Sunday, April 22, 2012

Saya bukan ditaja

Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila
Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila
pix_topright

GELARAN Artis Baru Wanita Popular dimenangi bintang muda yang mencipta nama, Natasha Sheila Abd Razak atau Tasha Shila, 25, di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011) pada 8 April lalu, mencetuskan kontroversi.

Ada mengatakan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Gemilang dan Sahara itu ditaja seorang duda berpangkat Datuk, dikenali dengan panggilan Datuk J.
Menurut dakwaan yang tersebar, Datuk J memberikan sejumlah wang kepada Tasha untuk membeli akhbar Berita Harian sehingga satu lori banyaknya, manakala ahli kelab peminat pelakon itu seramai 40 orang membantu untuk menguruskan undian buatnya.


Bukan itu saja, gadis berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu juga dikatakan menempah bas untuk peminatnya menyaksikan detik gemilang itu di Arena Of Stars, Genting Highlands bersama bilik penginapan. Pelakon itu turut membawa pengawal peribadi mengiringinya menghadiri majlis itu.

Ditemui dalam sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad, Isnin lalu, Tasha seperti dapat mengagak dia bakal diajukan soalan yang hangat diperkatakan, bukan saja di kalangan wakil media tetapi juga teman artis.

“Sewaktu hendak datang ke sesi fotografi ini, saya seperti mahu memakai ‘baju kalis peluru’. Pastinya saya akan menerima tembakan membabitkan isu yang hangat diperkatakan ini. Sebaik menang, saya sedar ramai bercakap dan bertanyakan perkara sama.

“Bagi saya, kemenangan ini adalah rezeki. Sekali pun benar saya ditaja untuk membeli undi, tetapi sekiranya takdir tertulis bukan rezeki saya, pasti malam itu saya tidak akan menang.

“Banyak sangat nama Datuk yang dikaitkan dengan saya sebelum ini. Ada Datuk T, Datuk K dan sekarang Datuk J. Apa pula kaitannya Datuk hendak menaja saya. Itu semua tidak benar. Saya tidak ada hubungan dengan mana-mana Datuk dan inilah kenyataan sebenar.

“Tidak dinafikan, saya mengenali Datuk J yang dimaksudkan. Masalahnya, kami hanya kenalan biasa dan saya mengenalinya menerusi rakan artis juga. Kami pernah bertemu tetapi turut ditemani teman artis lain. Kami berbual dan bercakap seperti rakan lain. Tidak lebih daripada itu dan tidak pernah wujud perasaan cinta antara kami,” katanya.

Akui Tasha, sepanjang ABPBH2011 berlangsung, dia ada meraih undi dan waktu sama turut menghargai usaha kelab peminatnya, TS Team yang tidak putus-putus berusaha untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

“Saya bersyukur apabila dicalonkan dalam lima kategori popular dan hargai usaha dilakukan Berita Harian dalam menghargai insan seni baru seperti saya. Apabila sudah disenaraikan, pasti saya turut berusaha meraih undi dan TS Team turut melakukan ‘gerak gempur’ dengan mengundi saya. Saya rasa teman artis lain juga melakukan perkara sama.

“Selain itu, saya mengikuti hampir semua jelajah promosi yang diadakan ABPBH2011 dan ia saya gunakan sebagai medan untuk meraih undi peminat. Keluarga juga saudara mara turut membantu. Kebetulan ibu punya restoran dan mereka turut membantu mempromosikan nama saya kepada pengunjung supaya mengundi.

“Lebih daripada itu, saya tidak nafikan sewaktu bekerja sebagai promoter di Butik Prada, Pavillion, Bukit Bintang saya ada ramai kenalan dari orang biasa hinggalah yang berpangkat dan punya kedudukan.

“Mereka menjadi kenalan saya hingga sekarang. Pastinya apabila berhubung, saya meminta mereka menyokong kerjaya seni saya dengan me­ngundi saya,” katanya.

Mengenai bas dan bilik yang ditempah itu, kata Tasha, ia atas usaha kelab peminatnya dan sangat menghargai usaha mereka. Itu sebabnya Tasha mengambil peluang ke Genting Highlands menaiki bas bersama mereka serta meluangkan masa menghadiri jamuan ringkas TS Team selepas kemenangannya.

“Mengenai pengawal peribadi, perkara itu berlaku kerana salah anggap.

Sebenarnya, lelaki yang menjaga kawasan bilik di mana saya menginap itu bukan pengawal peribadi tetapi pemandu bas yang membawa rombongan saya ke Genting Highlands.

“Dia berasa terharu dengan layanan baik diberikan TS Team terhadapnya, apatah lagi dia seronok sepanjang bersama kami. Sebaik sampai, saya dan pembantu memintanya berehat di bilik tetapi dia secara sukarela mahu menjaga kami semua.

“Mungkin disebabkan itu, ada yang salah faham dengan menganggapnya pengawal peribadi saya.

Dia juga sa­ngat terharu kerana dapat memegang trofi yang saya menangi,” katanya.


Masih bantu ibu di restoran

IBARAT cerita dongeng Cinderella menjadi nyata, begitulah gambaran hidup model dan pelakon Tasha Shila yang sebelum ini sering berangan dan menyimpan impian bergelar anak seni.

Kerana memahami minatnya sejak kecil, ibunya, Rosnah Suratman menghantarnya menyertai pertandingan model dan nyanyian seawal usianya empat tahun.

“Saya masih ingat, sejak usia tujuh tahun apabila mengisi borang pengenalan diri di sekolah, saya akan letak cita-cita pertama menjadi pelakon, kedua menjadi penyanyi dan akhir sekali peragawati. Perkara itu terbawa-bawa hingga ke zaman dewasa.

“Saya percaya impian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada doa sekiranya kita selalu bisik dalam hati. Allah maha pemurah dan pengasih. Kalau kita doa, pasti ia akan dimakbulkan tetapi apa yang saya peroleh sekarang tidak datang bergolek, sebaliknya harus disertakan dengan usaha,” katanya.

Cerita Tasha lagi, orang melihat hidupnya indah selepas bergelar pelakon tetapi sebelum meraih segalanya termasuk anugerah dimenangi di ABPBH 2011, pelbagai kepayahan harus diharungi termasuklah mengutamakan keluarga sebelum dapat mengejar cita-cita.

“Kedua ibu bapa saya berniaga kedai makan. Sebelum mempunyai restoran di Ampang, banyak jatuh bangun yang terpaksa kami sekeluarga lalui. Saya pernah membantu ibu di warung dan payahnya keluarga kami hendak membina hidup, hanya Allah yang tahu.

“Dulu ibu terpaksa mengendong dan membuai saya di warung sambil berniaga.
Kerana itu, apabila saya berjaya meraih apa yang diimpikan, saya sangat bersyukur, menghargainya dan berusaha untuk menjadi lebih baik. Mengingati saat-saat payah yang saya lalui, akan membuatkan hati saya tersentuh. Saya mensyukuri dengan apa yang saya peroleh sekarang,” katanya.

Walaupun menjalani hidup penuh glamor, kata Tasha dia tidak pernah meletakkan diri setinggi langit. Malah menjadi pelayan di restoran milik keluarganya seakan menjadi rutin hidup. Jika tiada penggambaran, dia akan menghabiskan masa sepenuhnya membantu ibunya.

“Kadang-kadang orang yang tidak tahu gerai dikunjungi itu milik ibu, terkejut apabila melihat saya mengambil pesanan. Memang saya artis tetapi sebenarnya saya tidak mahu status itu mengubah hidup dan pendirian saya.

“Pada saya, lakonan itu satu kerjaya dan keluarga tetap menjadi keutamaan apatah lagi saya anak sulung dan ada dua lagi adik yang perlu dibantu terutama membabitkan pelajaran mereka.

“Saya tidak mahu mereka susah seperti mana kesusahan yang saya lalui sebelum ini. Sebab itu saya kena kerja keras sama ada dalam dunia lakonan mahupun membantu membina empayar perniagaan restoran yang sudah dipelopori keluarga sejak dulu,” katanya.

Memenangi anugerah Artis Baru Wanita Popular bukan bermakna Tasha boleh mendabik dada sebaliknya ia menjadi titik permulaan untuk dia membuktikan bakatnya. Gadis bertubuh lampai itu menyimpan impian untuk menggenggam trofi terbaik dan diiktiraf juri pula selepas ini.

“Syukur selepas menang di ABPBH2011, banyak tawaran yang datang termasuklah filem. Ada empat tawaran filem tetapi semuanya masih lagi dalam perbincangan.
Salah satunya dari pengarah Mamat Khalid dan satu lagi dari Red Film Sdn Bhd.
Saya tidak letak harapan tinggi tetapi pada saya, jika dapat berlakon filem, bermakna kerjaya seni saya akan lebih berkembang.

“Seperti Red Film, saya harus menghadiri uji bakat terlebih dulu. Saya lebih suka begitu kerana ia akan membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh. Saya mahu belajar dan menimba lebih banyak ilmu dari pengarah berkaliber agar satu hari impian menggenggam trofi pelakon terbaik menjadi kenyataan,” katanya turut menyimpan impian melebarkan bakatnya ke Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: