Saturday, April 7, 2012

Transformasi kerjaya setiausaha


Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar (duduk dua dari kiri) bersama Siti Nor Bahiyah Mahmood, Suhaimi Mior Hassan (duduk kanan) dan Roslan Shah (duduk kiri) serta para penaja pada sidang media seminar setiausaha anjuran UPND, baru-baru ini.


SETIAUSAHA yang mahukan lebih daripada sekadar hiburan patut mendaftarkan diri pada seminar setiausaha yang dianjurkan oleh Utusan Publication and Distributors (UPND).

Seminar yang bertemakan Transformasi Tingkat Prestasi itu bakal memberikan 1,001 maklumat dan mampu mengubah seseorang setiausaha sekali gus organisasi yang diwakilinya.

Penganjuran seminar untuk setiausaha oleh UPND yang memasuki tahun ke-11 itu pastinya memberikan banyak nilai tambah kepada pesertanya tahun ini.

Menurut Pengarah Eksekutif UPND, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, kelainan yang dibawakan kali ini adalah mereka menjemput penceramah terkenal, Datuk Ustazah Siti Nor Bahiyah Mahmood untuk menerajui sesi utama yang bakal membincangkan tajuk Transformasi Diri Ke Arah Kecemerlangan Organisasi.

"Setiausaha memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi dan berinovatif untuk melakukan transformasi diri dan organisasi.

"Isu keselamatan akan turut dikongsi oleh panel kedua iaitu Kamal Affendi Hashim yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

"Kamal Affendi juga akan mengupas mengenai isu gangguan seksual di tempat kerja dan cara menanganinya," jelas Dr. Ahmad Hairi.

Seminar itu juga akan diadakan di dua tempat iaitu di Hotel Marriott, Putrajaya dan juga pada tarikh 30 April di Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang.

Menurut Dr. Ahmad Hairi, penyertaan yang diterima amat menggalakkan dan setakat ini 500 peserta telah mendaftar.

"Dengan pengalaman hebat ustazah Siti Nor Bahiyah beliau bakal memberikan input yang bukan sahaja berkisar teori malah yang lebih utama menekankan aspek rohani khusus untuk setiausaha yang hadir.

"Selain ustazah, peserta seminar ini juga akan dihiburkan oleh penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan majlis akan diacarakan oleh Roslan Shah. Penceramah lain ialah Datuk Dr. Mohamad Azmie Zakaria.

"Peserta yang bertuah juga akan membawa pulang hadiah rantai mutiara Rafflesia bernilai RM25,000, baucar bilik percuma di Permaisuri MITC Hotel Melaka, tiket penerbangan ke Jakarta, Indonesia, barangan kecantikan dan baucer pelangsingan badan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: