Kedua-dua rakan baik ini pernah digandingkan sebagai pengacara dalam program Oh Lelaki, namun jalinan kerjasama di antara mereka tidak terhenti setakat itu sahaja apabila kedua-duanya membuat keputusan untuk menghasilkan bisnes bersama.
Bermula dengan sekadar teman baik, Nana Mahazan dan Fara Fauzana kini sudah bergelar rakan kongsi apabila masing-masing bersetuju membuka perniagaan pakaian dengan mengambil nama Faranana sebagai label bisnes mereka.
Sepakat memulakan bisnes menerusi atas talian, mereka mula melancarkan laman sesawang Faranana.com pada 25 Disember 2010. Namun, di sebalik kisah perniagaan online yang berjalan selama setahun lebih ini, rupa-rupanya pereka pakaian koleksi Faranana ini adalah hasil rekaan Nana sendiri.
Siapa sangka graduan Diploma Pengurusan Teknologi Maklumat dari institusi pengajian tinggi swasta ini rupa-rupanya mempunyai bakat terpendam sebagai pereka fesyen. Biarpun fesyen yang dihasilkan hanyalah berbentuk kasual dan ringkas, namun bagi mereka yang tidak pernah belajar mengenai fesyen sudah pastinya hasil lukisan yang dipersembahkan oleh pendatang baru ini sudah boleh dibanggakan.
Tidak pernah terfikir untuk menghasilkan sendiri rekaan pakaian, Nana berbangga kejayaan sulungnya dalam menghasilkan lukisan tersebut berjaya. Menurut wanita berbintang Leo ini, biarpun pada awalnya lukisan yang dihasilkan sedikit comot dan tidak kemas, namun lama-kelamaan minat melukis yang mula dipupuk sewaktu ingin memulakan bisnes semakin berkembang.
“Pada awalnya, Nana sendiri tidak pernah terfikir pun untuk menghasilkan rekaan sendiri. Namun, memandangkan Nana begitu gemar akan fesyen tambahan selain mempunyai perniagaan pakaian sendiri, jadi tiada salahnya untuk Nana mencurahkan idea rekaan koleksi pakaian untuk Faranana.
“Nana melukis sekadar mengikut hati dan citarasa Nana dahulu sebelum menunjukkan rekaan pakaian itu kepada Fara,” katanya yang kadangkala meninjau trend pakaian terkini melalui majalah dan Internet.
Sokongan bekas bos
Tidak hanya menghasilkan lukisan, anak kelahiran Muar, Johor ini juga sanggup memperuntukkan sedikit daripada wangnya membeli kelengkapan seperti yang digunakan pereka fesyen sebenar.
Malah menurutnya, panduan untuk menjadi pereka fesyen ini dibantu oleh bekas bosnya semasa dia bertugas sebagai penyampai di Radio Era.
“Apabila mendapat tahu kami (Nana dan Fara) hendak memulakan perniagaan menjual pakaian, bekas bos Nana sanggup membelikan buku fesyen sebagai rujukan Nana menghasilkan rekaan.
“Katanya, tidak susah untuk belajar asas lukisan malah dia sanggup meluangkan masa untuk mengajar Nana cara design baju,” katanya yang mula melakar rekaan menggunakan pensel kemudian baru bertukar kepada pen.
Menurut isteri kepada Brian ini juga, dia akan menggunakan pen warna selepas selesai melukis bagi memberikan warna yang sepadan kepada rekaan tersebut.
“Selepas siap melukis, Nana akan fotostat rekaan itu kepada beberapa keping. Kemudian, barulah Nana akan meletakkan warna yang berbeza pada setiap helaian, maksudnya setiap rekaan ada dua atau tiga warna,” katanya lagi.
Pun begitu, menurut Nana, memandangkan perniagaan yang dihasilkan adalah miliknya bersama Fara, dia akan menunjukkan setiap rekaan yang dihasilkan kepada teman baiknya itu sebelum menghantar rekaan tersebut ke kilang yang terletak di China.
“Memandangkan Fara seorang yang sibuk, jadi Nana tidak kisah untuk melakukan rekaan sendiri. Namun, Fara tidaklah lepaskan 100 peratus kepada Nana, sebaliknya Fara juga akan tengok dahulu rekaan yang Nana hasilkan.
“Biasanya, Nana akan sediakan dalam 20 rekaan dan Fara akan memilih rekaan yang digemari ,” katanya yang turut mendapat bantuan Dimas Hujan untuk membina laman sesawang Faranana.com.
Utamakan kualiti
Mengulas mengenai sambutan yang diterima, Nana bersyukur perniagaan yang dijalankan ini masih lagi berjalan sehingga sekarang. Mengakui perjalanan bisnes sedikit perlahan sekarang ini, Nana tidak menolak kemungkinan mentaliti sesetengah orang di negara ini yang masih belum percaya kepada perniagaan online.
“Di awal pengenalan bisnes kami, sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga kami sendiri tidak cukup tangan. Namun, sekarang ini, sambutan sedikit kurang kerana pada pendapat Nana, ramai rakyat Malaysia yang belum biasa dengan perniagaan online.
“Berdasarkan pengalaman Nana sendiri, ramai pelanggan yang bertanya koleksi yang terdapat dalam Faranana, tetapi ada di antara mereka yang tidak jadi beli kerana kurang yakin dengan kualiti yang kami tawarkan memandangkan mereka tidak dapat melihat sendiri produk kami,” kata ibu kepada Althea Raqeem Brian ini.
Namun, menurut selebriti yang pernah menyertai program realiti televisyen terkenal, Akademi Fantasia 1 (AF1) tahun 2003 ini, mereka tidak pernah memandang enteng akan faktor kualiti yang ditawarkan dalam setiap produk Faranana.
Katanya, biarpun pakaian mereka dihasilkan di China, tetapi material yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut adalah berkualiti.
“Jika lihat sendiri kualiti produk kami, pasti ramai yang tidak sangka dengan harga yang kami tawarkan. Saya boleh katakan harga kami adalah berpatutan dengan kualiti pakaian yang kami hasilkan ini.
“Tambahan pula, setiap produk kami juga mempunyai label Faranana sendiri, menunjukkan eksklusifnya pakaian yang kami hasilkan. Kami tidak mahu melakukan bisnes ini sambil lewa sebaliknya mementingkan kepuasan pelanggan,” katanya yang turut menyertakan poskad tandatangannya bersama Fara sebelum diposkan kepada pelanggan.
Menurut wanita berusia 29 tahun ini, mereka juga akan meletakkan pakaian yang ditempah oleh pelanggan ke dalam kotak khas yang direka bertulis Faranana sebelum diposkan.
Merangkap juru fesyen Fara?
BAGI memantapkan lagi jenama Faranana, selebriti yang pernah membintangi filem Malaikat Maut dan Gangster ini juga mempunyai perancangan menghasilkan baju sesuai untuk teman baiknya yang juga bergelar pengacara Nona.
“Sebenarnya, banyak perancangan untuk mengembangkan lagi bisnes Faranana, cuma tunggu masa sesuai sahaja. Tambahan pula, kami mahu menghabiskan koleksi yang ada dulu.
“Kadangkala apabila lihat Fara dalam Nona, ada juga terfikir untuk menghasilkan rekaan baju gaun yang boleh Fara gunakan dalam program itu,” katanya yang juga berhasrat menghasilkan koleksi jumper, baju bayi dan kanak-kanak serta baju mengandung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: