Celcom tawar khidmat Educube
Afi zulazha (kiri) ketika pelancaran perkhidmatan pendidikan dalam talian tiga,Educube, di Kuala Lumpur, semalam.

PENERAJU dan pembekal syarikat telekomunikasi negara, Celcom Axiata Bhd (Celcom), memperkenalkan perkhidmatan pendidikan dalam talian, tiga dalam satu menggabungkan pendidikan sekolah, tuisyen dan peperiksaan, Educube.

Ketua Operasi Data Majunya (CAD), Afizulazha Abdullah berkata, perkhidmatan itu terbuka kepada pelanggan Celcom bermula semalam, manakala bukan pelanggan boleh melanggan menerusi kad Educube pada minggu hadapan.

“Pendidikan dalam talian ini menawarkan 70,000 soalan dengan enam modul bagi pelajar untuk meningkatkan pembelajaran ulang kaji pada bila-bila masa menerusi komputer peribadi, komputer riba, mahupun komputer tablet.

“Kesemua soalan merangkumi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya, selepas melancarkan perkhidmatan pendidikan dalam talian tiga, Educube, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan pada masa akan datang, Celcom akan terus menambah sekitar 10,000 soalan setiap tahun.

Katanya, Celcom juga bakal melaksanakan aplikasi mudah alih bagi telefon pintar untuk memberikan kemudahan kepada semua golongan menjelang suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, Celcom turut bekerjasama dengan Orenda Sdn Bhd iaitu pemaju perkhidmatan pendidikan dalam talian, tiga dalam satu dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan (PIBGN) bagi menyokong inisiatif dalam penempatan pendidikan.

Afizulazha berkata, perkhidmatan pendidikan dalam talian itu ditawarkan dengan harga yang mampu dimiliki semua golongan iaitu serendah RM4.99 sebulan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau membeli kad Educube di mana-mana pengedar sah seluruh negara.