|
JIKA anda tiada perancangan ke mana-mana pada hujung minggu ini, luangkan masa mengunjungi pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur kerana acara Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 peringkat Zon Tengah akan berlangsung di kompleks itu.
Pada pertandingan itu, para peserta yang terpilih akan menampilkan biskut dan kek dengan tema warna-warni.
Sepanjang program tersebut berjalan, pelbagai aktiviti telah disusun khas untuk pengunjung pada program sehari itu. Antaranya, pertandingan Teka Minyak Jagung anjuran Kosmo!.
Hadiah utama bagi pertandingan ini ialah sebuah TV LCD 42 inci, diikuti sebuah ketuhar gelombang mikro dan 50 baucar berbuka puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang bernilai RM75 setiap satu.
Beli minyak Daisy
Bagaimanapun, orang ramai yang berminat menyertai pertandingan Teka Minyak Jagung perlu membeli pek khas minyak jagung Daisy yang bernilai RM9.50 sahaja.
“Pek tersebut mengandungi minyak jagung Daisy seberat satu kilogram (kg), dua buku resipi masakan dan minyak jagung Daisy comel 90 gram (g).
“Dengan pembelian pek itu, orang ramai boleh menyertai pertandingan berkenaan dan memenangi hadiah-hadiah menarik itu,” kata Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama akhbar Kosmo!, minyak jagung Daisy dan peralatan memasak Corningware serta Corelle yang bertindak sebagai rakan strategik menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM65,000.
Bagi setiap kategori kek dan biskut, juara akan memenangi wang tunai RM5,000 berserta barangan Corningware dan Corelle yang bernilai RM5,000.
Naib Juara pula akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000, tempat ketiga menerima wang tunai RM2,000 dan barangan Corningware dan Corelle bernilai RM2,000.
Sementara itu, tiga penerima saguhati akan mendapat wang tunai RM500 serta hadiah barangan Corningware dan Corelle bernilai RM500.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan tersebut, Nizam berkata, 15 peserta dalam setiap kategori kek gulung Daisy dan biskut kacang Daisy wajib menyertai acara sampingan yang dinamakan Daisy Challenge.
Bagi peserta yang menyertai kategori kek, mereka perlu membuat kek gulung Daisy, manakala peserta kategori biskut perlu menyediakan biskut kacang Daisy.
Para peserta akan dinilai oleh 200 pengunjung pertama ke pertandingan itu dari segi keaslian resipi dan kreativiti dalam pembuatan kek atau biskut yang dihasilkan.
“Mereka (200 pengunjung) diberi peluang menjadi juri dalam acara Daisy Challenge,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
|
|
Selain itu, seramai 200 pengunjung turut berpeluang mendapatkan minyak jagung Daisy 500gram secara percuma dengan hanya menukarkan dua kepala akhbar Kosmo! di kaunter gerai yang akan dibuka bermula pukul 10.30 pagi.
Selain pertandingan kek dan biskut, orang ramai berpeluang menyaksikan demonstrasi Chef Liza Zainol membuat kek yogurt mangga dan biskut tart nanas Daisy.
Acara terus dihangatkan dengan persembahan kumpulan Spider dan Zarina Zainoordin Akademia Fantasia 2 (AF2).
Jadi, jangan lepaskan peluang merebut hadiah lumayan dan menimba pengalaman menjadi juri masakan dalam pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: