Saturday, April 7, 2012

Kilauan emas Shwedagon Pagoda


KILAUAN emas yang menyaluti dinding kuil ini menyerlahkan kemewahan tempat ibadat penganut agama Buddha di Myanmar.


KUNJUNGAN ke Myanmar tidak akan sempurna sekiranya tidak melawat Pagoda Shwedagon iaitu sebuah kuil yang berbentuk menara bertingkat yang telah menjadi simbol keagamaan rakyatnya yang sudah berusia 2,500 tahun.

Dianggap sebagai tempat suci dan mulia bagi penganut agama Buddha di Myanmar, Pagoda Shwedagon yang terletak di Yangon ini pada mulanya dibina setinggi 8.2 meter tetapi kini sudah mencapai ketinggian 110 meter selepas diubah suai dari semasa ke semasa.

Sinar kilauan mewah Pagoda Shwedagon disumbangkan daripada ratusan plat emas yang meliputi dinding dan di puncaknya. Kecantikannya itu terserlah melalui bentuk geometri kompleks dan struktur persekitaran yang melambangkan sebuah karya rumit untuk dibangunkan.

Stupa bawahannya diperbuat daripada gabungan 8,688 jongkong emas tulen, manakala stupa atasannya pula mempunyai 13,153 jongkong emas sama. Puncak stupa berkenaan amat jauh daripada penglihatan manusia untuk menilai perinciannya.

Bagaimanapun, di situlah terdapatnya tatahan 5,448 butir berlian, 2,317 rubi, nilam dan batu permata lain serta 1,065 buah loceng emas. Di puncak tertingginya pula terletak sebutir berlian terbesar 72 karat.

Justeru, ia menjadikannya sebagai salah satu seni bina mewah berbentuk keagamaan dan dianggap sebagai monumen bersejarah yang paling berharga di Myanmar dari segi seni bina, arca dan seni.

Kesemua emas dan batu permata berkenaan adalah asli dan dibangunkan hasil sumbangan rakyat Myanmar dari tahun ke tahun untuk mengekalkannya. Amalan ini berterusan sehingga hari ini selepas dimulakan pada kurun ke-15 oleh Permaisuri Shin Sawbu yang mendermakan emas seberat badannya.

Pintu masuk

Terdapat empat pintu masuk ke Pagoda Shwedagon untuk menuju ke platform-platform dan kuil-kuil yang terdapat di dalamnya.


KANAN: Kemasan emas pada patung Buddha, ukiran dinding dan stupa melambangkan tuah, kemakmuran serta keagungan.


Di bahagian pintu masuk sebelah timur dan selatan menempatkan kedai-kedai menjual buku, gelang tangan bertuah, gambar-gambar Buddha, lilin, daun emas, bunga dan cenderamata.

Sepasang singa mitos gergasi dipanggil chinthe dibina seakan-akan sedang mengawal pintu masuk berkenaan manakala imej yang ditemui di dalam kuil dekat tangga teratas melalui pintu masuk berkenaan ialah Buddha kedua iaitu Konagamana.

Di dalam Pagoda Shwedagon terdapat ratusan kuil berwarna-warni, stupa dan patung yang melambangkan seni bina sejak ribuan tahun lalu. Untuk memahami karya-karya seni berkenaan, pengunjung perlu merasai sendiri pengalaman meneroka isi dalaman kuil ini yang menyimpan pelbagai simbol keagamaan dan kehidupan bangsa Myanmar.

Ia bukan sahaja menjadi lokasi utama bagi aktiviti keagamaan, malah merupakan lokasi untuk aktiviti komuniti setempat seperti pembersihan patung-patung, pemberian bunga, penyembahan dan bertafakur.

Kebanyakan rakyat Myanmar menganut agama Buddha dan pada masa yang sama mempercayai astrologi yang berasal daripada Brahmanisme Hindu.

Bagi mereka, yang beragama Buddha, mereka perlu mengetahui hari lahir mereka bagi menentukan platform khusus dalam pagoda yang perlu dikunjungi dan membuat bakti seperti yang diinginkan melalui nasihat ahli astrologi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: