Tuesday, April 17, 2012

Duet Lan, Ziana

Pengurus luah hasrat satukan dua vokalis hebat dalam lagu

PERSEMBAHAN mereka pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 baru-baru ini memang menjadi bualan hangat peminat. Pendek kata, ia umpama kejutan terbesar buat mereka apabila gandingan dua penyanyi dengan vokal lantang, Ziana Zain serta Azlan muncul di pentas, menyampaikan lagu Anggapanmu dan Lagu Untukmu.
Sehingga kini, klip video persembahan dua bintang hebat ini di laman YouTube terus menjadi perhatian. Malah, ada yang berasakan, alangkah baiknya jika kedua-duanya bergabung sekali lagi, kali ini dalam album ataupun single terbaru. Itulah impak ditinggalkan Ziana dan Lan, menerusi persembahan yang mendapat tepukan paling gemuruh di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu.
Apabila saya lihat ada kepuasan pada wajah kak Ziana selepas kami menyanyi bersama, saya rasa seronok kerana bukan senang untuk berduet dengan penyanyi sehebat dirinya. Ditambah pula sorakan cukup hebat daripada penonton. - Azlan, Penyanyi
Pertama kali digandingkan bersama di pentas berprestij itu, rupa-rupanya Azlan sudah lama menyimpan hasrat untuk menyunting ratu pop itu untuk berduet bersamanya.

Berasakan ada keserasian ketika membuat persembahan, di samping kepuasan yang terserlah pada wajah Ziana sebaik saja selesai nyanyian mereka, Azlan lantas menyimpan agenda untuk merealisasikan impiannya yang sekian lama terbuku di dada.

"Saya sudah lama nak berduet dengan kak Ziana, tetapi memandangkan masing-masing sibuk dengan komitmen lain, jadi impian itu terpaksa dipendamkan dulu. Insya-Allah, mungkin selepas saya selesai dengan album baru dan kak Ziana pula sudi memberi peluang kepada saya untuk hasilkan single duet kami berdua, impian itu akan terlaksana.

"Apabila saya lihat ada kepuasan pada wajah kak Ziana selepas kami menyanyi bersama, saya rasa seronok kerana bukan senang untuk berduet dengan penyanyi sehebat dirinya. Ditambah pula sorakan cukup hebat daripada penonton, yang turut berdiri kerana teruja, ia membuatkan saya berasa cukup puas hati," katanya ketika dihubungi HIP.
Mengagumi vokal Bintang Paling Popular ABPBH 1995 itu, Azlan berkata, Ziana seorang yang begitu mudah memberikan kerjasama. Malah dia juga tidak lokek dalam memberikan tunjuk ajar.

Tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan, Azlan perlu mencari lagu yang bersesuaian dengan suara mereka agar tidak menenggelamkan antara satu sama lain.

"Kak Ziana memang perempuan Melayu rock. Tidak pernah terfikir sebelum ini saya akan dapat berduet dengannya. Bila tawaran daripada penganjur datang tempoh hari, saya tidak teragak-agak untuk terima kerana ia idea yang memang bagus.

"Selepas persembahan malam itu, kak Ziana tidak ada cakap apa-apa mengenai idea untuk berduet, cuma dia tersenyum puas. Tetapi pengurusnya ada menyuarakan hasrat ini," katanya yang sibuk menyiapkan album solo terbaru.

Bercerita mengenai album terkininya itu, Azlan berkata, dia berusaha menyiapkan lima lagu untuk dimuatkan dalam buah tangan keduanya. Satu daripadanya sudah pun dirakam dan akan dijadikan single pertama, selepas Aidilfitri nanti.

"Ikutkan perancangan awal, kami nak buat 10 lagu. Namun dalam keadaan pasaran sekarang, rasanya biarlah lima lagu saja dimuatkan dalam album itu.

"Lima lagu ini pula tidak termasuk lagu tema untuk filem Hoore! Hoore! berjudul Idola ciptaan komposer Audi Mok. Selain itu saya turut terbabit dalam pembikinan video muzik lagu terbabit," katanya yang sibuk dengan projek Prima Domestik bersama beberapa band legenda.

Menurut Azlan, muzik video yang lebih kepada kemunculan istimewa itu memaparkan babak daripada filem arahan Saw Teong Hin yang dibintangi Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Akim dan Kilafairy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: