Sunday, April 22, 2012

Shahrizal warisi legasi datuk

PERBAHARUI...berusaha menghasilkan produk baru.
PERBAHARUI...berusaha menghasilkan produk baru.

JIKA lena warga desa dikejutkan kokokan ayam jantan menandakan kedatangan sang mentari, anak muda ini dibangunkan dengan irama terhasil daripada kilang kecil yang juga teratak milik datuknya, Zainol Said di Sungai Lokan, Seberang Prai, Pulau Pinang.

Andai teman lain terasa nyaman dan selesa menghirup udara segar, Shahrizal Zoal yang kini Pengarah Pemasaran dan Jualan, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd (HTSB) pula dianugerahkan aroma harum hasil proses memanggang kopi.

  • Foto

    KECIL...rumah pengasas yang juga kilang kecil kopi Hang Tuah.

  • Foto

    BAHAGIA...Shahrizal bersama keluarga.

  • Foto

    PERIKSA...Shahrizal bersama kakitangannya.

  • Foto

    TERBARU...kilang berteknologi tinggi.

Terbiasa didedahkan dengan persekitaran dipenuhi kopi acap kali pulang ke kampung, Shahrizal tidak memperkecilkan kelebihan dimiliki sebiji kopi yang mampu memberi ketenangan kepada penggemarnya.

Penggemar kopi jenis Arabica yang enak dan berkualiti tinggi, beliau berkata, perniagaan Kopi ‘O’ dipelopori arwah datuknya secara kecil-kecilan bermula sejak 1952 menggunakan nama Hang Tuah sempena pahlawan tersohor Melaka.


“Namun ideanya tidak disukai pihak penjajah ketika itu (British), lantas ditukar menjadi Chap Tiga Murid. Selepas kemerdekaan, arwah kembali menggunakan nama Hang Tuah bagi setiap produk dikeluarkan, termasuk biji kopi, serbuk kopi mahupun rempah ratus.


“Dengan kegigihan arwah, HTSB kini menjadi antara syarikat Bumiputera kukuh di pasaran. Jangan tidak percaya, datuk hanya menggunakan ruang bawah rumahnya untuk memajukan syarikat berbekalkan modal RM20,000 hasil pajakan tanah pusaka miliknya.

“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa sesuai menggambarkan kesungguhan datuk dan kini syarikat ini diwariskan kepada anaknya yang juga bapa saya, Zoal @ Zulkiflee.

“Menjadi tanggungjawab saya memastikan syarikat legasi keluarga berusia 60 tahun ini terus berkembang dan meluaskan pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Menggalas peranan sebagai jurujual utama, lelaki berusia 33 tahun ini mengakui tidak terlalu berminat mendalami proses penghasilan kopi, cukup sekadar untuk pengetahuannya, sebaliknya lebih gemar mencari idea serta mencipta strategi bagi menerokai pasaran baru.

Giat berusaha menembusi pasaran asing, Shahrizal kerap menyertai pameran, termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha).

Membanggakan, kopi pahlawan ini turut dieksport, antaranya ke Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Australia dan Britain.

“Kopi antara minuman kegemaran masyarakat dunia. Setiap negara mempunyai cita rasa tersendiri, sekali gus membezakan satu sama lain.

“Di Malaysia, ramai menggemari kopi ‘O’. Rasanya pekat, likat, kuat dan aroma yang wangi. Di Jepun pula, masyarakatnya tidak terlalu menggunakan manisan atau gula bagi hidangan mereka, termasuk pakej tiga dalam satu.

“Percubaan kita membawa kopi ‘O’ Hang Tuah ke Paris menerima reaksi dan maklum balas positif. Di negara Eropah lain, sememangnya masyarakatnya mencintai kopi dan hampir segenap lokasi mempunyai kedai kopi.

“Boleh dikatakan hampir setiap rumah di sana memiliki mesin kopi tersendiri, ini juga membuktikan kopi menjadi budaya dan gaya hidup masyarakat di sana,” katanya.

Menurutnya, perkataan kopi ‘O’ berasal daripada gabungan dua bahasa iaitu bahasa Melayu bagi ‘kopi’ manakala ‘O’ pula perkataan Hokkien bermaksud hitam.
Oleh itu, kopi ‘O’ jelas dikenali sebagai kopi hitam atau pekat.

Menjadi satu daripada syarikat pakar dalam penghasilan kopi ‘O’, Shahrizal berkata, biarpun penggunaan teknologi baru diaplikasikan bagi proses pembuatan kopi, tenaga manusia masih diperlukan, terutama bagi memastikan kualiti bahan minuman berkenaan.

Berusaha memastikan produk berkualiti, pemilihan biji kopi terbaik disimpan di tempat terkawal dan kering atau dikenali ‘out-gassing’.

Ia bertujuan mengeluarkan lembapan daripada biji kopi sebelum dihantar kepada pakar kopi bagi proses memanggang.

“Ketika proses memanggang, pengalaman pakar kopi diperlukan bagi mengawal penghasilan kualiti dan aroma kopi. Kopi yang dipanggang akan dicampur dengan gula, sekali gus bertukar warna dan menjadi karamel. Kemudian ia dibiarkan sejuk dan keras sebelum dikisar.

“Bagi mengekalkan kualiti yang mungkin terjejas akibat kehadiran udara, kelembapan, haba dan cahaya, kita menggunakan nitrogen dalam pembungkusan sejak tahun lalu, sekali gus memelihara aromanya,” katanya.

Memiliki empat cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Klang dan Chenor di Pahang, Shahrizal mahu mengukuhkan pasaran tempatan menerusi pasar raya besar selain mengekalkan penghantaran ke kedai runcit.

Katanya, Johor antara pasaran tempatan terbaru yang bakal diterokai mengikut penjualan terkini.

Memasarkan 37 jenis produk, termasuk kopi dan rempah ratus, HTSB cuba mempelbagaikan alternatif baru selain mengambil kira permintaan pelanggan, termasuk minuman kopi dalam tin dijangka di pasaran pada Jun tahun depan.

Sebagai orang yang mendominasi bidang pemasaran, Shahrizal yakin pembangunan dan variasi produk adalah pembuka jalan serta pemangkin pasaran baru, selain mengukuhkan permintaan sedia ada.



PROFIL:

NAMA: Shahrizal Zoal
JAWATAN: Pengarah Pemasaran dan Jualan, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd
LAHIR: 4 Mac 1979
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, University Edith Cowan, Australia
ISTERI: Chut Nyak Esqanita Chut Nyak Aziz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: