|
ASYRAF FAIQ MOHAMED ASHARI, 15, menyedari bahawa dia seorang remaja berketurunan Jawa. Dia juga sedar bahawa warisan elemen komunitinya itu semakin hilang akibat asimilasi dengan penduduk tempatan.
Asyraf yang boleh menuturkan rangkai kata mudah dalam bahasa Jawa, memberitahu, setiap kali dia pulang ke kampungnya di Teluk Intan, Perak, neneknya pasti berkomunikasi dalam bahasa itu tanpa mempedulikan sama ada dia faham atau tidak.
“Memang susah hendak faham pada peringkat awal tetapi lama-kelamaan ia sudah jadi biasa,” katanya ketika ditemui di Riverstone Eco Resort, Ulu Yam, Selangor.
Selain di kampung, kedua-dua ibu bapanya, Hamidah Asararuddin dan Mohamed Ashari Sidik turut menggalakkan ahli keluarga bertutur dalam bahasa Jawa di rumah.
Bagaimanapun, setakat itu sahaja Asyraf dapat mempraktikkan bahasa nenek moyangnya.
Di sekolah, Asyraf terpaksa melupakannya. Bukan takut bakal diejek kerana berbahasa ‘asing’ tetapi masalah penutur yang sedikit dan rakan-rakan di sekelilingnya tidak dapat memahami apa yang diucapkannya.
Atas inisiatif tidak mahu bahasa leluhur komuniti Jawa di Malaysia hilang biarpun berlaku kacukan budaya, Persatuan Anak Jawa Selangor (AJS) dan Jawa Wilayah Persekutuan (Jawil) mengadakan acara Guyen Sore.
Guyen Sore yang bermaksud acara ramah mesra dan dibuat secara santai umpama majlis minum petang, menjadi tempat untuk rakyat Malaysia berketurunan Jawa berkenalan dan dalam masa yang sama dapat mempraktikkan bahasa itu.
Suara-suara individu bercakap dalam bahasa Jawa kedengaran di segenap ruang makan restoran Riverstone Eco Resort. Warga tua bertanya khabar kepada yang muda, lantas dijawab dalam bahasa Jawa dengan mudah.
Pengacara majlis pula bercakap dan berlawak dalam bahasa itu sambil disambut dengan hilai tawa hadirin menandakan bahasa tersebut masih mampu untuk dipertahankan.
Kasar dan halus
Secara am, Pak Lurah AJS, Zahrul Nizam Mahfuz, 45, berkata, bahasa Jawa terbahagi pada dua jenis iaitu kasar dan halus.
Pak Lurah adalah panggilan bagi masyarakat Jawa bagi ketua sesebuah kumpulan untuk jabatan atau organisasi mereka.
Masyarakat di Pulau Jawa menggunakan bahasa tersebut bagi melambang status iaitu jenis halus ditutur oleh orang muda kepada orang tua. Bahasa Jawa kasar pula lazimnya digunakan dalam kalangan penutur yang sama peringkat usia.
Bagaimanapun, hanya bahasa Jawa daripada jenis kasar digunakan di Malaysia tanpa mengira peringkat umur dan butir pertuturan di Malaysia masih lagi boleh difahami oleh penduduk Pulau Jawa.
Keunikan bahasa Jawa terletak pada perkataan khas yang apabila diterjemah dalam bahasa Melayu memerlukan paling kurang dua perkataan.
“Sebagai contoh, gelugu membawa maksud batang kelapa manakala pelarak bermakna pelepah kelapa,” ujar Zahrul Nizam.
Pada majlis yang berlangsung pada petang bulan lalu itu, seramai 120 orang ahli berdaftar hadir. Setiap ahli membawa ahli bersekutu seperti isteri dan anak-anak menjadikan para hadirin yang datang lebih kurang 250 orang.
“Mereka terdiri daripada anak-anak Jawa seluruh Semenanjung Malaysia yang berdaftar dengan kumpulan anak Jawa di negeri masing-masing,” kata Mohamed Ashari.
Antara kumpulan yang hadir ialah Wayang Orang Kabupaten Johor, Anak Jawa Perak, Anak Jawa Melaka dan Anak Jawa Johor selain ahli-ahli berdaftar dengan pihak pengajur iaitu AJS serta Jawil.
Makanan yang dihidangkan pada majlis tersebut ialah tawil, nasi ambeng dan sambal goreng selain makanan yang dibawa oleh ahli yang hadir.
Sebuah album bertajuk Guyupan yang memuatkan empat lagu yang tiga daripadanya dalam bahasa Jawa turut dilancarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: