Sunday, April 22, 2012

Tarikan tinggalan sejarah

pix_middle

KEADAAN cuaca yang hampir sama dengan Malaysia membuatkan penulis berasa seperti berada di tanah air sendiri sebaik menjejakkan kaki di bumi Chile, baru-baru ini.

Kunjungan ke republik bekas jajahan Sepanyol yang digelar ‘Switzerland Selatan’ itu atas tugasan lima hari mengikuti penggambaran rancangan terbaru Discovery Channel, ‘One Car Too Far’.

  • Foto

    MENARIK...Museo de Bellas Artes atau Muzium Seni Halus.

  • Foto

    BANYAK...penulis membeli magnet peti sejuk di sebuah kedai cenderahati.

  • Foto

    KREATIF...sebahagian seni arca unik yang dipamerkan di kiri kanan sepanjang jalan antara Isidora Goyanechea ke El Golf.

  • Foto

    ANTIK...pelancong melihat barangan antik yang dijual di Peru Square.

  • Foto

    TINGGI...pelancong menaiki kereta api kabel untuk ke Bukit San Cristobal bagi menyaksikan pemandangan bandar raya Santiago.

  • Foto

    KREATIF...sebahagian seni arca unik yang dipamerkan di kiri kanan sepanjang jalan antara Isidora Goyanechea ke El Golf.

Lebih sehari penerbangan dengan dua transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ministro Pistarini, Argentina sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudahuel, Santiago, Chile memang memenatkan, apatah ini pengalaman kali pertama ditugaskan ke destinasi sejauh ini.

Sebaik tiba di ibu negara Chile iaitu Santiago, penulis bersama seorang rakan wartawan mendaftar masuk di Hotel Hilton Garden Inn berhampiran lapangan terbang dan keesokannya kami menaiki pesawat ke bandar Copiapo iaitu dua jam perjalanan.


Di sana, kami bertemu rakan wartawan antarabangsa termasuk dari Taiwan, Hong Kong, Norway, Mexico dan Amerika Syarikat yang turut membuat liputan program terbaru itu yang bakal disiarkan menjelang akhir tahun ini, dibawa menikmati jamuan makan malam di sebuah restoran Itali.


Keesokannya, tugasan bermula apabila kami dibawa ke set penggambaran One Car Too Far di utara Copiapo, iaitu gurun paling kering di dunia, jam 9 pagi waktu tempatan dengan menaiki bas.

Sepanjang perjalanan lebih sejam ke lokasi, penulis sempat merakam gambar di kiri kanan jalan yang dihiasi banjaran gunung dan ‘lautan’ padang pasir yang luas dan kaya pelbagai sumber galian berharga.

Tidak hairan penduduk Chile menjalankan perlombongan pelbagai logam, termasuk tembaga yang menjadi eksport utamanya dan di dunia.

Penulis tidak berkesempatan melawat tempat menarik di bandar Copiapo kerana tugas dan sebaik selesai penggambaran dan sesi penerangan ringkas oleh kru penerbitan, kami makan tengah hari di sebuah restoran sebelum pulang ke hotel dan berlepas ke Santiago pada jam 2 petang.

Di Santiago, banyak perkara menarik boleh dilakukan dan penulis menikmati keindahan panorama bandar raya berpenduduk lebih enam juta orang ini, di samping mengenal sejarah bangsa, budaya dan cara hidup mereka yang menggunakan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi.

Pesat membangun di segenap pelosok bandar, keprihatinan kerajaan Chile memulihara tinggalan sejarah seperti bangunan kolonial menambah nilai tempat pelancongan dan penulis menggunakan perkhidmatan bas dua tingkat Santiago Turistik ‘open top hop on/hop off yang beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.

Dengan tiket berharga peso Chile 19,000 atau kira-kira RM120, bas ini membawa pelancong mengelilingi bandar raya Santiago dalam masa dua jam melalui 13 hentian dan penumpang boleh menaiki bas ini di mana-mana hentian sehingga jam 6 petang.

Pelancong boleh memilih untuk turun di setiap hentian dan melawat tempat menarik atau duduk di dalam bas dan merakam pemandangan di sepanjang perjalanan sambil pemandu pelancong memberikan penerangan ringkas lokasi dilalui dalam dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol.

Penulis menaiki bas ini dari tempat penginapan di Hotel W Santiago menuju ke hentian ke 12, Barrio Bellavista iaitu satu daripada pusat kebudayaan Santiago.

Di sini, penulis menaiki kereta api kabel bagi melihat panorama indah bandar Santiago dan merakam gambar dari puncak Bukit San Cristobal setinggi 860 meter dari aras laut yang juga sebahagian daripada taman metropolitan berkeluasan 722 hektar. Di taman ini juga ada zoo dan Muzium Pablo Neruda.

Lokasi ini juga menjadi tumpuan penunggang basikal selain pelancong boleh membeli cenderahati atau melepak sambil menikmati minuman di gerai disediakan.

Puas melawat, penulis menaiki kereta api kabel yang tidak secanggih kereta api kabel di Bukit Bendera Pulau Pinang untuk menuruni bukit dan bersiar-siar di kawasan berhampiran serta menyaksikan kreativiti penduduk Chile menghiasi dinding bangunan dengan lukisan grafiti unik.

Penulis kemudian singgah ke deretan gerai menjual pelbagai cenderahati dan hasil kraftangan tempatan.

Di sini pelancong boleh membeli pelbagai barangan daripada baju T, barangan kulit, kasut, baju, lukisan cat minyak dan magnet peti sejuk pada harga murah.

Dari situ, penulis menaiki bas balik ke hotel untuk acara makan malam dan membuat sedikit ulang kaji bagi sesi temubual keesokannya bersama Timbalan Presiden Pembangunan Rangkaian Antarangsa Discovery merangkap Penerbit Eksekutif rancangan One Car Too Far, Sarah T Davies dan dua pengacara iaitu Bill Wu dan Garry Humprey.

Sebelum pulang ke tanah air, penulis merayau sekitar Peru Square di Jalan Isidora Goyanechea dan melihat kemeriahan pasar antik yang menjual pelbagai barangan tulen dan berjenama, antaranya jam tangan, cermin mata, pemetik api, peralatan golf, barangan kaca dan kulit mahupun buku dan majalah dan khusus dibuka setiap Ahad.

Jika bernasib baik, pelancong berpeluang melihat aksi pemuzik jalanan warga emas menghiburkan pengunjung secara ‘percuma’ tetapi mengharapkan ‘tip’.

Penulis kemudian menuju ke kawasan El Golf atau digelar sebagai Sanhattan iaitu campuran nama Manhattan dan Santiago yang pesat membangun sebagai pusat kewangan dan perhotelan baru di Santiago dan melihat kecanggihan seni bina moden bangunan ibu pejabat syarikat antarabangsa.

Di sepanjang jalan antara Isidora Goyenechea ke El Golf, banyak lukisan arca abstrak menghiasi kiri dan kanan jalan, sekali gus menambah keindahan lanskap bandar raya, selain deretan kedai dan kafe.

Selain berpeluang melihat negara orang, antara pengalaman tidak dilupakan ialah merasai gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter yang menggegarkan Chile pada jam 6.37 pagi (waktu tempatan).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: