Thursday, April 12, 2012

Ketandusan habitat beruang panda


HAIWAN comel berwarna hitam dan putih ini berkemungkinan lenyap dari muka bumi jika perubahan iklim terus melanda dunia.


GELAGAT beruang panda sudah cukup mencuit hati sesiapa sahaja yang memerhatikan gerak-geri mamalia itu. Bagaimanapun, beruang panda yang boleh dianggap sebagai haiwan comel itu berdepan dengan kesukaran meneruskan kelangsungan hidupnya.

Hari ini, terdapat kurang daripada 1,600 ekor beruang panda yang masih meneruskan survival dalam habitat liar.

Begitupun, sebuah kajian terbaharu mendapati bahawa lebih separuh daripada jumlah tersebut bakal berkurangan dalam persekitaran semula jadi.

Dalam tempoh 70 tahun, kebanyakan habitat tersebut dijangka tidak lagi sesuai untuk didiami beruang panda akibat perubahan iklim yang melanda dunia.

Bagi melindungi haiwan berbulu gebu dan berwarna hitam putih itu, ahli-ahli zoologi bertungkus-lumus untuk memahami dan meningkatkan proses pembiakan panda di dalam kurungan.

Satu lagi kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati kitaran pembiakan panda jantan bertentangan dengan panda betina. Panda jantan boleh mengawan dalam masa lebih daripada enam bulan dalam setahun.

Ia merupakan satu perkhabaran gembira, memandangkan beruang panda betina hanya mempunyai kadar kesuburan terhad iaitu hanya 24 hingga 72 jam setahun.

"Lebih banyak kami memperoleh maklumat, lebih mudah kami memahami panda dan meletakkan garis panduan dalam memberi perlindungan kepada haiwan ini," kata Ketua Doktor Veterinar Institut Pemuliharaan Biologi Smithsonian, Amerika Syarikat (AS), Copper Aitken-Palmer.

Dia yang juga merupakan Ketua Kajian Pembiakan haiwan berkenaan memberitahu, pengurusan panda boleh dilakukan dengan lebih baik apabila ia berada dalam kurungan.

"Malah, kami sedang merangka program pengenalan semula untuk melepaskannya ke habitat semula jadi," ujarnya.


BERUANG panda berdepan kehilangan habitat semula jadi akibat perubahan iklim.


Aitken-Palmer dan rakan-rakan sekerjanya telah mengkaji sebanyak lapan ekor panda jantan dalam masa tiga tahun di pangkalan Pembiakan Panda Chengdu, China.

Mereka menganalisis ketumpatan sperma, paras hormon, saiz testis termasuk kelakuan apabila ingin mengawan seperti pergerakan serta penandaan bau. Kumpulan pengkaji itu juga mahu merancang pembiakan haiwan berkenaan secara teliti.

Sukar dalam kurungan

Kajian tersebut menunjukkan bahawa panda jantan mampu mengawan dalam tempoh musim yang lebih panjang berbanding panda betina.

Bagaimanapun, agak sukar untuk memastikan panda mengawan terutamanya apabila ia berada di dalam kurungan.

Sebagai contoh, ahli-ahli zoologi di Zoo Edinburgh Scotland telah memberi masa kepada panda betina, Tian Tian dan panda jantan, Yang Guang, dalam kurungan tertutup pada 3 dan 4 April lalu semasa Tian Tian subur.

Sungguhpun pasangan mamalia tersebut bersua beberapa kali, ahli-ahli zoologi tidak menyimpan sebarang harapan untuk melihat kelahiran anak panda pada tahun ini.

"Setiap kali pasangan ini bertemu, kami melihat terdapat keinginan dan tarikan antara Tian Tian dan Yang Guang," kata Pengarah Penyelidikan dan Pemuliharaan di zoo berkenaan, Iain Valentine dalam satu kenyataan.

Menurutnya, terdapat banyak komunikasi dan galakan ditunjukkan oleh panda betina, malah berlaku juga hubungan fizikal tetapi bukan proses mengawan penuh.

"Sungguhpun, kedua-dua haiwan ini pernah mengawan dan mempunyai anak dengan pasangan masing-masing, ia masih kurang pengalaman," ujarnya.

Ahli-ahli sains berkata, panda tidak boleh dipersalahkan dalam hal berkenaan.

"Dari segi sejarah, semua fisiologi dan penyesuaian itu ideal untuk panda yang berada dalam hidupan liar. Namun di dalam kurungan, kita telah menukar peraturan dan membuat ia lebih mencabar kepada haiwan-haiwan ini," katanya.

Sebagai contoh, Aitken-Palmer berkata, beruang panda lazimnya bersendirian apabila berada dalam habitat semula jadi. Di dalam kurungan pula, ia ditempatkan bersama panda-panda lain sekali gus menyukarkan kelakuan semula jadinya.

Kehilangan habitat


BERUANG panda jantan boleh mengawan dalam tempoh lebih daripada enam bulan setahun.


Menurut ahli-ahli sains, walaupun panda merupakan kebanggaan bagi kebanyakan zoo di seluruh dunia, keadaan haiwan berkenaan dalam hidupan liar sedang berdepan kesulitan.

Salah satu daripada ancaman terbesar adalah kehilangan habitat semula jadi akibat perubahan iklim dan pencerobohan manusia.

Pada masa dahulu, panda dapat bergerak bebas di kebanyakan lokasi daripada negara China, utara Myanmar dan Vietnam.

Kini, ia terbatas kepada enam kawasan penrgunungan antara Sichuan dan dataran tinggi Tibet.

Bahkan, habitat haiwan berkenaan semakin mengecil memandangkan sebanyak 60 peratus daripada habitatnya bakal terjejas akibat perubahan iklim menjelang tahun 2080.

Apabila suhu global menjadi semakin panas, secara purata, kesesuaian habitat panda akan berubah pada kedudukan dan latitud lebih tinggi.

Keterbatasan persekitaran geografi bagi haiwan tersebut sudah tentu akan memberi tamparan hebat.

"Beruang-beruang panda mempunyai persekitaran yang kecil, menghasilkan seekor anak setiap dua hingga tiga tahun dan bergantung kepada buluh untuk pemakanan.

"Fakta itu sekali gus menunjukkan bahawa haiwan-haiwan ini dipengaruhi perubahan iklim," kata penyelidik yang diketuai Melissa Songer.

Kawasan baharu

Tatkala kebanyakan habitat sedia ada panda berkemungkinan akan lenyap, ia mungkin boleh berpindah ke kawasan-kawasan baharu.

"Kawasan baharu yang bersesuaian itu mungkin berada di luar julat persekitaran geografi habitat sedia ada. Namun, kebanyakan kawasan ini terletak jauh daripada kelompok panda . Lebih membimbangkan, hanya 15 peratus daripada kawasan tersebut merupakan kawasan yang dilindungi.


PARA pekerja memindahkan beruang panda untuk dipindahkan ke Scotland.


"Survival jangka panjang panda memerlukan usaha pembangunan kawasan perlindungan baharu yang mampu menyokong kesesuaian habitatnya walaupun ketika berdepan perubahan iklim," ujar ahli sains.

"Beruang panda ialah spesies yang dilindungi secara umum. Saya ingin meletakkan harapan tetapi usaha pemuliharaan di seluruh dunia berdepan dengan masalah. Hanya masa akan menentukan," kata Aitken-Palmer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: