Tuesday, April 17, 2012

Tanggungjawab makin berat

ZIZAN dan Kaka menghiburkan tetamu pada majlis sambutan hari lahir artis komedi itu.
ZIZAN dan Kaka menghiburkan tetamu pada majlis sambutan hari lahir artis komedi itu.
Zizan mahu tumpu lakonan selepas menang Pengacara TV Popular ABPBH

SETIAP pengiktirafan dan penghargaan yang diterima tentu sekali berserta tanggungjawab yang lebih besar menunggu di depan. Paling tidak, begitulah anggapan pemenang Pengacara TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Zizan Razak.
Kata penyanyi lagu Bawaku Pergi ini, bukan saja trofi yang digenggamnya itu hadiah paling bermakna diberikan peminat, ketika yang sama ia mendorong lelaki ini untuk lebih maju dalam bidang pengacaraan.
Tanggungjawab semakin berat kerana saya membawa harapan peminat untuk melihat saya menjalankan tugas dengan lebih baik. Lagipun, bukan perkara yang mudah untuk membuatkan peminat kekal menyokong kerjaya kita. - Zizan
“Tanggungjawab semakin berat kerana saya membawa harapan peminat untuk melihat saya menjalankan tugas dengan lebih baik. Lagipun, bukan perkara yang mudah untuk membuatkan peminat kekal menyokong kerjaya kita.

“Saya pula menceburkan diri dalam pelbagai cabang seni, bukan dalam bidang pengacaraan semata-mata. Jadi untuk meramalkan sama ada saya mampu untuk mengekalkan trofi ini pada penganjuran akan datang, ia sesuatu yang sukar,” katanya yang ditemui selepas meraikan sambutan hari lahirnya, anjuran kelab peminatnya, Zizan Fan’s Club, di ibu kota, kelmarin.

Mengenai kejayaannya menewaskan pemegang trofi terbabit selama lapan tahun berturut-turut, Aznil Nawawi, Zizan menganggap kemenangan pada 8 April lalu adalah rezeki yang sudah ditentukan Tuhan. Pada masa sama dia tetap mengagumi Aznil sebagai bakat serba-boleh dan kekal sebagai pengacara yang diminati ramai.

Berhubung perancangannya dalam masa terdekat, pelakon yang baru saja muncul bersama filem Jangan Pandang-Pandang ini memberitahu, pelbagai agenda menunggunya sepanjang tahun ini.
“Banyak perancangan saya selepas ini. Namun fokus utama saya adalah bidang lakonan. Saya mahu menumpukan perhatian sebagai pelakon pula selepas ini, tetapi tidak bermakna saya melupakan minat dalam nyanyian mahupun pengacaraan,” katanya.

Malah mungkin ramai yang tidak tahu, pelakon dan pelawak ini turut cenderung dalam bidang nyanyian. Malah, pemuda kelahiran Terengganu ini pernah mencuba nasib dengan menyertai program realiti, Akademi Fantasia, namun gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Rezekinya nyata lebih terserlah dalam dunia komedi apabila muncul naib juara Raja Lawak musim pertama, seterusnya diberikan peluang mengemudikan program popular terbabit bersama teman seperjuangan, Johan.

Diminta ulasannya berhubung lagu duetnya bersama Kaka yang menjadi topik perbualan hangat baru-baru ini, Zizan yang enggan memberikan komen panjang berhubung isu itu berkata, ia masih dimainkan di beberapa stesen radio dan berharap, ada sinar untuk lagu itu terus diputarkan.

“Susah saya mahu komen pasal lagu itu kerana ia masih berada dalam siasatan. Sebagai penyanyi, saya percaya ia tidak memberikan kesan negatif kepada pendengar,” katanya.

Apabila ditanya apakah dia tidak mahu menghasilkan album, Zizan secara berseloroh menjawab, dengan satu lagu pun dia sudah mencetuskan kontroversi, bagaimana dia mahu muncul bersama sebuah album?

“Sebenarnya, bukan tidak memikirkan untuk menghasilkan album kerana saya memang minat menyanyi. Tetapi, masa saya cukup terhad. Jika ada kelapangan, mungkin saya akan cuba mencuri masa untuk menunaikan hasrat itu,” katanya.

Peminat, anak yatim rai hari lahir

TANGGAL 15 April lalu, genaplah 28 tahun usia pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak ini dan paling mengharukan dirinya, tarikh itu tidak dilupakan kelab peminatnya sehingga mereka sanggup mengadakan majlis khas buatnya.

Kira-kira 900 peminatnya memenuhi dewan yang dihiasi indah dan ketibaan Zizan disambut dengan sorakan serta jeritan suara peminatnya tanpa mengira usia, termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun.

Kemanisan sambutan hari lahir itu lebih terasa dengan pelbagai persembahan nyanyian dan permainan sehinggakan ia bukan lagi seperti hubungan antara artis dan peminat, bahkan menjadi seperti satu keluarga besar.

Kehadiran teman artis seperti Kaka yang menyanyikan lagu duet bersama Zizan menjadikan majlis hari lahir itu menjadi lebih meriah. Turut diundang meraikannya ialah Artis Lelaki Baru Popular, Johan As’ari.

Peminat yang hadir pula bukan sekadar dari kawasan Lembah Klang, malah ada yang sanggup terbang dari Sabah, Sarawak dan Singapura, semata-mata untuk melihat Zizan meniup lilin hari lahirnya.

Bagi Presiden Zizan Fan’s Club, Hanif Hamid, dua minggu masa diperuntukkan untuk merealisasikan majlis berkenaan dan dia bersyukur apabila semuanya berjalan lancar.

“Kini ahli kelab ini sudah menjangkau seramai 14,500 sejak lima bulan ditubuhkan. Banyak aktiviti yang kami jalankan secara bersama dan istimewanya, Zizan, sentiasa berhubung dengan kami, tanpa perlu melalui orang ketiga.

“Kami akan sokong Zizan dalam apa saja kerjaya pilihannya dan terima kasih Berita Harian kerana memberikan laluan untuk kami memilih artis pujaan kami yang berbakat ini pada ABPBH2011,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: