RAMALAN teknologi masa hadapan kadangkala nampak keterlaluan, terutama apabila idea inovasi itu sering dipaparkan sebagai sebahagian daripada alatan dalam filem sains fiksyen.
Salah satu filem yang dipadatkan dengan elemen futuristik seperti gajet dan gaya hidup masa depan ialah Minority Report arahan Steven Spielberg.
Filem tersebut agak unik kerana ia bukan sekadar memperlihatkan teknologi berdasarkan bayangan dan kreativiti pengarahnya.
Lebih daripada itu, paparan teknologi dalam filem lakonan Tom Cruise itu merupakan hasil kajian dan perbincangan antara produksi filem dengan penganalisis serta saintis yang mempunyai kredibiliti. Golongan itu telah dirujuk bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai teknologi yang bakal diperkenalkan pada masa hadapan.
Salah satu daripada gajet yang dipertonton dalam filem Hollywood tersebut ialah surat khabar yang memaparkan berita dinamik.
Dengan kata lain, berita itu sentiasa berubah sepanjang masa seperti berita dalam talian yang diakses menerusi Internet.
Sekali pandang ia kelihatan agak mustahil dalam dunia realiti hari ini. Bagaimanapun, melalui penyelidikan yang berterusan dijalankan syarikat-syarikat berpaksikan teknologi seperti Atmel, ia mungkin menjadi kenyataan tidak lama lagi.
maXTouch merupakan produk cipset skrin sentuh berkeupayaan tinggi keluaran Atmel. Model terbaharu maXTouch E Series dilengkapi Capacitive Touch Engine (CTE) iaitu ciri yang terdapat pada kebanyakan telefon pintar hari ini.
Hal yang lebih signifikan tentang maXTouch ialah respons lebih pantas, penggunaan kuasa rendah dan reka bentuk nipis. Ahli keluarga maXTouch E Series terdiri daripada:
n maXTouch mXT768E
mXT768E merupakan cipset 32 bit pertama untuk skrin sentuh bersaiz antara 15 hingga 30 sentimeter (sm). Walaupun saiz cipset ini sendiri hanya berukuran 0.6 x 0.6 sm, ia sesuai untuk tablet berkeupayaan tinggi.
n maXTouch mXT540E
Berasaskan reka bentuk AVR 32 bit, mXT540E menawarkan sensor kapasitif bagi skrin sentuh bersaiz sederhana antara 14 hingga 23 sm. Ia boleh diaplikasikan pada tablet, buku elektronik dan navigasi sistem penentu kedudukan global (GPS).
n maXTouch mXT384E
mXT384E merupakan cip kawalan tunggal yang direka khusus untuk keperluan telefon pintar dengan skrin bersaiz 10 hingga 11 sm dan tablet dengan saiz 13 hingga 14 sm.
Nod berketumpatan tinggi menjadikan cip ini begitu sesuai untuk telefon pintar dengan paparan piksel berketumpatan tinggi. Ia memberikan resolusi sentuhan tambahan bagi memadankannya dengan peningkatan resolusi paparan.
n maXTouch mXT224E
Model ini menggantikan model mXT224 yang pada awalnya memperkenalkan penyelesaian skrin sentuh kapasitif untuk telefon bimbit. mXT224E diperkenalkan dengan ciri sentuh kapasitif yang dipertingkatkan.
Ini membolehkan penghasilan telefon pintar yang lebih nipis dan hayat bateri yang lebih panjang serta skrin yang lebih terang. mXT224E menyokong skrin bersaiz di antara 5 hingga 18 sm.
n maXTouch mXT112E
Direka untuk skrin bersaiz di antara 5 hingga 13 sm, mXT112E boleh diaplikasikan pada kamera digital, GPS dan banyak lagi peranti digital lain yang boleh memanfatkan teknologi skrin sentuh dengan ciri kapasitif terkini. Sebelum ini, teknologi itu mungkin hanya terdapat pada telefon dan tablet.
Dengan perkembangan teknologi ini, tidak hairanlah jika dalam setahun dua lagi, kita akan dapat menyaksikan kemunculan satu lagi gajet terbaharu yang nipis dan boleh digulung atau dilipat. Tidak mustahil sekiranya ia mengambil alih ‘takhta’ tablet sedikit masa lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: