BERBALIK pada awal tahun 90-an, kebanyakan gamers pasti teringat permainan video Rayman. Rayman pada zaman itu merupakan sebuah permainan video untuk platform Microsoft Windows yang hanya memfokuskan kepada permainan berlandaskan pembelajaran untuk kanak-kanak.
Justeru, boleh dikatakan ia satu permainan yang kurang mencabar. Namun, semua itu berubah apabila pada penghujung tahun 2011, Ubisoft Montpellier melancarkan siri terbaharu Rayman iaitu Rayman Origins yang menjanjikan lebih cabaran daripada siri yang sebelumnya.
Rayman Origins dilancarkan di pasaran seluruh dunia pada 15 November 2011 dan boleh didapati pada platform PlayStation 3, Wii, XBOX360, PlayStation Vita, Microsoft Windows dan juga Nintendo 3DS.
Plot
Dalam Rayman Origins, pemain akan dapati diri mereka berada dalam sebuah dunia bernama Glade of Dreams iaitu sebuah dunia yang dicipta oleh Rayman sendiri, Bubble Dreamer dan juga Globox.
Semasa sedang berehat beramai-ramai di bawah sepohon pokok yang bernama the Snoring Tree, protagonis utama dari Land of Livid Dead telah melancarkan serangan ke atas dunia Glade of Dreams.
Akibatnya dunia ciptaan mereka kini dipenuhi dengan pelbagai musuh yang dinamakan Darktoons. Malah, penghuni Glade of Dreams iaitu Electoons juga ditangkap dan dipenjarakan.
Rentetan daripada itu, dunia Glade of Dreams jatuh pada tangan pihak musuh dan menjadi porak-peranda. Mujurlah, watak utama, Rayman dan rakan-rakannya berjaya melarikan diri daripada tangkapan Darktoons dan kemudiannya ditugaskan untuk menyelamatkan dunia Glade of Dreams.
Mekanisme permainan
Pada awal permainan, pemain akan diberi pilihan antara empat orang watak iaitu Rayman, Globox dan dua watak sampingan, Teensies.
Memandangkan Rayman Origins merupakan sebuah permainan video yang membolehkan sehingga empat pemain, keempat-empat watak itu boleh digunakan secara serentak dalam satu-satu masa.
Walaubagaimanapun, pemain akan mempunyai lebih banyak pilihan watak lagi sebaik sahaja mereka meneruskan perjalanan mereka. Sepanjang perjalanan, pemain akan bertempur dengan pihak musuh dan juga Electoons yang dipenjarakan.
Pemain akan diberikan markah lebih jika berjaya menyelamatkan Electoons. Ini kerana kebanyakan Electoons dipenjarakan pada satu tempat yang tersembunyi dan sukar untuk ditemui.
Kebanyakan kemahiran, seperti memanjat dinding atau gliding hanya boleh didapati sekiranya pemain meneruskan perjalanan mereka.
Sekiranya pemain bersentuhan dengan pihak musuh ataupun halangan, watak pemain akan menjadi seolah-seolah seperti belon.
Sekiranya pemain bermain bersama rakan-rakan mereka, pemain boleh diselamatkan dengan meletupkan belon tersebut agar pemain dapat bermain kembali.
Tetapi, pemain harus berhati-hati kerana jika semua pemain hilang nyawa serentak, kesemua mereka akan dikembalikan ke checkpoint yang berdekatan.
Grafik dan Audio
Rayman Origins mempunyai grafik yang menggunakan teknik kartun. Ia membolehkan kesemua grafik nampak sangat ceria dan berjaya menetapkan suasana yang kreatif.
Grafik Rayman Origins adalah sangat sesuai untuk golongan muda mahupun gamers yang kental dalam segi grafik.
Audio dan efek bunyi yang ditawarkan juga sangat merangsang minda dan adakalanya sedikit seram mengikut keadaan.
Secara keseluruhannya, Ubisoft berjaya melancarkan satu lagi siri Rayman yang membolehkan pemain meluangkan masa bersama keluarga mahupun rakan-rakan menyelamatkan dunia Glade of Dreams daripada cengkaman Darktoons.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: