kakitangan termasuk lima rakyat Korea Utara yang merupakan bekas pelarian serta sembilan pekerja asing. Sementara itu, tiga wartawan lain berpangkalan di China.

Sebelum menerbitkan portal itu, Park merupakan seorang aktivis yang sering membantu pelarian-pelarian Korea Utara di China. Pelarian itu kemungkinan besar terpaksa dihantar pulang atau menjalani hukuman tegas sekiranya ditangkap di China.

Bagi Park pelarian itu merupakan aset paling bernilai untuk Daliy NK kerana saudara-mara dan rakan-rakan mereka di tanah air menjadi sumber utama.

Bagaimanapun, Park enggan membincangkan bagaimana operasi portal itu melindungi sumber-sumbernya selama ini.

"Operasi kami ini sangat berisiko," katanya.

Ujar Park, beberapa kakitangannya di China turut menerima ancaman berterusan dari Pyongyang yang termasuk kebimbangan dihantar pulang oleh Beijing.

Ejen pengintip

Di Korea Utara kata Park: "Pyongyang menganggap sumber dalaman kami dan portal ini sebagai ejen pengintip. Disebabkan itu, kami terdesak untuk merahsiakan identiti mereka."

Tambah Park, negara itu juga kini sedang mengawasi operasi Daily NK dan menggelar kakitangan portal itu sebagai 'pengkhianat'.

Antara laporan yang paling menarik perhatian termasuklah mengenai revolusi kewangan di negara itu pada akhir tahun 2009.

Laporan itu nyata membongkar mengenai duit simpanan kerajaan yang makin lenyap dan berlakunya krisis makanan sehingga mencetuskan huru-hara dalam masyarakat. Jelas Park, ia merupakan laporan berita terbaik yang pernah dilaporkan oleh portal itu.


DAILY NK yang memaparkan maklumat terkini mengenai Korea Utara hanya boleh dilayari menerusi internet.


Lelaki tersebut memberitahu, dia mula menggunakan internet untuk menyampaikan kisah-kisah mengenai rakyat di Korea Utara kerana dia tidak mempunyai wang untuk membuka sebuah pejabat.

Laman web portal itu, www.dailynk.com kini dikunjungi lebih 100,000 pengunjung sehari terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, golongan akademik dan wartawan.

Di samping mendapat perolehan daripada pengiklanan, portal itu juga mendapat sumbangan daripada National Endowment for Democracy (NED), sebuah yayasan bukan berpaksikan keuntungan yang ditaja oleh Kongres Amerika Syarikat. Ia menyalur dana sebanyak 30 peratus bagi operasinya.

Sejak bertahun-tahun lalu, Pyongyang mengamalkan cengkaman kuku besi bagi menghalang penyebaran maklumat di negara itu termasuk menguasai stesen radio dan televisyen serta mengharamkan penggunaan telefon bimbit.

"Kempen-kempen bagi menentang penyaluran maklumat dari luar dianggap tidak berjaya kerana terdapat permintaan dalam kalangan rakyat di negara itu yang mahu mendapatkan berita-berita dari dunia luar," kata Setiausaha Open Radio, Kim Ik-hwan.

"Kesetiaan rakyat terhadap rejim semakin berkurangan dan penyalahgunaan wang semakin tinggi disebabkan rasuah," dakwanya lagi.

Merentas sempadan

Organisasinya yang mempunyai kira-kira 20 kakitangan termasuk lima pengarah, bergantung kepada sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan NED untuk membolehkan ia beroperasi selama lima jam sehari bermula pukul 10 malam.

Siaran radio itu juga kini boleh didengar di laman web http://english.nkradio.org.

Sementara itu, Good Friends, yang ditubuhkan pada tahun 2003 oleh kumpulan NGO Buddhist, menerbitkan berita dalam talian dengan tujuan untuk menghubungkan rakyat Korea Utara kepada masyarakat dunia.

"Tidak seperti kumpulan-kumpulan lain yang hanya pandai memberi tekanan dan mengkritik, Good Friends pula menyokong kerjasama dan pertukaran idea merentas sempadan," kata Park Sun-Song, seorang Ahli Lembaga Pengarah Good Friends.

Organisasi itu yang dibiayai lebih 4,000 penderma di seluruh dunia, memainkan peranan untuk mengukuhkan hubungan di antara kedua-dua buah negara.

Park bertegas, Daily NK berazam untuk membawa perubahan sikap dari dalam dan luar di Korea Utara.

"Saya akan meneruskan perniagaan ini sehingga Korea Utara menjadi sebuah negara bebas dan mempunyai masyarakat yang terbuka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: