Thursday, June 7, 2012

Ahli Kelab Leo pelihara bumi

SALAH seorang peserta melekatkan kad berbentuk daun tertulis namanya di replika pokok sebagai simbolik ikrar untuk memelihara bumi.


KERIANGAN jelas tergambar pada riak wajah sekumpulan kanak-kanak tatkala melihat maskot seekor singa bernama Leo muncul di pentas utama. Masing-masing menjerit sambil melambai-lambaikan tangan.

Sebaik turun menghampiri kanak-kanak tersebut, mereka berebut-rebut untuk berjabat tangan dengannya. Ternyata kehadiran maskot itu bertindak sebagai penyuntik semangat kepada ahli kelab Leo yang mengikuti program Go Green with Leo: Be Brave to Save the Environment.

Kempen Go Green with Leo diadakan buat tahun keempat oleh pusat beli-belah Sunway Pyramid sempena cuti pertengahan penggal sekolah.

Ia bertujuan untuk mendidik kanak-kanak mengenai alam sekitar dan apa yang perlu dilakukan dalam usaha menghijaukan bumi demi generasi akan datang.

Tahun ini, pelbagai aktiviti diadakan seperti menanam pokok dan sesi interaktif belajar bagaimana untuk mengurangkan pengeluaran karbon melalui tiga cara iaitu 3R - Reduce, Reuse & Recycle.

Selepas kanak-kanak memahami bagaimana keadaan bumi ketika ini dan mengapa ia memerlukan mereka untuk membantu, mereka berikrar akan menyayangi segala yang ada di bumi seperti tanah, udara, air dan semua hidupan.

Menurut Pengarah Pemasaran Sunway Pyramid, Phang Sau Lian, dunia memerlukan kanak-kanak yang berani bertindak berdasarkan apa yang mereka percaya.

“Oleh itu, aktiviti sebegini diharap dapat memupuk semangat keperwiraan untuk bekalan mereka berjuang menjaga alam sekitar nanti.

“Hakikatnya, ia hanya memerlukan satu tindakan kecil untuk membuat perubahan besar kepada dunia di sekitar anda. Bahkan, semuanya bermula dengan diri kita sendiri,” ujar Sau Lian.


SI kecil turut didedahkan tentang manfaat kitar semula dalam sesi interaktif yang berjaya menarik perhatian mereka.


Aktiviti menyeronokkan

Sebelum itu, kanak-kanak turut diajar tentang cara-cara memasang khemah, mengikat tali dan membuat unggun api oleh anggota pengakap yang terlibat.

Salah seorang peserta, Auzaja Rizvi, 12, berkata, program tersebut memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak yang menyertainya.

“Di sini, kami mempelajari banyak perkara dalam kehidupan termasuk mendapat pengetahuan tentang keadaan alam sekitar yang semakin dibelenggu pencemaran.

“Oleh itu, saya berjanji untuk menjadi penyelamat bumi terutama berusaha mempraktikkan amalan gaya hidup sihat seperti kitar semula dan mengelakkan pembaziran,” tutur pelajar Sekolah Antarabangsa Sayfol, Kuala Lumpur yang berasal dari Pakistan itu.

Secara keseluruhan seramai 32 kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun telah menyertai program tersebut. Selain ahli Kelab Leo, ada juga yang hadir terdiri daripada pengunjung yang datang ke Sunway Pyramid bersama ibu bapa dan terus mendaftarkan diri.

Bagi Munirah Mansor, 35, kehadirannya bersama tiga anak yang berusia dua, empat dan lapan tahun kerana dijemput oleh Kelab Leo. Justeru, kesempatan tersebut tidak mahu dilepaskan kerana dapat memberi didikan kepada anak-anak tentang alam sekitar.

“Program ini bagus dalam merangsang minda kanak-kanak untuk berfikir. Anak sulung saya mungkin memahaminya, tetapi bagi yang masih kecil, ia dianggap sebagai pendedahan awal kepada mereka,” katanya yang memuji inisiatif yang dilakukan Sunway Pyramid melalui program sedemikian.

Untuk memeriahkan program, terdapat juga beberapa organisasi yang mengambil bahagian seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia yang mengajak pengunjung menanam benih di dalam bekas khas untuk dibawa pulang dan dijaga hingga ia tumbuh.


PENGAKAP Sekolah Menengah Bandar Sunway, Muhammad Mahfeez Umar Mohammad Razif (kiri) menunjukkan cara-cara membuat unggun api dengan betul.


Wakil WWF Malaysia, Kanapathi Pandian, 22, memberitahu sebanyak 420 bekas anak benih pokok berjaya diagihkan kepada kanak-kanak, ibu bapa serta pengunjung pusat beli-belah tersebut.

“Selain memupuk semangat memelihara hidupan liar, aktiviti ini juga bertujuan untuk mengumpul dana melalui penjualan kemeja-T dan rantai kunci bagi projek yang dilaksanakan oleh WWF Malaysia,” jelasnya yang masih bergelar pelajar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: