Sunday, April 22, 2012

Ada prinsip

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Yuna, Aizat susun langkah baru untuk cipta nama lebih besar dalam dunia muzik

INSAN seni sejati tidak akan pernah kenal erti kepuasan, malah setiap kejayaan yang diperoleh menjadi pemacu untuk memberikan sesuatu yang lebih baik tanpa pernah takut berdepan kegagalan.
Perjalanan singkat Yuna dan Aizat menghadiahkan pelbagai kejayaan yang memperlihatkan kredibiliti mereka sebagai pelapis legasi seni yang dihormati.
Segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan. Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. - Yuna
Memulakan langkah berbeza namun membawa misi serupa, Yuna dan Aizat kental menjunjung prinsip diri dalam menyusun langkah ke destinasi impian.
Yunalis Zarai, 26, mencuri perhatian khalayak apabila membawa revolusi kepada wanita bertudung dengan menerjah pasaran komersial tanpa disokong label hebat.

Dan Sebenarnya memperkenalkan nama Yuna kepada peminat tempatan tanpa disangka membawa percaturan lebih besar apabila dilamar label antarabangsa, The Fader Label untuk merealisasikan impiannya mengumpul pengaruh di negara.

Akur pengalaman menjual bakat di negara sendiri jauh lebih mencabar, apatah lagi peminat di sini seolah dididik untuk menilai sisi peribadi berbanding karya yang dipersembahkan, Yuna mencabar diri meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Ketika mula bertapak di negara sendiri, segelintir masyarakat datang dan berkata kepada saya impian untuk ke luar negara itu sekadar angan-angan serta patut dilupakan.

“Saya bertekad untuk membuktikan mereka salah. Saya jadikan kata-kata itu sebagai azimat untuk terus maju dan Alhamdulillah, perlahan-lahan saya membuktikan saya boleh berjaya di sana,” katanya dalam temubual menerusi e-mel kepada B*POP.

Dalam persiapan untuk melancarkan album perdananya di AS pada 24 April ini, Yuna bersyukur kerana perjuangan muziknya diterima baik oleh pendengar di sana.
Meskipun perjalanannya dilihat sempurna, Yuna bagaimanapun enggan mendabik dada malah menyerahkan kepada pendengar untuk menilai setiap hasil kerjanya.

“Terpulang jika kehadiran saya dilihat memberi persepsi baru kepada penggemar muzik di sana. Itu penilaian masing-masing. Apa yang utama saya berasa terlalu bertuah kerana orang luar menerima karya saya.

“Selama berada di sana, saya tidak pernah berdepan masalah besar. Budaya AS dan Timur tidak sama namun mereka menghormati saya malah menerima seadanya tanpa bias dengan imej yang saya bawakan,” katanya.

Dua tahun membina tapak di AS, Yuna mampu tersenyum kerana impian memiliki album penuh terlaksana malah berpeluang menjayakan persembahan dalam program bual bicara popular, Conan O’Brien selain bakal beraksi di festival muzik tahunan, Lollapalooza pada Ogos depan.

Membawa imej wanita Muslim dalam industri yang terbuka, Yuna tidak berasakan ia sebagai satu cabaran besar. Apa yang utama katanya, bagaimana dia membawa diri dan lebih penting menjadi diri sendiri.

“Mereka menerima semua agama sama rata jadi saya tidak menganggap ia sebagai suatu masalah besar. Tidak dinafikan pernah timbul perasaan gusar tetapi mereka menerima penampilan saya seadanya.

“Saya akui pada permulaan, saya juga tidak yakin tetapi dengan sokongan keluarga dan pengurusan masalah itu dapat saya atasi,” katanya.

Dua kali mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk edisi 2010 dan 2011, Yuna dilihat sebagai pencetus kepada anak seni tempatan yang berusaha menggapai cita-cita yang sebelum ini dilihat sekadar angan-angan.

Bagaimanapun katanya, dia enggan meletak harapan terlalu tinggi kerana perlu realistik dengan perjalanan panjang yang masih belum ditempuhinya.
“Sulit untuk saya letakkan di mana posisi saya nanti. Semuanya bergantung kepada perkembangan karier di sini. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan baik seperti dirancang.

“Saya akan cuba mencari sebanyak mungkin pengalaman, bukan untuk peribadi tetapi juga dikongsi bersama warga seni di tanah air.

“Setiap kali persembahan, saya tidak pernah lupa memperkenalkan dari mana saya berasal malah perkataan Kuala Lumpur, Malaysia sentiasa basah di bibir saya.
“Barangkali ia cuma satu usaha kecil namun Insya-Allah, pada masa akan datang saya berharap dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjayanya meskipun sering berjauhan, Yuna berkata, dia terkejut apabila kembali diberi kepercayaan untuk memegang trofi Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 2011.

“Ia sesuatu yang di luar jangkaan, membuatkan saya terharu kerana peminat tidak pernah melupakan saya. Sokongan mereka membakar semangat untuk terus berkarya dan berkongsi bakat bersama mereka.

“Terima kasih kerana terus menjadi kekuatan dan tulang belakang yang menyokong perjalanan karier saya yang masih pada tahap permulaan,” katanya.

Dimensi berbeza Aizat bersama Go Gerila!

MEMBINA tapak yang kukuh sebagai penyanyi solo tidak sentiasa memberikan keselesaan kepada Aizat untuk terus berada dalam zon yang sama.

Barangkali permulaan langkah Aizat juga tidak diwarnai dengan sesuatu yang manis tetapi kesungguhan pemilik nama lengkap, Muhammad Aizat Amdan ini meletakkannya dalam kelompok istimewa di hati peminat.

Pemilik empayar Kasi Gegar Entertainment ini sentiasa mencabar diri untuk memberikan sesuatu yang berbeza dalam setiap karya seninya.

Atas alasan itu, biarpun berpeluang mencari ruang untuk berkarya sendiri namun Aizat memilih menyatukan ideologi muziknya bersama empat pemuzik lain membentuk Go Gerila!.

Diasaskan untuk bertapak dalam program realiti, Versus siaran TV9 , Aizat melihat peluang itu sebagai ruang bereksperimen selain mencabar kreativitinya mencuba genre berbeza.

Go Gerila! yang turut disertai Amir Jahari katanya, bakal memberikan perspektif baru dalam karyanya selain melahirkan sebuah persembahan yang dinamik.

“Kalau atau menang bukan perkara utama kerana saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza. Saya melihat pertandingan ini dari sudut kreativiti dan keistimewaannya, saya dan Amir membawakan jalur muzik berbeza daripada apa yang pernah peminat dengar sebelum ini,” katanya.

Dua minggu bersiaran, Aizat semakin selesa bersama Go Gerila! yang memperjuangkan eksperimen muzik apabila menyatukan elemen rock & roll dengan Brit Pop dan alternatif.

Gabungan itu kata Aizat, membentuk sebuah keunikan apabila menyatukan ideologi berbeza namun menuju destinasi perjuangan yang sama.

Menawarkan pulangan lumayan RM200,000, Versus turut disertai 6ixth Sense, Black Parallax, Hujan dan Sofazr jelas pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 2009 itu membentangkan gelanggang menarik untuk mereka menguji kehebatan masing-masing.

PROFIL: Yuna
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
USIA: 26 tahun
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah.

PROFIL: Aizat
NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan
ASAL: Ampang, Kuala Lumpur
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989
PENYANYI IDOLA: Once
ALBUM: Percubaan Pertama
dan Urusan Aizat Amdan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: