JIKA golongan muda mahu mendalami sejarah lama dan menyaksikan sendiri artifak-artifak lama pada zaman lampau, ternyata keinginan itu bersambut tatkala berkunjung ke muzium-muzium yang terdapat di Perak.
Bukan sahaja kepelbagaian aspek sejarah dapat diketahui, ternyata kesemua koleksi unik dan bernilai tinggi itu dapat didekati.
Empat buah muzium popular iaitu Muzium Negeri Perak, Muzium Geologi, Muzium Siput Teluk Batik dan Sitiawan Settlement Museum masing-masing mengujakan pengunjung dengan pelbagai kisah suka duka kebangkitan negeri itu.
Contohnya di Muzium Darul Ridzuan, ruang pameran Perak di Persada Dunia telah dibuka kepada orang ramai sejak awal bulan lalu.
Pengunjung yang datang dapat mengetahui mengenai sumbangan Perak kepada pembangunan pensejarahan dunia melibatkan fakta-fakta peralihan zaman prasejarah, Orang Asli, lukisan gua, Kesultanan Melayu Perak, seni bina dan budaya.
Pelancong yang datang boleh mendapatkan maklumat asas mengenai sejarah Perak melalui poster dan video yang dipaparkan.
Pembukaan ruang pameran baharu berkenaan turut memaparkan bukti penemuan penempatan masyarakat prasejarah di Lenggong sejak 1.83 juta dahulu.
Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa masyarakat prasejarah bermula di Bukit Bunoh, Lenggong sejak 1.83 juta tahun dahulu, malah di kawasan itu juga pernah berlaku bencana meteorit.
Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu, tetapi di Lenggong, ia tertua di luar Afrika.
Spesimen fosil
Di Muzium Geologi yang ditubuhkan pada tahun 1957 pula, koleksi menarik pelbagai spesimen fosil, batuan, mineral dan batu permata yang kebanyakannya dikutip dari dalam negara dalam tempoh beberapa tahun.
Muzium tersebut turut memaparkan koleksi sampel kasiterit iaitu bijih timah yang ditemui dalam lombong timah di Malaysia. Selain itu, pengunjung boleh menyaksikan diorama perlombongan bijih timah di dalam negara termasuk kaedah perlombongan yang dijelaskan secara terperinci.
Input dan sumbangan geologi terhadap pembangunan infrastruktur utama, peningkatan taraf sosioekonomi dan promosi geopelancongan dalam negara turut dipamerkan di galeri muzium itu.
Bangunan muzium itu sendiri adalah sebahagian daripada Kompleks Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan menjadi pusat pendidikan dan pembelajaran geologi dan geosains dalam negara.
|
Koleksi siput
Seterusnya itu, mereka yang merencana percutian ke Teluk Batik jangan lepaskan peluang berkunjung ke Muzium Siput kerana ribuan koleksi haiwan cangkerang itu daripada pelbagai spesies utama dunia dipamerkan.
Keunikan dan kecantikan bentuk-bentuk siput eksotik yang terdapat dalam pelbagai warna menarik serta sukar ditemui di pesisiran pantai mampu membuatkan ramai orang berasa kagum.
Selain dipamerkan dalam rak-rak kaca bersama maklumat mengenai spesies siput tersebut, salah satu ruang pameran dibina menyerupai suasana dalam zon terumbu karang. Di situ, ratusan siput daripada pelbagai spesies ditempatkan.
Pencahayaan kuning dan dekorasi menarik dalam ruang pameran ini juga menyerlahkan warna-warna asli siput-siput berkenaan yang bersinar-sinar apabila disimbah cahaya.
Budaya masyarakat
Kunjungan ke Sitiawan Settlement Museum pula pastinya membangkitkan kenangan zaman kanak-kanak bagi mereka yang lahir dalam kawasan pedalaman atau kampung.
Rumah kayu dua tingkat yang dijadikan muzium ini dibina pada tahun 1935 dan merupakan muzium pertama dan satu-satunya muzium persendirian di Perak.
Ia menyimpan kira-kira 500 koleksi dokumen sejarah, rekod dan gambar-gambar lengkap tinggalan penganut Kristian yang berhijrah dari Foochow, China Selatan.
Artifak yang dipamerkan mengembalikan memori kebudayaan, seni, kebijaksanaan dan kepercayaan orang China dalam sulaman, cetakan dan kesusasteraan.
Pelbagai artifak yang menggamit kenangan antaranya radio lama, basikal tua, seterika dan alat muzik lama turut dipamerkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: