Thursday, April 19, 2012

Tanggungjawab besar Zizan


ZIZAN meniup lilin pada kek ulang tahun kelahirannya yang ke-28 tahun pada satu majlis yang diadakan oleh para peminat pada 15 April lalu.


IA merupakan kali kedua peminat Zizan Raja Lawak menerusi Zizan Fan Club (ZFC) mengadakan sambutan hari lahir buat pengacara popular itu. Kali pertama ia diadakan pada tahun lalu.

Berlangsung penuh meriah pada Ahad lalu di Restoran Bora Ombak, Kuala Lumpur, seramai 100 peminat hadir berpakaian hitam dan putih mengikut tema yang diberi presiden Zizan Fan Club, Hanif Hamid bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-28 Zizan.

“Ini kali kedua hari ulang tahun saya disambut oleh peminat. Saya cukup terharu kerana sentiasa mendapat sokongan yang tak pernah padam daripada mereka,” ujar Zizan yang dilihat terkejut menerima lagu Selamat Hari Jadi tatkala melangkah masuk ke dalam restoran tersebut.

Dilahirkan pada 15 April 1984, Zizan cukup gembira kerana hari ulang tahunnya disambut bukan sahaja peminat di Malaysia tetapi juga peminat daripada Brunei dan Singapura.

“Saya tak sangka kerana ada satu keluarga dari Singapura sanggup turun untuk meraikan hari ulang tahun saya. Saya sangat menghargai peminat-peminat saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini. Tidak cukup dengan kemenangan saya sebagai pengacara popular yang tentunya disebabkan oleh undian peminat saya, kini mereka menyambut pula hari ulang tahun saya pada hari ini,” ujarnya yang hadir memakai pakaian berwarna merah dan hitam kerana tidak mengetahui kelab peminatnya telah merancang untuk membuat majlis sambutan hari lahirnya pada hari itu.

Janji

Bercerita tentang kemenangannya merebut gelaran pengacara paling popular mengatasi Aznil Haji Nawawi pada satu anugerah yang berlangsung baru-baru ini, tutur Zizan, kemenangan tersebut menjadikan tanggungjawabnya sebagai pengacara mahupun selebriti tanah air semakin besar.


DIPILIH sebagai pengacara paling popular, Zizan memberitahu dia kini memikul tanggungjawab yang lebih besar kerana ingin membalas kepercayaan khayalak terhadap kemampuannya.


Akuinya, dia berjanji akan melakukan yang terbaik untuk peminat dan industri Malaysia.

Biarpun dihimpit dengan beberapa kontroversi seperti dialognya dalam filem Hantu Bonceng yang didakwa sebagai mempermainkan dua kalimah syahadah dan terbaharu menerusi lagu Bawaku Pergi ciptaan Malique yang liriknya didakwa mempunyai unsur untuk mendorong remaja lari dari rumah sehingga digam untuk diputarkan di corong radio milik RTM, bagi Zizan, dia tidak akan berputus asa untuk menyanyi. Ini kerana ujar Zizan, bidang nyanyian merupakan pilihan utama sebelum dia terlibat dalam industri seni.

“Sejujurnya, bidang nyanyian selalu menjadi keutamaan saya. Saya minat menyanyi dan disebabkan itu juga saya pernah pergi menghadiri uji bakat Akademi Fantasia tetapi tidak berjaya. Sekarang tengok pada permintaan kerana mengacara, berlakon dan melawak juga menjadi keutamaan saya untuk mencari rezeki,” ujarnya.

Ditanya mengenai nasib lagu Bawaku Pergi, jelas Zizan, ia masih lagi dalam siasatan dan masih diputarkan di radio.

Tidak mahu menghampakan peminat yang ingin mendengarnya menyanyi lagu Bawaku Pergi, Zizan menyanyikan lagu tersebut bersama Kaka yang turut hadir pada sambutan hari ulang tahunnya.

Secara berseloroh, Zizan sempat memberitahu: “Selagi lagu ini masih dalam siasatan ia masih boleh dinyanyikan”.

Ujarnya lagi, ia juga merupakan kali pertama dia menyanyikan lagu tersebut secara langsung kepada peminatnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: