Saturday, April 7, 2012

Kembara karavan di selatan New Zealand


MENERIMA jolokan bandar resort, Queenstown menjadi tumpuan pengunjung yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.


SAAT kali pertama menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch, pada September tahun lalu, hati saya sedikit berdebar-debar. Lebih-lebih lagi apabila membayangkan bandar raya ketiga terbesar di New Zealand yang saya jejaki itu sememangnya sinonim dengan kejadian gempa bumi.

Malah, beberapa bulan sebelum kehadiran kami, Christchurch baru sahaja dilanda gempa bumi terkuat dalam sejarah negara itu yang mengakibatkan lebih 185 nyawa terkorban.

"Insyallah semua akan selamat Linda. Kita berserah saja kepada Tuhan," kata-kata rakan baik saya yang turut sama dalam percutian itu, Normi Kahar kedengaran sedikit melegakan.

Disebabkan banyak hotel di Christchurch kini ditutup, kami terpaksa menginap di sekitar New Brighton, kira-kira 45 minit dari bandar raya itu.

Ternyata, perjalanan panjang yang dilalui hampir 10 jam dari Kuala Lumpur membuatkan masing-masing kepenatan dan terus melelapkan mata.

Keesokan harinya, barulah kami berpeluang melihat sekitar Christchurch dengan lebih dekat.

Saya sendiri agak terkejut apabila melihat impak gempa bumi berskala 6.2 Ritcher yang berlaku pada bulan Februari itu menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada bandar raya itu hampir musnah.

Banyak kawasan tarikan pelancongan dan kawasan bersejarah seperti muzium, gereja, hotel dan sebagainya kini telah tiada lagi, malah sistem jaringan pengangkutan juga lumpuh sama sekali.

Apa yang kelihatan hanyalah kesan-kesan runtuhan bangunan, jalan raya mendap, tiang dan pokok tumbang, kenderaan remuk dan tali keselamatan yang dipasang di sana sini.

Bagaimanapun, di sesetengah kawasan, penduduknya masih menjalani kehidupan seperti biasa.

Melihat situasi itu menyebabkan saya insaf, ternyata betapa bertuahnya kita rakyat Malaysia kerana tidak diduga dengan bencana alam sedemikian rupa.

Di sana, kami bertemu seorang kenalan lama Normi, Sam Smith seorang warganegara New Zealand.

Rupa-rupanya, Sam juga mahu turut serta dalam percutian itu kerana dia sendiri belum pernah melancong ke Queenstown. Malah, kami turut ditawarkan untuk menaiki karavan milik Sam yang pastinya lebih menjimatkan.


KAWARAU Bridge sentiasa menjadi tumpuan peminat aktiviti terjun lelabah yang dahagakan suntikan adrenalin.


"Wah! seronok juga naik karavan ini. Ini baru betul-betul mengembara," kata saya sebaik sahaja karavan yang kami naiki meninggalkan Christchurch keesokan harinya.

Karavan bersaiz sederhana itu cukup lengkap dengan dapur, bilik mandi, ruang tamu dan katil.

Jangan terkejut kerana di bumi Kiwi itu, bercuti dengan karavan merupakan senario biasa. Di mana-mana sahaja kita boleh melihat karavan pelbagai saiz memenuhi jalan raya.

Dipukau tasik indah

Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan panorama indah hutan, tasik dan gunung-ganang yang mengasyikkan. Benarlah kata orang, New Zealand merupakan lokasi ideal untuk pencinta alam semula jadi.

Keindahan landskap yang ditawarkan di sekelilingnya sukar diungkapkan dengan kata-kata, semuanya masih kekal asli dan begitu menenangkan. Justeru, tidak hairanlah negara itu pernah menjadi lokasi penggambaran filem Lord of The Ring suatu ketika dahulu.

Saya juga teruja melihat banyak padang ragut lembu dan ladang kambing biri-biri sepanjang perjalanan. Itu tidak menghairankan kerana New Zealand sememangnya antara pengeluar produk lembu dan kambing biri-biri yang terbesar di dunia.

Kami akhirnya tiba di Lake Tekapo, salah satu daripada tiga tasik terbesar yang memanjang dari utara ke selatan negara itu selain daripada Lake Ohau dan Lake Pukaki.

Panorama tasik biru seluas 83 kilometer persegi berlatarbelakangkan banjaran gunung di sekelilingnya ibarat sebuah lukisan hidup yang mempesonakan.

Menurut Sam, lokasi itu popular dalam kalangan pelancong dan ahli-ahli astronomi. Kawasan sekitarnya dipenuhi karavan dan khemah-khemah kecil pengunjung, semuanya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan keindahan bintang-bintang yang berkelipan di angkasa.

Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan yang tergendala sebelum tiba di Mount Cook, gunung tertinggi di negara itu dengan ketinggian 3,754 meter.

Saya diberitahu, lokasi itu popular dalam kalangan peminat-peminat aktiviti ski dan mendaki gunung. Biarpun teringin untuk mencubanya, namun pakej-pakej yang ditawarkan agak mahal. Lagi pun, sebelum ini saya pernah bermain ski ketika melawat beberapa negara Eropah beberapa tahun lalu.

Suasana sejuk menyebabkan perut mudah berasa lapar. Itulah kelebihan bercuti di atas karavan, kami bebas memasak apa sahaja. Apa yang pasti, Sam paling beruntung kerana kami berdua sememangnya suka memasak.

Semua bahan-bahan mentah dibeli di kedai-kedai kecil di sepanjang laluan. Lagi pun, karavan milik Sam lengkap segala-galanya dari peti ais sehingalah ke lesung batu.

Selepas perut kenyang, perjalanan diteruskan sehingga ke Queenstown. Dikenali sebagai bandar resort, lokasi merupakan pusat bagi aktiviti lasak dan pengembaraan yang terkenal di kalangan pelancong.

Sebut apa sahaja daripada aktiviti ski, memandu bot, berkayak, terjun lelabah, memanjat gunung, penjelajahan hutan dan memancing, semuanya boleh dilakukan di situ.

Dikelilingi empat banjaran gunung ski, Cardrona Alpine Resort, Coronet Peak, The Remarkables dan Treble Cone serta tasik-tasik membiru seperti Lake Wakatipu, Queenstown sememangnya cukup mempesonakan.

Tidak cukup dengan itu, Queenstown juga meriah dengan kehadiran pelbagai butik dan kedai cenderamata.

Pastinya, godaan itu sukar untuk ditolak, lebih-lebih lagi bagi kaum Hawa seperti kami. Saya sendiri sempat membeli permaidani daripada kulit biri-biri dan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.


GEREJA lama Church of Goodhope masih teguh berdiri di tepi Lake Tekapo.


Kami memilih untuk menginap di sebuah hotel di Arrow Town yang merupakan pusat perlombongan emas yang terkenal suatu ketika dahulu. Bukan apa, selepas beberapa hari bersempit-sempit di dalam karavan teringin juga untuk menikmati keselesaan di atas tilam empuk di hotel.

Deretan kedai-kedai kecil yang memenuhi di kiri dan kanan jalan mengingatkan saya mengenai filem-filem koboi yang pernah ditonton ketika kecil dahulu.

Di situ, kami juga berkesempatan melihat penempatan awal kaum Cina yang terlibat di dalam aktiviti perlombongan.

Diceritakan, ketika zaman kegemilangannya, pekan kecil yang dibuka pada tahun 1867 itu berkembang dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan dihuni kira-kira 7,000 pelombong dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, kini hanya Arrow Town yang masih kekal dan meriah seperti sebelumnya. Beberapa bandar perlombongan berhampiran seperti Macetown, Skippers dan Bullendale telah lama ditinggalkan.

Pada hari terakhir, Sam membawa kami ke salah satu destinasi popular untuk terjun lelabah di A. J. Hackett Bungy Centre.

Saya dan Normi tidak berani mencubanya, cukuplah sekadar melihat aksi-aksi 'berani mati' di atas Kawarau Bridge itu dari jauh sahaja.

Puas mendengar jeritan yang berselang-seli di atas jambatan setinggi 43 meter itu, kami akhirnya pulang semula ke Christchurch yang memakan masa sehari perjalanan.

Siapa sangka, percutian kami selama tujuh hari di New Zealand sudah pun berakhir. Ternyata percutian kali ini tidak sia-sia dan memberikan pengalaman bermakna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: