|
OPEL bukanlah pembuat kereta yang popular di Malaysia. Kereta apa yang mereka jual sekarang di pasaran tempatan? Ya, sudah tidak ada. Kalau tidak silap, kenderaan terakhir yang menggunakan lencana Opel ialah model Frontera.
Opel ialah sebuah syarikat yang diasaskan di Jerman dan memulakan bisnes mesin tenunan pada peringkat awalnya. Portfolio perniagaannya kemudian berkembang kepada penghasilan kereta. Kini, saham Opel dimonopoli sepenuhnya oleh pengeluar kereta berpengaruh dari Amerika Syarikat (AS), General Motors (GM).
Berapakah usia kereta itu? Tahun depan, genaplah umurnya 40 tahun. Boleh tahan juga tuanya kereta tersebut. Opel menamakan sedan itu sebagai Manta. Ketika ia mula-mula dikeluarkan pada tahun 1970 dahulu, saingan terdekatnya ialah Ford Capri. Rasa-rasanya, lebih ramai yang mengenali Capri berbanding Manta model A itu.
Pada hari ini, di tahun 2012 janganlah buat pasal hendak restore kereta sebegini secara suka-suka. Mendapatkan alat ganti untuk Manta bukan senang. Ini merupakan model versi 1.6 empat selinder OHV yang dipacu oleh kotak gear manual empat kelajuan. Kira lajulah masa zaman itu, lagipun beratnya tidak sampai satu tan pun. Kuasa enjinnya pada ketika itu adalah 75PS.
Tukar enjin
Pemiliknya, Fazli membeli kereta tersebut beberapa tahun lalu selepas terserempak dengannya yang sudah hampir menjadi seperti reban ayam. Kalau sudah peminat kereta lama, tengok tepi kereta pun boleh bayangkan apabila ia dicat, masuk enjin, pasang rim dan tahu akan jadi lawa.
Tanpa membuang masa, Fazli membelinya sebelum diperam di dalam bengkel. Lama juga masa yang diambil untuk membuat keputusan sama ada hendak melakukan proses overhaul enjin lama atau ambil jalan pintas dengan memasukkan sahaja enjin kereta Jepun.
Akhirnya, keputusan yang diambil adalah untuk menggunakan enjin kereta Jepun. Antara sebab utama Fazli memilih enjin kereta Jepun adalah kerana susah hendak mendapatkan alat ganti enjin asli kereta itu.
Memasukkan enjin bukanlah kerja mudah. Namun, tugas itu masih mampu direalisasikan. Ini kerana enjin moden CA18DET (Nissan Silvia) memiliki ruang yang banyak untuk digantung dalam bay Manta. Setelah diukur dengan teliti, enjin tersebut berjaya dimasukkan tanpa sebarang kesan sampingan.
Kemudian, apa yang memeningkan kepala ialah pemacu belakang. Selepas membuat beberapa penyelidikan, maka gandar paling sesuai ialah gandar yang ada pada model Toyota AE86. Patutlah gandar belakang model yang turut dikenali sebagai Hashiroku itu semakin payah untuk dijumpai. Setelah siap dipasang, beberapa ujian pecutan dijalankan dan ternyata kereta itu boleh dipandu di atas jalan raya tanpa masalah.
Apabila kuasa enjin telah bertambah, maka proses modifikasi beralih ke bahagian lain. Perkara paling utama tentulah suspensi. Pertama, ia mestilah cukup rendah. Bagi merendahkan sebuah kereta lama yang barang aftermarket sudah tidak ada pastinya bukan kerja senang.
Suspensi hadapannya tidak lagi menggunakan sistem penyerap hentak Opel, sebaliknya digantikan dengan suspensi Nissan Silvia. Sementara suspensi roda belakang yang saya fikir menggunakan pegas gegelung jenis leaf turut direndahkan.
Sistem breknya mengaplikasikan formula yang hampir sama. Roda hadapan menggunakan sistem brek Nissan Silvia dan belakang, brek Toyota AE86. Untuk mengukuhkan lagi casis kereta, bar penstabil depan S13 dipasang.
Memilih rim yang sesuai bermula dengan penukaran hub keseluruhan roda. Memandangkan bahagian roda dan breknya menggunakan sistem daripada pengeluar kereta Jepun, maka roda PCD 114.3 itu amat mudah untuk dicari. Kereta itu menggunakan rim K-Speed 17 inci dengan tayar Nankang bersaiz 205/40. Bentuk badan kereta itu tirus, jadi rim 17 inci kelihatan cukup besar.
Sekarang, tengok bahagian dalamannya pula. Pertama sekali, bahagian lantai kereta dibalut dengan karpet baharu berwarna hitam yang memang merupakan tona wajib kereta klasik. Terkejut juga saya apabila melihat tempat duduk Sparco jadi-jadian kuning dengan tali pinggang keledar empat point tu. Sterengnya OMP jenis deep dish. Sementara papan pemuka dikerat separuh bagi memuatkan meter-meter Nissan Silvia. Bahagian-bahagian lain dibiarkan standard sahaja.
Kalau melihat pada garis badan kereta itu memang tidak dapat dinafikan bahawa ia memang menarik perhatian untuk sebuah kereta klasik. Reka bentuk coupe kereta itu yang berjalur lembut dari hud depan ke belakang dan punggungnya yang 'labuh' memang tipikal untuk kereta-kereta sports pada eranya.
Jangan sesekali menambah kit yang tidak patut. Dalam kes Manta itu, Fazli hanya menambah lips kecil custom pada bahagian hadapan yang pada mulanya saya sangka ia standard dari kilang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: