SEJAK sistem penerbangan tambang murah diperkenalkan di negara ini, penulis akui mula menjadikan aktiviti melancong sebagai satu hobi.
Tidak hairanlah, pantang ada promosi penerbangan murah yang ditawarkan, pasti ada sahaja rancangan yang diatur bersama teman-teman untuk bercuti sama ada di dalam atau di luar negara.
Pada Mac lalu, saya berpeluang menjejakkan kaki ke Osaka, bandar raya ketiga terbesar di Jepun.
Seronok? Itu sudah pasti memandangkan sudah agak lama juga saya memasang impian untuk mengenali budaya dan masyarakat di Negara Matahari Terbit itu dengan lebih dekat. Lebih-lebih lagi, percutian saya kali ini turut ditemani si buah hati, Michael Goodwin dan dua orang rakan, Linda dan Necia.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai mengambil masa tujuh jam.
Setibanya kami si sana, kami memilih untuk menginap di Shin Osaka. Biarpun agak kecil, hotel bertaraf tiga bintang itu selesa dengan pelbagai kemudahan.
Pengembaraan kami hanya bermula keesokan harinya. Destinasi pertama yang dilawati ialah Umeda Sky Building. Dari puncaknya yang setinggi 173 meter itu, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama di sekitar bandar Osaka.
Satu yang saya perhatikan, pembangunan di Osaka tidaklah serancak dan semoden di Tokyo, sebaliknya ia lebih tenang dan santai dengan kehadiran banyak bangunan lama.
Pengangkutan utama di bandar raya itu sudah pastinya perkhidmatan tren bawah tanah.
Saya akui, masalah bahasa begitu mencabar khususnya kepada pelancong asing seperti kami. Selain tidak ramai penduduk di Osaka yang fasih berbahasa Inggeris, laluan tren-trennya juga sedikit mengelirukan.
Bayangkan untuk ke sesebuah destinasi sahaja, kami terpaksa bertukar tren sebanyak tiga hingga empat kali.
"Lagi lama kita dekat sini, lagi pening dibuatnya. Sudah lah tulisan pun dalam bahasa Jepun," kata saya, tatkala kami berpusing-pusing di sekitar stesen untuk mencari arah tren seterusnya.
Istana lama
Namun, mujurlah penduduknya sangat mesra, biarpun bercakap seperti 'ayam dan itik', kami selamat tiba ke destinasi seterusnya iaitu di Osaka Castle, sebuah istana lama yang dibina pada tahun 1593.
Istana itu pernah musnah dalam satu perang saudara sebelum dibina semula pada tahun 1620. Bagaimanapun, salah satu bahagian menaranya telah musnah dan terbakar akibat disambar petir.
Dikelilingi pintu gerbang, tembok-tembok tinggi, menara, rumah ibadat dan kawasan taman seluas hampir dua kilometer persegi, kunjungan ke situ nyata cukup berbaloi biarpun sedikit memenatkan.
Keesokan harinya merupakan masa yang paling ditungu-tunggu iaitu lawatan ke Universal Studio Osaka. Ia sememangnya taman tema yang ideal untuk para peminat tegar Sesame Street, seperti saya.
Keseronokan bermain pelbagai permainan yang ditawarkan membuatkan masa berlalu pantas. Di sebelah malamnya, kami menaiki bas menuju ke Tokyo yang mengambil masa perjalanan sekitar lapan jam.
Di Tokyo, kami menginap di sebuah hotel berhampiran Ueno Business Park. Benar tekaan saya, Tokyo tidak pernah mati. Kota itu sentiasa hidup dengan pelbagai aktiviti warganya tanpa mengira siang atau malam.
Kami kemudiannya, melawat Tokyo Tower yang terletak di Shiba Park, Minato. Berdiri kukuh setinggi 333 meter, ia merupakan bangunan kedua tertinggi di Jepun. Kami berpeluang melihat landskap pencakar langit bandar raya Tokyo dari pelantar puncaknya.
Keseronokan taman tema
Kunjungan ke Tokyo seakan tidak sah sekiranya tidak melawat salah satu tarikannya iaitu Disneyland Tokyo.
Kunjungan ke sini ternyata tidak sia-sia. Keseronokan yang diperolehi membuatkan kami berempat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak. Selain mencuba pelbagai permainan yang disediakan, saya juga dapat bertemu watak-watak animasi popular Disneyland.
Apa yang saya perhatikan, warga Jepun begitu taksub dengan watak Mickey Mouse. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat pengunjung memakai kostum legenda Disneyland itu, termasuk bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Kami juga sempat melawat beberapa tempat bersejarah seperti Zojoji Temple dan bersiar-siar di sekitar Akihabara, yang terkenal dengan jolokan bandar elektrik.
Selain sentiasa bercahaya dengan lampu berwarna-warni, di situ juga pengunjung boleh mendapatkan pelbagai gajet terkini.
Puas menjelajah Tokyo, kami kembali semula ke Osaka. Kali ini, kami menginap di Orchard Road. Ya, seperti juga Orchard Road di Singapura, kawasan sekitarnya meriah dengan gedung beli-belah yang pastinya membuat kaum wanita rambang mata.
Pengembaraan kami diteruskan ke Kobe keesokan harinya. Untuk kes itu, kami perlu menempuh perjalanan selama 40 minit dari Osaka dengan menaiki kereta api.
Bandar seni
Kobe boleh diumpama seperti sebuah bandar seni yang kaya dengan landskap indah dan arca-arca yang menghiasi di kiri dan kanan jalan. Di situ juga, pengunjung boleh melihat artis-artis jalanan membuat persembahan. Antara yang sempat kami lawati di Kobe ialah Rumah Sherlock Homes.
Pengembaraan kami di Jepun berakhir di Kyoto. Mungkin ramai yang tidak tahu, bandar itu merupakan bekas ibu negara Jepun satu ketika dahulu sebelum ia dipindahkan ke Tokyo.
Ibarat sebuah bandar tradisional, Kyoto meriah dengan kewujudan kuil-kuil dan istana lama yang masih kekal terpelihara sehingga kini.
Sejarah di Kyoto terlalu bernilai sehinggakan pada Perang Dunia Kedua dahulu, tentera Amerika Syarikat (AS) dilarang untuk mengebom atau melakukan sebarang kerosakan di bandar itu.
Sepanjang di situ juga, kami menemui gadis-gadis berpakaian kimono, termasuk golongan geisha yang cantik dan memukau pandangan.
Ternyata, tempoh sembilan hari yang dilalui berlalu dengan pantas, rasanya seperti tidak puas melawat Jepun yang sememangnya menjanjikan pelbagai keistimewaan kepada pelancong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: