Thursday, April 19, 2012

Perlahan tapi pasti



TENGKU IEDIL PUTRA ALAUDIN memang nama yang masih asing untuk khalayak. Sementelah empunya badan juga tidak begitu kerap dilihat dalam kaca televisyen.

Ironi, dia bukannya baru bermain dalam satu atau dua naskhah, tetapi sejak empat tahun lalu telah memberi komitmen kepada banyak naskhah baik filem mahupun drama.

Malah dunia lakonan juga tidak asing baginya, kerana pada tahun 1997 lagi dia telah terbabit menjadi pelakon dalam filem hit Iman Alone. Hanya kerana kurang publisiti, dia kurang menonjol.

"Saya akui, publisiti itu penting. Namun keutamaan bagi saya adalah bagaimana penggiat seni dan penonton lebih mengenal dan menghargai bakat saya," kata jejaka berusia 28 tahun ini merendah diri.

Kata tuan punya badan yang senang dipanggil Iedil, dia mahu membuktikan dulu kredibilitinya dan kemudian dia percaya publisiti atau populariti akan datang seiring selepas khalayak melihat kemampuannya.

Hal itu telah ditonjolkan dalam lakonan bersahaja tetapi mengesankan menerusi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan di 8TV pada setiap hari Ahad pukul 10.30 malam, Project Pop.

Diberi tanggungjawab membawa karakter pengurus sebuah kumpulan terkenal Hujan, bernama Amad yang agak lurus bendul, dia sebenarnya merupakan tunjang utama drama yang memaparkan kisah di sebalik tabir tentang perjalanan sebuah konsert.

"Selain kerana jalan cerita yang menarik dan tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana produksi sebelum ini iaitu tentang situasi sebenar yang berlaku di belakang tabir sebuah konsert, saya tertarik untuk menerima tawaran pengarah kerana karakter Amad yang nampak lurus bendul dan selalu berada dalam salah situasi.

"Ini kerana dalam karakter yang nampak tidak bersemangat, saya perlu bermain dengan banyak emosi kerana karakter Amad yang nampak tidak memberi impak pada awal episod akan berkembang menjadi sesuatu yang besar pada penghujungnya," jelas Iedil yang juga menyatakan dia bersetuju untuk terbabit dalam drama rantaian tersebut kerana begitu menggemari muzik.


BAGI Iedil setiap karakter sama ada ia besar atau pun kecil, harus dibawa dengan bersungguh-sungguh kerana itu adalah tugas seseorang pelakon untuk menghidupkan karakter yang diberi.


Cerita Iedil lagi, biarpun Project Pop hanya bersiaran untuk 10 episod sahaja, namun setiap episod mempunyai kekuatan tersendiri.

"Dalam episod pada minggu ini, konsert sudah bermula dan 'drama' terus terjadi seperti Noh masih hilang yang membuatkan Hujan tidak tahu mahu meneruskan persembahan atau tidak," ujarnya yang jatuh cinta dengan konsep penceritaan Project Pop yang mengambil latar senario yang terjadi dalam masa 24 jam sahaja.

Walaupun hanya sedang hangat di televisyen dengan sebuah naskhah sahaja, di layar perak, tetapi ramai yang menggunakan khidmat anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Baru sahaja tamat penggambaran filem KL Zombie bersama Siti Saleha dan Zizan Raja Lawak serta Faezah Elai, Iedil bakal muncul dalam sebuah filem yang pertama kali menggandingkannya bersama aktor popular Aaron Aziz dan aktres terkenal Erra Fazira pada bulan Julai ini.

"Saya pertama kali berganding dengan Erra dan Aaron untuk filem Ngorat. Ini juga merupakan filem pertama yang menampilkan saya sebagai watak utama.

"Ia sebuah filem komedi tentang bagaimana seorang jejaka menggunakan khidmat seorang pakar cinta untuk membantu dia bercinta," katanya yang sering terlibat sebagai pelakon pembantu dalam beberapa buah filem termasuk kali terakhir dalam filem Raya Tak Jadi.

Doktor

Mengajak dia berbicara tentang latar belakang keluarga dan perjalanan seninya, Iedil sebenarnya mempunyai perjalanan yang menarik.

Jika mengikut perjalanan yang mahu dilaluinya sebaik tamat sekolah menengah, dia sepatutnya masuk ke dalam lapangan kedoktoran. Malah dia sempat menjadi mahasiswa dalam bidang kedoktoran di Queen Mary, University of London (QMUL).


MEMBAWA watak Amad dalam drama rantaian Project Pop, Iedil meminta penonton drama tersebut menanti kejutan yang akan dibuat oleh Amad pada penghujung cerita.


Bagaimanapun perjalanan tersebut hanya separuh jalan apabila dia mengambil keputusan untuk memilih minat yang tidak pernah padam dalam dirinya iaitu bidang seni.

Mengaku pada awal keputusan diambil, terjadi sedikit pergeseran antara dia, ibu dan bapanya, namun hal itu terhapus pergi selepas ibu dan bapanya memberi restu setelah melihat kesungguhannya.

"Sebenarnya saya juga minat dalam bidang kedoktoran. Tapi pada masa yang sama, saya tidak boleh menipu diri sendiri kerana cinta saya lebih mendalam terhadap bidang seni.

"Bayangkan, sepanjang menuntut di sana, pada kebanyakan masa selepas kelas tamat, saya akan menghabiskan masa dengan pergi menonton teater," katanya sambil ketawa mengenang kenangan lalu.

Bagaimanapun saat Iedil bercerita tentang latar belakang keluarganya yang semua terbabit dalam bidang seni secara langsung dan tidak langsung, maka tidak hairan mengapa dia juga terheret sama untuk menghidupkan darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

"Ibu saya pernah menghasilkan sebuah buku kanak-kanak. Bapa saya pula seorang pelukis dan semakin aktif selepas dia bersara daripada kerjayanya. Kini, dua orang adik saya masing-masing sedang menuntut dalam bidang seni termasuk perfileman," beritahu Iedil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: